Wednesday, December 8, 2010

JAWAPAN KE ATAS KENYATAAN SUMBANG TENGKU RAZALEIGH HAMZAH

Kenyataan-kenyataan sumbang Tengku Razaleigh Hamzah mengenai keabsahan pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru yang disiarkan oleh portal-portal berita dan akhbar-akhbar tempatan pada 6 dan 7 Disember 2010 adalah dirujuk.

Di antara lainnya, Tengku Razaleigh Hamzah telah dilaporkan sebagai meminta Majlis Raja-Raja, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Kelantan campur tangan bagi menyelesaikan krisis istana yang didakwa oleh beliau sedang mengkucar-kacirkan keadaan di Kelantan.

Tengku Razaleigh Hamzah juga telah dilaporkan sebagai berkata bahawa pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru pada 13 September 2010 adalah tidak sah kerana ia didakwa telah tidak dibuat mengikut perlembagaan negeri.

Secara lebih spesifik lagi, Tengku Razaleigh Hamzah juga telah dilaporkan sebagai berkata bahawa pindaan yang telah dibuat ke atas perlembagaan negeri pada 22 Julai 2010 adalah tidak sah kerana ia dibuat oleh Pemangku Raja dan bukan oleh Sultan Kelantan sendiri.

Inilah ulasan-ulasan ringkas kami ke atas kenyataan-kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah ini:

1. Tengku Razaleigh Hamzah jelas adalah seorang pengecut yang tidak bertanggungjawab kerana tidak berani untuk menghadiri, apatah lagi untuk mengemukakan pandangan beliau ini di dalam, mesyuarat Majlis Perajaan Negeri pada 13 September 2010.

2. Sikap “rumah siap pahat berbunyi” seperti yang ditunjukkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah inilah yang telah diseru oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada 13 September 2010 supaya dijauhi (“simpan tukul dan pahat dalam peti!”).

3. Daya pengamatan dan sentuhan Tengku Razaleigh Hamzah ke atas alam sekeliling beliau jelas sudah hilang kerana tidak wujud pun sebarang krisis istana atau keadaan kucar-kacir yang didakwa oleh beliau sedang berlaku di Kelantan (Kelantan aman!).

4. Tengku Razaleigh Hamzah tidaklah sebijak yang disangka kerana jelas beliau tidak memahami peruntukan undang-undang negara dan negeri dengan meminta pihak-pihak yang tidak mempunyai sebarang kuasa ke atas perkara ini campur tangan di dalamnya.

5. Sama ada Majlis Raja-Raja, Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Kelantan kesemuanya tidak boleh campur tangan di dalam perkara ini kerana, mengikut peruntukan undang-undang, hanya Majlis Perajaan Negeri yang berkuasa ke atasnya.

6. Malah, lebih malang lagi bagi Tengku Razaleigh Hamzah, Majlis Raja-Raja, Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Kelantan sendiri telah dengan secara terbuka mengiktiraf pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru.

7. Ketidaksedaran Tengku Razaleigh Hamzah ke atas pengiktirafan tiga pihak ini terhadap pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra menyerlahkan lagi hakikat betapa daya pengamatan dan sentuhan beliau ke atas alam sekeliling beliau sudah hilang.

8. Tengku Razaleigh Hamzah jelas terkontang-kanting di dalam UMNO kerana Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan serta Ketua Pembangkang di Kelantan sendiri mengiktiraf pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra ini.

9. Tengku Razaleigh Hamzah jelas amat kecewa dengan pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra kerana ia membuatkan beliau tidak lagi mampu untuk memperalatkan Istana Kelantan bagi kepentingan politiknya sepertimana yang diamalkannya sebelum ini.

10. Adalah dipercayai Tengku Razaleigh Hamzah masih menyimpan impian untuk menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan seterusnya Presiden UMNO dan beliau tidak mahu pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra meranapkan impian beliau ini.

Inilah pula ulasan lebih terperinci kami ke atas kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah bahawa pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru pada 13 September 2010 adalah tidak sah kerana pindaan yang telah dibuat ke atas perlembagaan negeri pada 22 Julai 2010 adalah tidak sah kerana ia dibuat oleh Pemangku Raja dan bukan oleh Sultan Kelantan sendiri:

Sepertimana yang diketahui umum, pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru pada 13 September 2010 adalah dibuat berdasarkan kepada peruntukan Perkara 23A yang telah dimasukkan ke dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) melalui Warta Kerajaan Kelantan bertarikh 22 Julai 2010.

Perkara 23A ini menyebutkan bahawa “Jika sekiranya setelah disiasat dengan sepenuhnya dan secukupnya, Majlis Perajaan Negeri berpendapat bahawa Raja ada mempunyai apa-apa kecacatan yang besar dan berat yang menyalahi sifat-sifat Raja, yang tidak dibenarkan oleh Hukum Syarak untuk menjadi Raja, maka seorang Pengganti hendaklah dipilih dan dilantik oleh Majlis Perajaan Negeri untuk menjadi Raja mengikut syarat-syarat di bawah Bahagian ini.”

Versi bahasa Inggerisnya:
“If after a full and complete enquiry, the Council of Succession shall consider the Sovereign to have some great and serious defect derogatory to the quality of a Sovereign, of which He would not be permitted by Hukum Syarak to become a Sovereign, a Successor shall be chosen and appointed by the Council of Succession to become a Sovereign in accordance with the provisions of this Part.”

