Saturday, May 4, 2013

TEKS UCAPAN YM TENGKU IBRAHIM FARIHADDIN BIN TENGKU FEISSAL PADA MAJLIS RAMAH MESRA KDYMM SULTAN MUHAMMAD V DENGAN RAKYAT DI JAJAHAN GUA MUSANG DI DEWAN SIVIK GUA MUSANG PADA 2 MEI 2013

Reactions: 
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.

ASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

1. MENGADAP KDYMM SULTAN MUHAMMAD KE-V, SULTAN DAN YANG DIPERTUAN BAGI NEGERI KELANTAN DARUL NAIM.

AMPUN TUANKU,

2. PATIK MERAFAK SEMBAH MENJUNJUNG KASIH YANG TIDAK TERHINGGA DI ATAS AMPUNI PERKENAN TUANKU UNTUK BERANGKAT HADIR MENCEMAR DULI KE MAJLIS RAMAH MESRA KDYMM SULTAN MUHAMMAD V DENGAN RAKYAT DI JAJAHAN GUA MUSANG DI DEWAN SIVIK GUA MUSANG DI PETANG YANG MULIA DAN PENUH BERSEJARAH INI SERTA PENUH KEBERKATAN.

3. KEBERANGKATAN HADIR TUANKU MENCEMAR DULI KE MAJLIS RAMAH MESRA INI MENJADI BUKTI KEPRIHATINAN TUANKU DAN KASIH SAYANG TUANKU YANG AMAT MENDALAM TERHADAP RAKYAT TUANKU DI JAJAHAN GUA MUSANG INI, SEKALIGUS MENJADIKAN MAJLIS INI LEBIH INDAH BERSERI SERTA MERAPATKAN LAGI IKATAN YANG LEBIH AKRAB DAN KUKUH ANTARA TUANKU SULTAN DAN RAKYAT GUA MUSANG INI.

AMPUN TUANKU,

4. PATIK DAN SEKALIAN HAMBA RAKYAT MERASA AMAT BERSYUKUR DENGAN PEMASYHURAN KDYMM SEBAGAI SULTAN DAN YANG DIPERTUAN BAGI NEGERI KELANTAN DARUL NAIM PADA 13 SEPTEMBER 2010, HANYA DENGAN LIMPAH PERKENAN ALLAH S.W.T. JUALAH MAKA PATIK SEKALIAN DIKURNIAKAN DENGAN SEORANG SULTAN YANG TINGGI BUDI PEKERTI, WARAK DAN ZUHUD SEUMPAMA KDYMM TUANKU.

AMPUN TUANKU,

5. PATIK MEMOHON AMPUNI PERKENAN KDYMM TUANKU UNTUK BERUCAP MENGGUNAKAN PERKATAAN-PERKATAAN YANG DIGUNAKAN OLEH RAKYAT JELATA KEPADA TETAMU-TETAMU YANG DIHORMATI SEKALIAN.

6. YANG AMAT BEHORMAT DATO’ TIMBALAN MENTERI BESAR KELANTAN, YB DATO’ SPEAKER DEWAN UNDANGAN NEGERI KELANTAN, YBHG DATO’ SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI KELANTAN, YANG BERHORMAT DATO’-DATO’ PENGARAH JABATAN-JABATAN PERSEKUTUAN DAN JABATAN-JABATAN NEGERI, YBRSH PEGAWAI-PEGAWAI KERAJAAN NEGERI DAN PERSEKUTUAN, YBHG PRESIDEN PERSATUAN BURUNG KETITIR KELANTAN, YANG BERUSAHA PRESIDEN KELAB-KELAB AUTO SHOW KELANTAN, YANG MULIA TENGKU-TENGKU, DATO’-DATO’, DATIN-DATIN, PENGGAWA-PENGGAWA, TOK PENGHULU–TOK PENGHULU, IMAM-IMAM, TOK BATIN-TOK BATIN ORANG-ORANG ASAL, WAKIL-WAKIL NGO, TOK HAJI TOK HAJI, MAK CIK HAJI MAK CIK HAJI, AYAHANDA–AYAHANDA, BONDA-BONDA, KEKANDA–KEKANDA, ADINDA-ADINDA SERTA HADIRIN DAN HADIRAT SEKALIAN.

7. BACAAN SURAH AL-MAIDAH AYAT 2 (TERJEMAHAN: HENDAKLAH KAMU MENYERU KE ARAH KEBAIKAN DAN TOLONG-MENOLONG DAN JANGANLAH KAMU MENYERU KE ARAH KEBURUKAN DAN BERTAQWALAH KEPADA ALLAH S.W.T.)

