Thursday, December 23, 2010

ISU PENGANUGERAHAN GELARAN DATO' OLEH TENGKU ISKANDAR

Reactions: 
1. Kami telah dimaklumkan oleh beberapa pihak mengenai tindakan Persatuan Kerabat D’Raja DYMM Long Yunus Kelantan, yang diketuai oleh Tengku Iskandar Tengku Ahmad selaku Yang Dipertuanya, melangsungkan Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kehormatan Kebesaran Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Kerabat D’Raja DYMM Long Yunus Kelantan di Istana Dusun Green, Pasir Mas, pada hari Rabu, 15 Disember 2010, lalu.

2. Kami dimaklumkan bahawa persatuan ini telah mengadakan sepuluh darjah, bintang, pingat dan surat kepujian, iaitu Darjah Kerabat D’Raja DYMM Long Yunus (D.K.), Darjah Dato’ Sri Paduka D’Raja DYMM Long Yunus (D.S.P.D.), Darjah Dato’ Sri D’Raja DYMM Long Yunus (D.S.P.J.), Darjah Dato’ Paduka D’Raja DYMM Long Yunus (D.P.D.R.), Darjah Dato’ D’Raja DYMM Long Yunus (D.D.R.J.), Bintang Ahli D’Raja DYMM Long Yunus (A.D’Raja LY), Bintang Ahli D’Raja DYMM Tengku Iskandar (A.D’Raja TI), Pingat D’Raja Setia DYMM Long Yunus (P.S.D’Raja), Pingat D’Raja DYMM Tengku Iskandar (P.D’Raja TI) dan Surat Kepujian Penghargaan Jasa D’Raja DYMM Long Yunus (S.P.D’Raja).

3. Kami dimaklumkan bahawa, di dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kehormatan Kebesaran Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Kerabat D’Raja DYMM Long Yunus Kelantan itu, Darjah Kerabat D’Raja DYMM Long Yunus (D.K.) telah dikurniakan oleh Tengku Iskandar Tengku Ahmad kepada 3 penerima, Darjah Dato’ Sri Paduka D’Raja DYMM Long Yunus (D.S.P.D.) kepada 2 penerima, Darjah Dato’ Sri D’Raja DYMM Long Yunus (D.S.P.J.) kepada 7 penerima, Darjah Dato’ D’Raja DYMM Long Yunus (D.D.R.J.) kepada 17 penerima dan Bintang Ahli D’Raja DYMM Long Yunus (A.D’Raja LY) kepada 99 penerima.

4. Sukacita dimaklumkan bahawa Perkara 43 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) dengan jelas memperuntukkan bahawa: Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah pangkal segala kemuliaan dan kebesaran dalam Negeri ini dan Bagindalah sahaja boleh mengurniakan gelaran dan kebesaran serta mengadakan Pangkat-Pangkat Kemuliaan, Pingat-Pingat Kebesaran dan Kehormatan.

5. Sukacita juga dimaklumkan bahawa Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kehormatan Kebesaran Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Kerabat D’Raja DYMM Long Yunus Kelantan di Istana Dusun Green, Pasir Mas, itu tidak pernah sesekali disembah-maklum kepada, atau mempunyai perkaitan dengan, apatah lagi diperkenankan oleh, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, sebagaimana yang didakwa.

6. Kami juga dimaklumkan bahawa pihak berkuasa sedang membuat siasatan ke atas tindakan melangsungkan Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kehormatan Kebesaran Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Kerabat D’Raja DYMM Long Yunus Kelantan ini dan kami menyeru semua pihak supaya memberi kerjasama di dalam menjayakan siasatan ini.

7. Kami tidak menghalang mana-mana pihak dari membuat sebarang tuntutan ke atas takhta kesultanan Kelantan jika mereka berpendapat bahawa mereka mempunyai asas untuk berbuat demikian tetapi sukalah ditegaskan bahawa tuntutan ini perlulah dibuat mengikut saluran yang telah ditetapkan oleh perlembagaan dan undang-undang.

8. Tindakan mana-mana pihak memperuntukkan dengan secara semberono kepada diri mereka sendiri kedudukan dan kuasa yang diperuntukkan secara sah oleh perlembagaan dan undang-undang hanya kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan sahaja adalah satu perlanggaran yang jelas ke atas perlembagaan dan undang-undang.