Monday, December 6, 2010

SALAH SATU PUNCA PENARIKAN BALIK DARJAH-DARJAH KEBESARAN TENGKU RAZALEIGH HAMZAH

KU LI: TIGA KEADAAN TIDAK TERJADI, KESAHIHAN SULTAN BARU DIRAGUI
(TERJEMAHAN DARI AKHBAR SIN CHEW DAILY, 14 SEPTEMBER 2010)


KUALA LUMPUR, 13 Sept – Timbalan Yang Dipertua Majlis Perajaan Negeri Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata, dalam keadaan Baginda Sultan Kelantan masih hidup, tidak menghilangkan diri dari Kelantan tanpa alasan kukuh lebih daripada setahun ataupun turun dari takhta secara sukarela, kesahihan pemasyhuran Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, sebagai Sultan adalah diragui.

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga memberitahu Sin Chew Daily bahawa jika kedudukan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan tidak sah dari segi undang-undang, semua akta yang bakal diluluskan oleh dewan undangan negeri yang mendapat perkenan Baginda juga tidak sah.

Beliau berkata, hanya dalam tiga keadaan sahaja Sultan boleh digantikan, iaitu jika Sultan mangkat, menghilangkan diri dari Kelantan tanpa alasan kukuh lebih daripada setahun ataupun jika Sultan turun dari takhta secara sukarela. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga keadaan itu tidak berlaku di Kelantan, maka tiada sebab pemasyhuran Sultan baru dilakukan.

“Apa yang paling dibimbangkan ialah kedudukan Sultan yang tidak sah dari segi undang-undang memberi kesan yang mendalam; rang undang-undang yang diluluskan oleh dewan undangan negeri perlu mendapat perkenan Sultan sebelum dikuatkuasakan sebagai akta; jika Sultan tidak sah dari segi undang-undang akta berkenaan juga turut menjadi tidak sah dan belanjawan tahunan yang dibahaskan dalam dewan juga tidak sah”.

“Baginda Sultan juga perlu menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja, membuat keputusan mengenai perlantikan hakim dan sebagainya, ini akan memberi kesan kepada semua, sebab itulah timbulnya kebimbangan”.

Beliau berpendapat perkara sebegini berlaku disebabkan undang-undang berkaitan institusi raja tidak lagi dihormati.