8. SIDANG HADIRIN SEKALIAN, IZINKAN SAYA BERCAKAP DALAM BAHASA RASMI DAN LOGHAT KELANTAN, SEBAB SEMUANYA MAKAN BUDU. BIARKAN AMBO PERKENALKAN DIRI AMBO DULU. NAMA AMBO TENGKU IBRAHIM FARIHADDIN BIN TENGKU FEISSAL. AMBO ANOK ARWAH TENGKU FEISSAL. GELARAN ALMARHUM AYAHANDA, TENGKU KAYA PERKASA DAN ALMARHUM AYAHANDA AMBO DIKURNIAKAN D.K. (DARJAH KERABAT) DAN DIBERI AMANAH DAN MENUNAIKAN TITAH SERTA TANGGUNGJAWAB SEBAGAI SALAH SEORANG AHLI MAJLIS PERAJAAN NEGERI KELANTAN (MPN) YANG AMAT TAAT SETIA KEPADA SULTANNYA WALAUPUN SULTAN ISMAIL TU ANAK SEDARA ALMARHUM AYAHANDA AMBO DAN TAAT SETIA KEPADA TENGKU MAHKOTA KELANTAN PADA MASO TU TUANKU SULTAN MUHAMMAD V, CUCU SAUDARA AYAHANDA AMBO. WALAU PANGKAT AYAH SAUDARA, TOK SAUDARA ATAU AYAH SEPUPU MENGIKUT ADAT KELUARGA, KENO TAAT SETIA KEPADA SULTAN YANG MEMERINTAH DI ATAS TAKHTA KERAJAAN NEGERI KELANTAN.

9. AYAHANDA AMBO NAMO TENGKU FEISSAL IBNI ALMARHUM SULTAN IBRAHIM, AYAHANDA AMBO ANAK SULTAN ATAU ANAK RAJA. OLEH ITU, GELARAN ANAK RAJA ADALAH UNTUK ANAK SULTAN. AMBO PULOK CUCU SULTAN ATAU CUCU RAJA. JADI HOK MUDOH, ANAK RAJA NI ADALAH ANOK SULTAN SEBAB KENO ADO BIN SULTAN ATAU BINTI SULTAN UNTUK ANOK PEREMPUAN. HOK BUKAN BIN SULTAN MACAM AMBO NI ORE PANGGIL KERABAT D’RAJA, HARAP-HARAP SEMUA FAHAM.

HADIRIN HADIRAT SEKALIAN,

10. PADA HARI YANG MULIO INI PENUH KEBERKATAN DAN KETAATSETIAAN, AMBO AKAN BERI UCAPAN AMBO, TAJUKNYA SISTEM PERAJAAN KELANTAN, SEBAB RAMAI RAKYAT SEMUA TAK KENAL DAN MASIH TAK BERAPO TAHU SEJARAH KETURUNAN SULTAN KELANTAN. JADI AMBO NAK ROYAT SEJARAH SALASILAH KELUARGA D’RAJA KELANTAN. BAK KATA PEPATAH, TAK KENAL MAKA TAK CINTA. KALU YANG JAUH DIDEKATKAN, YANG DEKAT DIRAPATKAN, YANG RAPAT DIMESRAKAN, YANG DERHAKA KITA LEMPARKAN.

(SLIDE SHOW SALASILAH)

HADIRIN HADIRAT SEKALIAN,

11. AMBO DIFAHAMKAN DAN TERKEJUT ‘TEDDY BEAR’ DAPAT MAKLUMAT RAMAI RAKYAT DI GUA MUSANG KHUSUSNYA, TERMASUK ORANG ASAL, TAK KENAL SIAPA SULTAN ATAU RAJA KELANTAN LO NI. INI KERANA TERDAPAT ANASIR YANG TIDAK SIHAT MENGGUNAKAN PELBAGAI CARA DAN MEMPERTIKAIKAN DAN CUBA MENCABAR KEDUDUKAN KDYMM TUANKU SULTAN MUHAMMAD KE V. TAHUKAH HADIRIN SEKALIAN, ANASIR JAHAT INI ATAU PENDERHAKA INI TELAH BANYAK DO’OH MELAKUKAN PERKARA DERHAKA KEPADA SULTAN MUHAMAD V? OLEH ITU AMBO NAK ROYAT KO HADIRIN SEMUO DI GUA MUSANG HARI INI KRONOLOGI SERTA SEJARAH PENDERHAKAAN INI. KALU ZAMAN MOYANG AMBO, ALMARHUM SULTAN MUHAMMAD IV, DAN TOK AMBO, SULTAN IBRAHIM, KENA BUANG NEGERI DOH SEK-SEK DERAKO ATAU TOHOK LAUT DOH PENDERHAKA-PENDERHAKA INI, SAPA KO TIANG RUMAH TOHOK LAUT, TAPI KITA LO NI HIDUP DI BAWAH ZAMAN DEMOKRASI RAJA BERPELEMBAGAAN DAN SUDAH TENTU ADA UNDANG-UNDANG TUBUH KDYMM TUANKU SULTAN DAN SETIAP TINDAKAN TUANKU SULTAN MUHAMMAD V ADALAH MENGIKUT PERLEMBAGAAN DAN NAS-NAS PERUNDANGAN.

