Alhamdulillah, pada hari Selasa, 28 Disember 2010, Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, beserta rombongan Baginda telah selamat berangkat ke Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Sungai Asap B di Gua Musang.
Baginda, yang memandu sendiri range rover putih Baginda yang membawa tiga orang sahabat Baginda, iaitu Raja Razman Shah, Tim dan Marco (kedua-dua Tim dan Marco, yang merupakan sahabat-sahabat Baginda sewaktu Baginda masih belajar di United Kingdom dahulu, kini telah pun memeluk agama Islam kerana tertarik dengan keperibadian Baginda dan dengan keindahan agama Islam), bertolak dari Istana Telipot, Kota Bharu, di dalam suasana hujan renyai pada pukul 4.30 petang dan selamat tiba di Masjid Mukim RKT KESEDAR Sungai Asap B pada pukul 6.15 petang.
Selepas bersalaman dengan para penduduk tempatan dan para pegawai tinggi kerajaan negeri yang hadir, Baginda, dengan bantuan Dato’ Abdul Halim Hamad, terus mengambil wudhu’ dengan menggunakan gayung yang tersedia di kolah masjid dan menunaikan sembahyang Asar secara berjemaah bersama-sama ahli-ahli rombongan Baginda.
Selepas menunaikan sembahyang Asar, berwirid dan berdoa, Baginda terus menyampaikan kunci lapan buah rumah (bernilai RM30,000 setiap satunya) yang telah dibina dengan menggunakan wang zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) kepada lapan orang penduduk miskin tegar dari jajahan Gua Musang. Turut diberikan bantuan wang zakat sebanyak RM100 seorang adalah 100 penduduk berdekatan.
Setelah itu, Baginda meluangkan masa selama hampir setengah jam bagi beramah mesra dengan 29 orang asli dari Pos Hendrop di perkarangan masjid itu di mana Baginda telah memberikan mereka, yang diketuai oleh Ahoh @ Wahab bin Ibrahim, 29, peluang untuk menceritakan permasalahan mereka kepada Baginda. Setelah bertukar-tukar bicara mengenai aktiviti-aktiviti yang mereka lakukan bagi menyara kehidupan mereka, mereka pun mengemukakan hasrat mereka supaya Baginda dapat mengusahakan agar mereka dan rakan-rakan mereka yang lain yang kesemuanya berjumlah sekitar 200 orang diberikan hak milik tanah di dalam lingkungan 15 ekar seorang. Mendengarkan permintaan ini, Baginda segera menyatakan kesanggupan Baginda untuk memikirkan cara bagi membantu mereka mendapat tanah tersebut. Di dalam masa yang sama, Baginda menanyakan kepada mereka apakah yang mereka mahu usahakan di tanah tersebut, yang dijawab oleh mereka akan diusahakan dengan tanaman padi, pisang dan keledek. Baginda kemudiannya mencadangkan bahawa adalah lebih baik tanah itu diberikan secara berkelompok serta diusahakan secara beramai-ramai, dengan tanaman yang lebih menguntungkan seperti getah, bagi membolehkan tanah itu memberikan pulangan yang lebih baik. Kesemua orang asli ini juga turut diberikan bantuan wang zakat sebanyak RM100 seorang.
Kemudian Baginda, tanpa menghadapi walau sebarang kesulitan pun, terus sahaja menyembelih sendiri seekor lembu, juga di perkarangan masjid itu, di mana dagingnya, bersama-sama daging empat ekor lagi lembu yang telah disembelih pada sebelah paginya, diagih-agihkan kepada fakir miskin, termasuklah kepada hadirin majlis.
Seterusnya, Baginda berjalan kaki meredah hujan renyai sejauh kira-kira 500 meter untuk ke rumah seorang pesakit asma kronik, Sudin Che Ya, 59. Di sini, Baginda telah meluangkan masa selama kira-kira 15 minit untuk beramah mesra dengan pesakit tersebut. Di antara lainnya, pesakit tersebut menceritakan kisahnya yang menghidap asma, yang menyebabkan beliau tidak dapat bekerja (hanya mengharapkan hasil daripada tanaman getahnya yang diusahakan oleh penduduk lain) di samping menyebabkan beliau mengalami kesukaran untuk menyara dua orang anaknya yang masih bersekolah, iaitu Mohd Shahriza, 17, dan Mohd Ridzuan, 11, apatah lagi setelah beliau ditinggalkan oleh isterinya sejak sepuluh tahun yang lalu. Setelah bertukar-tukar bicara mengenai jenis-jenis ubatan yang pesakit tersebut gunakan bagi merawat penyakitnya itu, Baginda telah memberikan komitmen Baginda untuk membeli, sama ada di Kuala Lumpur atau di Singapura, peralatan rawatan terkini (yang boleh berfungsi apabila disambung dengan bekalan elektrik ataupun pencucuh api di dalam kereta) yang digunakan bagi merawat penyakit itu. Baginda juga menitahkan kepada Ketua Jajahan Gua Musang supaya mengusahakan pesakit tersebut dibawa untuk menjalani rawatan yang lebih terperinci di Hospital Daerah Gua Musang. Baginda kemudiannya bertanya pesakit tersebut jika ada apa-apa permintaan khusus yang dimahukan oleh beliau dari Baginda dan pesakit tersebut pun mengemukakan hasrat beliau supaya Baginda dapat membina sebuah rumah baru untuk beliau dan anak-anak beliau memandangkan rumah yang mereka diami sekarang sudah agak uzur. Mendengarkan permintaan ini, Baginda segera menyatakan kesanggupan Baginda untuk membantu membina rumah tersebut. Di samping itu, Baginda juga tidak lupa untuk memberikan sedikit sumbangan peribadi Baginda kepada pesakit tersebut.
Setelah itu, Baginda pun bergegas kembali ke Masjid Mukim RKT KESEDAR Sungai Asap B untuk menunaikan sembahyang Maghrib berjemaah bersama-sama para penduduk tempatan di sana. Setelah berwirid, berdoa, bersalaman dan beramah mesra dengan para jemaah, Baginda beserta rombongan Baginda pun berangkat ke Istana Persinggahan Gua Musang untuk beradu di sana dan seterusnya berangkat ke Kuala Lumpur keesokan harinya.
Dalam pada itu, di antara para pegawai tinggi kerajaan negeri yang turut hadir di dalam majlis ini adalah Ahli Majlis Perajaan Negeri, Dato’ Sukri Mohamed; Dato’ Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri, Dato’ Ismail Mohd Noor; Dato’ Seri Setia Raja Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Aiseri Alias; Dato’ Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Faudzi Che Mamat; Dato’ Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Dato’ Che Mohd Rahim Jusoh; Dato’ Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dato’ Kamaruddin Mohd Zain; dan Ketua Jajahan Gua Musang, Wan Mustapha Wan Abdul Hamid.