HADIRIN HADIRAT SEKALIAN,

12. KOMPLOT PENDERHAKAAN INI BERMULA SEMENJAK PERLANTIKAN TUANKU SULTAN MUHAMMAD V SEBAGAI PEMANGKU RAJA LAGI. APABILA SULTAN ISMAIL PETRA JATUH GERING, TIGA MINGGU AMBIL MASA MELANTIK PEMANGKU RAJA. DI NEGERI JOHOR, SEPULUH MINIT SULTAN GERING SUDAH MELANTIK PEMANGKU RAJA. KENAPA BERLAKU BEGINI? MESTI ADA UDANG DI SEBALIK MEE MAGGI. KOMPLOT PENDERHAKAAN TERBESAR INI BERMULA SEJAK HARI AHAD, 24 MEI 2009, APABILA KDYMM SULTAN MUHAMMAD V YANG KETIKA ITU DILANTIK MENJADI PEMANGKU RAJA, PUOK-PUOK PENDERHAKA INI DENGAN BERUSAHA CUBA MEMECAT KDYMM TUANKU KITA INI JADI PEMANGKU RAJA DAN MELANTIK ORANG LAIN SEBAGAI PEMANGKU RAJA BARU PADA HARI KHAMIS, 25 MAC 2010. TAPI ALLAH S.W.T. MAHA KAYO DAN MENGETAHUI DAN YANG MAHA MENENTUKAN, USAHA PALO PENDERHAKA INI MENEMUI KEGAGALAN. SETERUSNYA, PENDERHAKAAN YANG DIBUAT OLEH SEK-SEK DERAKO NI BERLAKU LAGI APABILA KDYMM SULTAN MUHAMMAD V MAHU DIPUTUSKAN UNTUK DIMASYHURKAN SEBAGAI SULTAN PADA HARI ISNIN, 13 SEPTEMBER 2010, DI MANA PALO DERAKO INI TELAH GAGAL HADIR DI DALAM MESYUARAT MAJLIS PERAJAAN TANPA MEMBERIKAN APA-APA SEBAB KEPADA YBM YANG DIPERTUA MAJLIS PERAJAAN NEGERI.

HADIRIN HADIRAT SEKALIAN,

13. KEMUNCAK KEPADA PENDERHAKAAN INI BERLAKU SETELAH KDYMM SULTAN MUHAMMAD V DIMASYHURKAN SEBAGAI SULTAN KELANTAN PADA HARI ISNIN, 13 SEPTEMBER 2010, DI MANA PIHAK PENDERHAKA INI TELAH MEMBUAT PELBAGAI KENYATAAN MEDIA YANG BIADAP. ANTARANYA PADA HARI ISNIN, 13 SEPTEMBER 2010, HARI KHAMIS, 14 OKTOBER 2010, DAN HARI ISNIN, 6 DISEMBER 2010. POK-POK DERAKO INI DENGAN LANTANGNYA MENGISYTIHARKAN PEMASYHURAN TUANKU SULTAN MUHAMMAD V TIDAK SAH. SEK DERAKO NI TANPO RASO MALU MINTOK PULOK MAJLIS RAJA-RAJA, KERAJAAN PERSEKUTUAN DAN KERAJAAN KELANTAN CAMPUR TANGAN DALAM HAL NI. TAPI MAJLIS RAJA-RAJA, KERAJAAN PERSEKUTUAN DAN KERAJAAN NEGERI KELANTAN TAK HIRAU LANGSUNG MALAH MENYOKONG TEGUH KDYMM SULTAN MUHAMMAD V, SULTAN YANG SAH DI ATAS TAKHTA KERAJAAN NEGERI KELANTAN.

HADIRIN HADIRAT SEKALIAN,

14. SEK DERAKO DENGAN PALO DERAKO NI CUBA PULOK MENCABAR KESAHIHAN PEMASYHURAN KDYMM SULTAN MUHAMMAD V SEBAGAI SULTAN DI MAHKAMAH TETAPI ALHAMDULILLAH, USAHA-USAHA SEK DERAKO NI NGELAS-NGELAS JILAT CHOK, TEPUH DINDING PAGAR, DAN KEPUTUSAN MAHKAMAH PERSEKUTUAN DI DALAM PENGHAKIMANNYA PADA 26 NOVEMBER 2010 DAN PADA 10 FEBRUARI 2011 TELAH MENJADI BUKTI YANG SANGAT JELAS DAN MUKTAMAD BAHAWA SEGALA TITAH TINDAKAN KDYMM TUANKU SULTAN MUHAMMAD V ADALAH MENGIKUT KEHENDAK UNDANG-UNDANG DAN PERLEMBAGAAN NEGERI DAN NEGARA.

HADIRIN HADIRAT SEKALIAN,

15. BOS PADA SEK-SEK PENDERHAKO INI NOK TAHU KO SAPO??? KU LI, KU LI LAH PENDERHAKO TERSEBUT DAN DARI DULU SAPA SEKARANG MENGAKU SEBAGAI RAJA ATAU ANAK RAJA PADAHAL RAJA NEGERI NI SULTAN MUHAMMAD V DAN DALE SALASILAH RAJA KELANTAN ATAU KESULTANAN KELANTAN HOK AMBO JELAS DAN ROYAT AWAL-AWAL TADI TAK DOK KETURUNAN TENGKU RAZALEIGH PUN BOLEH DAKWA DIRI DIA SEBAGAI RAJA WALAU SEINCI TANAH DI BAHAGIAN DALAM NEGERI INI. DOH LAH TU, ANUGERAH D.K. (DARJAH KERABAT) TELAH DITARIK BALIK OLEH KDYMM SULTAN MUHAMMAD V PADA 2 DISEMBER 2010, DAN NGAKU LAGI JADI ANAK RAJA TAK ROYAT CERITO SENGOTI KO RAKYAT GUA MUSANG NI. KESIAN RAKYAT GUA MUSANG NI KENA BELIT FAKTA .

16. OLEH ITU, AMBO NAK MITOK TOLONG BANYOK-BANYOK KEPADA SEMUA RAKYAT GUA MUSANG HOK MANO TUANKU SULTAN MUHAMMAD V SANGAT SAYANG SEPENUH JIWA DAN RAGO SERTA CAKNO KO RAKYAT GUA MUSANG INI, MARILAH KITA TUNJUK TAAT SETIA DAN SAYANG KEPADA TUANKU SULTAN MUHAMMAD V, SEORANG SULTAN YANG BERJIWA RAKYAT, DENGAN SAMO-SAMO RAKYAT GUA MUSANG INI BERUSAHA MATI-MATIAN, SEPERTI MEMBUJUR LALU MELINTANG PATAH MENGHALANG PENDERHAKO ORE HOK NAMO KU LI TU. SAYANG TU ATAU ‘I LOVE SULTAN MUHAMMAD V’ BUKE SETAKAT SAYANG DALAM HATI DAN DI BIBIR SAJO TAPI KENA TERJEMOH KO SELURUH JIWO SERTA RAGO DAN PERBUATAN KITA. NAWAITU KESETIAAN KO SULTAN MUHAMMAD V TU HOK PENTING. WAHAI RAKYAT GUA MUSANG, WAHAI WARGA GUA MUSANG, WAHAI ORANG ASAL GUA MUSANG, BOLEH KO JANJI TUNJUK KETAATAN, KESETIAAN DAN KASIH PADA TUANKU KITA SULTAN MUHAMMAD V DENGAN JANGAN BERSEKONGKOL DENGAN PENDERHAKA INI?

TAKBIR ALLAHU AKBAR 3X UNTUK SULTAN MUHAMMAD V. TAKBIR.

AMPUN TUANKU,

17. DEMIKIANLAH SEDIKIT SEBANYAK SEJARAH SALASILAH KESULTANAN D’RAJA KELANTAN DAN KISAH PENDERHAKAAN PIHAK PENDERHAKA TERHADAP DIRI TUANKU. SEMOGA PENERANGAN PATIK INI DAPAT MEMBERI KEFAHAMAN YANG SEBENAR SERTA JELAS KEPADA SEMUA RAKYAT BERKENAAN DENGAN KESULTANAN KELANTAN YANG BERDAULAT. PATIK MEMOHON AMPUN MERAFAK SEMBAH SERTA MEWAKILI SEKALIAN HAMBA RAKYAT SEKALI LAGI INGIN MERAKAMKAN TAAT SETIA YANG TIDAK BERBELAH BAGI TERHADAP KDYMM TUANKU. PATIK SEKALIAN SENTIASA BERDOA AGAR KDYMM TUANKU DILANJUTKAN USIA DAN KEKAL BERSEMAYAM DI ATAS TAKHTA DENGAN PENUH KEBESARAN DAN KEMULIAAN. SEMOGA ALLAH S.W.T. MELINDUNGI KDYMM TUANKU, YTM TENGKU MAHKOTA KELANTAN SERTA SELURUH USRAH D’RAJA DARI SEGALA KEJAHATAN MANUSIA DAN SYAITAN AGAR MEMERINTAH TAKHTA NEGERI KELANTAN DARUL NAIM YANG TERCINTA INI DENGAN ADIL DAN SAKSAMA.

WABILLAHI TAUFIQ WAL HIDAYAH.

WASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

Saturday, November 12, 2011

TITAH UCAPAN HARI KEPUTERAAN SULTAN MUHAMMAD KE-V

Reactions: 
TITAH UCAPAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
SULTAN MUHAMMAD KE-V DI MAJLIS SINGGAHSANA
PADA 12 NOVEMBER 2011M BERSAMAAN 16 ZULHIJJAH 1432H
DI ISTANA BALAI BESAR, KOTA BHARU, KELANTAN


Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bismillahir rahmanir rahim.

Sesungguhnya segala pujian, sanjungan dan kesyukuran dirafak ke hadrat Allah SWT, Tuhan pentadbir seluruh alam, memiliki tampuk kekuasaan yang mutlak yang mengurniakan sedikit kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan akan menarik balik kekuasaan daripada sesiapa yang Dia kehendakinya dan menghinakan sesiapa yang Dia kehendakinya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.

Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, utusan Allah yang menjadi pemimpin agung ditampilkan bagi meratakan rahmat agama Islam ke seluruh alam.

Dipohonkan semoga rahmat dan kesejahteraan terus mengalir kepada setiap keluarga Baginda dan para sahabatnya dan para pengikutnya hingga ke akhir zaman.

Alhamdulillah, beta merafak setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas limpah rahmat dan kurnia-Nya beta sentiasa berada di dalam kandungan sihat wal’afiat dan sejahtera.

Beta dengan sukacitanya ingin menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada kerabat-kerabat diraja, menteri besar yang telah mewakili pihak kerajaan negeri dan rakyat jelata sekalian di atas persembahan ucapan tahniah dan ikrar taat setia sebentar tadi.

Sesungguhnya sembah ucapan dan ikrar taat setia yang dipersembahkan kepada beta sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan beta adalah suatu pernyataan jujur sebagai menjunjung institusi raja berperlembagaan dan sebagai simbolik kepada hubungan yang erat dan mendalam di antara institusi beraja dan rakyat jelata yang sentiasa kasih-mengasihi yang diwarisi turun temurun oleh rakyat beta.

Beta mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh rakyat jelata yang telah menumpahkan taat setia, menunjukkan kasih sayang ke hadapan beta.

Beta dengan hati yang gembira dan sukacita mengalu-alukan kedatangan dan kehadiran para tetamu beta dari dalam dan luar negara. Beta mendapat maklum bahawa tetamu-tetamu beta telah memberi komitmen yang tinggi semata-mata untuk sama-sama memeriah dan menyerigemilangkan lagi sambutan ulang tahun hari keputeraan beta yang julung kali diadakan pada tahun ini. Beta berharap semua tetamu beta berada di dalam keselesaan sepanjang berada di sini dan semoga selamat nanti dalam perjalanan kembali ke destinasi masing-masing.

Beta bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat hidup dalam iklim negeri Kelantan yang mendapat nama jolokan “Serambi Mekah” yang rakyatnya sejak sekian lama mewujudkan jalinan perhubungan yang erat dan mesra antara institusi beraja dengan rakyat jelata.

Meskipun demikian, beta ingin mengingatkan rakyat dan masyarakat di segenap lapisan agar sentiasa berwaspada, berhati-hati, peka terhadap kemunculan iklim yang tidak sihat yang dicetuskan oleh anasir-anasir anti-establishment dalam masyarakat yang cuba mengubah landskap kehidupan harmoni dan damai dengan menampilkan sikap buat-buat lupa fakta sejarah “kontrak sosial” yang telah dipersetujui bersama dengan mencetuskan isu-isu berkaitan agama Islam, mencabar kewibawaan raja-raja, kedudukan bahasa Melayu dan banyak lagi sebagai modal untuk meraih kepentingan diri dan kumpulan.

Beta berseru kepada semua pihak hentikanlah daripada bermain api, sikap provokasi yang boleh mencetuskan gelora keadaan dan suasana yang tidak tenteram dalam masyarakat dan negara.

Sebagaimana kita sedia maklum, dunia terus mengalami perubahan iklim tidak menentu yang mengakibatkan pemanasan global dan mala petaka seperti gempa bumi, banjir dan kemarau serta taufan. Kesan yang paling awal yang akan dapat dilihat ialah kemerosotan pengeluaran hasil makanan. Pertumbuhan ekonomi global yang lemah dan muram pada tahun ini berbanding tahun lepas turut memberi kesan yang tidak baik kepada ekonomi dunia. Krisis hutang negara-negara di Eropah menimbulkan risiko penurunan terhadap kestabilan kewangan dunia dan pemulihan ekonomi di negara maju terus perlahan dan lembab. Inflasi juga semakin meningkat dan merupakan cabaran besar kepada banyak negara.

Semua fenomena ini memberi implikasi kepada ekonomi negara dan negeri ini. Kesan tersebut sudah tentu dirasai oleh rakyat negeri ini. Oleh itu, marilah kita semua menggemblengkan tenaga bekerjasama dalam memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dicapai pada kadar yang baik. Semua pihak perlu bangkit mencapai pendekatan dan penyelesaian yang inovatif ke arah meningkatkan momentum pertumbuhan dan mengekalkan kesejahteraan rakyat.

Beta berharap agar sektor pertanian, penternakan dan perikanan memainkan peranan yang lebih berkesan, peka kepada perkembangan teknologi terkini, mesra alam dan lestari. Aktiviti pertanian juga perlu meneroka pendekatan yang terkini seperti pertanian agronomik. Pembangunan infrastruktur pertanian seperti jalan dan sistem pengairan perlulah dipertingkatkan untuk memastikan hasil pertanian yang optimum. Tanah-tanah terbiar juga perlulah dimajukan dengan medan guna tanah yang terkini.

Menyentuh mengenai pelaburan masuk ke negeri Kelantan, beta mendapat maklum bahawa beberapa projek besar sedang dalam perancangan dan pelaksanaan yang akan mengubah landskap ekonomi negeri Kelantan seperti projek “supply base” di Tok Bali, pembangunan dan pengindahan tebing Sungai Kelantan di Lembah Sireh, Kota Bharu, projek pembinaan saluran paip petroleum dari Perak ke Kelantan, pelabuhan darat dan pembangunan bersepadu di Kuala Krai.

Sektor pembinaan dan pelaburan di negeri Kelantan dijangka akan mempunyai prospek yang tinggi pada tahun-tahun akan datang sekiranya projek-projek seperti projek pembangunan dan pengindahan sungai di jajahan Kota Bharu dan jajahan Tumpat, projek jalan persekutuan laluan lapan dan sembilan (central spine road) dan pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dapat dilaksanakan.

Dalam menghadapi risiko banjir setiap kali tibanya musim tengkujuh, beta berharap rancangan tebatan banjir lembangan Sungai Kelantan yang sedang giat dilaksanakan itu akan dapat mengatasi atau mengurangkan banjir di negeri ini.

Suka beta menarik perhatian bahawa dalam mengatur perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri, langkah-langkah bagi mengurangkan defisit perbelanjaan perlulah diberi perhatian walaupun belanjawan defisit adalah suatu kelaziman di kebanyakan negara.

Sehubungan dengan itu, beta berharap kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah-langkah positif bagi mengurangkan belanjawan defisit supaya angka defisit tersebut masih dalam jangkauan terkawal. Bagi mengurangkan belanjawan defisit, kerajaan negeri seharusnya mengambil pendekatan perbelanjaan berhemah dengan memberi keutamaan kepada perbelanjaan mengikut keperluan sebenar. Kerajaan negeri hendaknya memberi penekanan kepada meningkatkan hasil dan menambahkan punca hasil.

Di kesempatan ini, beta ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada jawatankuasa sambutan perayaan ulang tahun hari keputeraan beta, kerabat-kerabat diraja, menteri besar, ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan, orang-orang besar negeri, wakil-wakil rakyat, pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutuan, para alim ulama, pasukan polis dan tentera, pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, badan-badan berkanun negeri dan persekutuan, pihak berkuasa tempatan, ahli-ahli pertubuhan kebajikan dan sukarelawan serta seluruh rakyat jelata negeri ini yang beta kasihi yang sentiasa menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada beta.

Sebagai mengakhiri titah ucapan beta ini, marilah kita sama-sama memohon doa ke hadrat Allah SWT semoga kita semua sentiasa mendapat pertolongan dan berada di dalam pemeliharaan serta barakah Allah yang berterusan. Semoga negara dan negeri ini berada di dalam kemakmuran, dilindungi dari apa jua bentuk bala bencana, huru-hara dan perkara-perkara yang tidak diingini.

Amin ya rabbal ‘alamin

Wabillahi taufik wal hidayah

Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sunday, September 4, 2011

SAMBUTAN HARI RAYA SULTAN MUHAMMAD KE-V

Reactions: 
Alhamdulillah, Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini merupakan kali pertama Sultan Muhammad Ke-V menyambutnya bersama rakyat Kelantan selaku Sultan Kelantan.

Seperti lazimnya, program pertama Sultan Muhammad Ke-V di pagi raya adalah menunaikan solat Aidil Fitri di Masjid Muhammadi, Kota Bharu, pada jam 8.30 pagi.

Pada jam 9.30 pagi pula, Sultan Muhammad Ke-V telah berkenan untuk berangkat ke Makam Diraja Langgar, Kota Bharu, untuk menziarahi makam-makam keluarga diraja.

Ini diikuti oleh keberangkatan Baginda untuk berhari raya bersama rakyat di Istana Negeri, Kubang Kerian, pada jam 10.30 pagi. Pada tahun ini acara ini telah dititah supaya dipindahkan dari Istana Balai Besar, Kota Bharu, ke Istana Negeri, Kubang Kerian, yang lebih luas bagi membolehkan lebih ramai rakyat dapat berhari raya bersama Baginda. Alhamdulillah, titah ini adalah satu titah yang tepat kerana lebih ramai rakyat hadir ke acara ini pada kali ini. Selain bersalaman dan beramah-mesra, Baginda juga telah memperkenankan permintaan rakyat untuk bergambar bersama Baginda.

Pada jam 5.00 petang, Baginda telah berkenan untuk menerima menghadap Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan di Istana Negeri, Kubang Kerian.

Setelah majlis penghadapan tersebut selesai pada jam 5.30 petang, Baginda telah membuat keputusan mengejut untuk turut berangkat menunaikan solat ke atas jenazah mudir Pondok Terusan, Pasir Tumboh, Tuan Guru Haji Hashim Abu Bakar, yang telah kembali ke rahmatullah pada jam 1.10 tengahari sebelumnya (arwah Tuan Guru Haji Hashim juga telah Baginda anugerahkan dengan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) pada tahun lalu bagi menghargai sumbangan besar beliau kepada rakyat). Sesungguhnya inilah salah satu bukti kecintaan Baginda terhadap para ulama'.

Sebelum itu, pada hari terakhir Ramadhan, Baginda juga telah mengejutkan jama'ah di Masjid Telipot, Kota Bharu, yang turut meliputi ramai anak perantau yang telah selamat kembali ke kampung halaman apabila dengan tiba-tiba sahaja muncul untuk menunaikan solat sunat dan solat Subuh di sana tanpa sebarang protokol dan pengumuman serta tanpa diiringi oleh mana-mana pegawai seperti lazimnya. Kehadiran Baginda yang hanya disedari setelah Baginda selesai menunaikan solat sunat ternyata menggembirakan jamaah yang memenuhi ruang masjid itu yang telah mengambil kesempatan itu untuk berbaris panjang bagi bersalam dengan Baginda setelah Baginda selesai menunaikan solat Subuh.

Bersama-sama ini disertakan sebahagian foto sambutan hari raya Sultan Muhammad Ke-V untuk tatapan pengunjung blog. Selamat hari raya, maaf zahir batin, untuk semua.
































Tuesday, August 2, 2011

PROGRAM RAMADHAN BERSAMA RAKYAT SULTAN KELANTAN

Reactions: 
Alhamdulillah, sepanjang bulan Ramadhan yang berkat ini, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, sekali lagi akan meluangkan masa Baginda untuk berbuka puasa dan bersolat bersama rakyat di seluruh pelosok negeri.

Lebih indah lagi, jika pada tahun lalu keberangkatan Baginda ke majlis-majlis ini adalah di atas kapasiti Baginda selaku Pemangku Raja Kelantan, pada tahun ini ia dibuat di atas kapasiti Baginda selaku Sultan Kelantan pula.

Seperti sebelumnya, Baginda juga berkenan menganugerahkan sedikit kurniaan kepada rakyat yang kurang bernasib baik, sama ada di dalam majlis pengurniaan khas atau melalui keberangkatan Baginda ke rumah-rumah mereka.

Sebagai makluman, disertakan di sini lokasi-lokasi yang telah dan akan dikunjungi oleh Sultan Kelantan di dalam program keberangkatan Baginda bersama rakyat pada bulan Ramadhan ini:

1. 1 Ramadhan 1432 bersamaan 1 Ogos 2011 (Isnin): Masjid Kuala Betis, Gua Musang.

2. 2 Ramadhan 1432 bersamaan 2 Ogos 2011 (Selasa): Masjid Muhammadi, Kota Bharu.

3. 3 Ramadhan 1432 bersamaan 3 Ogos 2011 (Rabu): Masjid Mukim Tendong, Pasir Mas.

4. 4 Ramadhan 1432 bersamaan 4 Ogos 2011 (Khamis): Masjid Mukim Bukit Panau, Tanah Merah.

5. 6 Ramadhan 1432 bersamaan 6 Ogos 2011 (Sabtu): Masjid Mukim Hutan Puteh, Pangkal Meleret, Machang.

6. 8 Ramadhan 1432 bersamaan 8 Ogos 2011 (Isnin): Masjid Mukim Bunut Sarang Burung, Tumpat.

7. 10 Ramadhan 1432 bersamaan 10 Ogos 2011 (Rabu): Masjid Mukim Paya Rambai, Kota Bharu.

8. 11 Ramadhan 1432 bersamaan 11 Ogos 2011 (Khamis): Masjid Ahmadi, Kemumin, Pengkalan Chepa.

9. 12 Ramadhan 1432 bersamaan 12 Ogos 2011 (Jumaat): Masjid Mukim Nipah, Bachok.

10. 14 Ramadhan 1432 bersamaan 14 Ogos 2011 (Ahad): Masjid Mukim Melor, Kota Bharu.

11. 17 Ramadhan 1432 bersamaan 17 Ogos 2011 (Rabu): Masjid Salam, Kota Bharu.

12. 19 Ramadhan 1432 bersamaan 19 Ogos 2011 (Jumaat): Masjid Mukim Peringat, Kota Bharu.

13. 21 Ramadhan 1432 bersamaan 21 Ogos 2011 (Ahad): Masjid Mukim Padang Bongor, Kota Bharu.

14. 23 Ramadhan 1432 bersamaan 23 Ogos 2011 (Selasa): Masjid Pintu Geng, Kota Bharu.

15. 25 Ramadhan 1432 bersamaan 25 Ogos 2011 (Khamis): Istana Balai Besar, Kota Bharu.

Seluruh golongan rakyat yang berhajat untuk berbuka puasa dan bersolat bersama Sultan Kelantan adalah dipersilakan untuk menghadiri majlis-majlis ini.

Monday, August 1, 2011

CINTA SULTAN MUHAMMAD KE-V KEPADA AYAHANDANYA

Reactions: 
Demi cinta, kasih dan sayang Baginda kepada paduka ayahanda Baginda, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra, maka pada hari Khamis, 28 Julai 2011, lalu Sultan Kelantan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V, telah membuat satu keputusan yang bijaksana dengan menggunakan dana peribadi Baginda sendiri bagi menjelaskan kemudahan overdraf yang telah diberikan oleh CIMB Bank Berhad kepada paduka ayahanda Baginda sebelum ini yang nilai mutakhirnya berjumlah sebanyak RM2,731,550.

Sesungguhnya tindakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V ini merupakan satu pengorbanan terpuji yang didorong oleh keinsafan Baginda bahawa keadaan kesihatan paduka ayahanda Baginda sudah pasti tidak akan mengizinkan paduka ayahanda Baginda dari menjelaskannya sendiri. Inilah satu lagi petanda jelas betapa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V adalah seorang anak bertanggungjawab yang tidak pernah sama sekali melupakan jasa-jasa paduka ayahanda bonda Baginda.

Allahu Akbar.

Thursday, April 21, 2011

SULTAN MUHAMMAD KE-V MENERIMA KURNIAAN DK JOHOR

Reactions: 
























Pada hari Khamis, 14 April 2011, Tengku Mahkota Johor, Yang Teramat Mulia Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim, sebagai mewakili ayahanda Baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, telah berangkat ke Istana Negeri, Kubang Kerian, Kelantan, untuk menyampaikan kurniaan Darjah Kerabat (DK) Johor kepada Sultan Kelantan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V.

Junjung kasih ke atas Sultan Johor di atas kurniaan tersebut.

SULTAN MUHAMMAD KE-V DI MAJLIS GOLF AMAL

Reactions: 




















Pada hari Ahad, 10 April 2011, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V telah berangkat ke Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam, Selangor, untuk menghadiri majlis santapan malam serta penyampaian hadiah kepada para pemenang Kejohanan Golf Amal Majlis Jaksa Pendamai Kelantan sempena Pelancaran Yayasan Sultan Kelantan.

Jutaan terima kasih kepada para penyumbang dana bagi kejohanan golf amal tersebut.