Kemasukan Perkara 23A ke dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) ini pula adalah dibuat berdasarkan kepada Perkara 3(2) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) yang di antara lainnya berbunyi “Syarat-syarat mengenai - (a) naik Takhta Kerajaan dan pangkat kebesaran adat istiadat Melayu; bolehlah dipinda oleh Yang Maha Mulia dengan Perwawai yang dikeluarkan dengan persertaan dan persetujuan Majlis Penasihat Raja, tetapi tidaklah boleh dipinda dengan mana-mana jalan yang lain.”

Versi bahasa Inggerisnya:
“The provisions affecting - (a) the succession to the Throne and Malay customary dignitaries; may be amended by His Royal Highness by Proclamation issued with the consent and concurrence of the Council of Advisers but may not be amended by any other means.”

Sewaktu memfailkan, pada 20 September 2010, petisyen ketiga untuk mencabar keabsahan pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru, peguam Datuk Param Cumaraswamy yang mendakwa mewakili Sultan Ismail Petra dilaporkan sebagai mengungkapkan perkara sama seperti yang dinyatakan oleh Tengku Razaleigh Hamzah ini, iaitu bahawa pihaknya akan meminta pandangan Mahkamah Persekutuan sama ada Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja mempunyai kuasa untuk memasukkan Perkara 23A ke dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) ini.

Keputusan sebulat suara yang telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan pada 26 November 2010 mengenai isu-isu yang berbangkit di dalam petisyen pertama dan petisyen kedua yang didakwa dirujukkan oleh Sultan Ismail Petra kepada mahkamah itu, yang sekaligus membuktikan betapa dangkalnya kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah ini, jelas membuktikan bahawa:

1. Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja mempunyai kuasa untuk memasukkan Perkara 23A ke dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) ini.

Tegas Mahkamah Persekutuan di dalam soal ini:
It is our judgment having noted that the definition of “His Royal Highness” includes the Regent it is therefore clear that the Laws of the Constitution of Kelantan had envisaged for the Regent to have all the powers and to carry out the royal functions as the Sultan of Kelantan would have had His Royal Highness the Sultan of Kelantan not been incapacitated.

2. Hanya Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja (dan kini sebagai Sultan Kelantan), dan bukan Sultan Ismail Petra, yang mempunyai kuasa untuk “Menyampaikan apa-apa perkara kepada Mahkamah Persekutuan bertanyakan fikirannya berkenaan dengan akibat apa-apa jua syarat daripada Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Negeri ini yang berbangkit atau yang nampak kepada Baginda harus akan berbangkit.”

Versi bahasa Inggerisnya:
“Refer to the Federal Court for its opinion any question as to the effect of any provision of the Laws of the Constitution of the State which has arisen or appears to Him to be likely to arise.”

Tegas Mahkamah Persekutuan di dalam soal ini:
The question that has also to be answered here is whether during the incapacitation of the petitioner and during the pendency of the Regency the petitioner may exercise the powers of “His Royal Highness” under the Laws of the Constitution of Kelantan? We would answer this question in the negative. This is because, due to the incapacitation of the petitioner as the then Sultan of Kelantan, it is the Regent of Kelantan and the Regent of Kelantan alone who is to exercise the powers attributed to “His Royal Highness” under the Laws of the Constitution of Kelantan. The petitioner may only exercise such powers upon returning to the State of Kelantan and assuming office as the Sultan of Kelantan. On the facts before us, the petitioner did not do so upon returning to the State of Kelantan on or about March 2010. In fact, the petitioner remains incapacitated and the first respondent continued to act as the Regent of Kelantan. In the light of the above, the petitioner is not permitted to exercise any power vested with “His Royal Highness” whilst there exists a Regency.

Tegas Mahkamah Persekutuan di dalam soal ini lagi:
We are of the view that there can be only one individual attending to affairs of the State of Kelantan at any one time. In this instance, due to the incapacitation of the petitioner, the first respondent as the Regent of Kelantan and acting Ruler of the State of Kelantan is the only person entitled to exercise the powers of “His Royal Highness” within the meaning of the Laws of the Constitution of Kelantan. The petitioner, being incapacitated, cannot be exercising such a power unless he has recovered from such incapacitation. It therefore follows that the petitioner has no locus to refer a question of law to the Federal Court pursuant to Article LXIII(2) First Part of the Laws of the Constitution of Kelantan whilst the first respondent is the Regent, as the power to do so is vested solely in the hands of the first respondent until the Regency is brought to an end and the petitioner resumes his role as the Sultan of Kelantan.

Kesimpulannya, berdasarkan kepada keputusan Mahkamah Persekutuan ini, adalah jelas lagi mutlak bahawa pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru pada 13 September 2010 adalah sah kerana pindaan yang telah dibuat ke atas perlembagaan negeri pada 22 Julai 2010 adalah sah, dan bahawa Sultan Ismail Petra, apatah lagi Tengku Razaleigh Hamzah, tidak mempunyai kuasa untuk mencabarnya di mahkamah.

Malah, kenyataan-kenyataan sumbang Tengku Razaleigh Hamzah ini mungkin sahaja boleh menyebabkan beliau didakwa di atas kesalahan menghina mahkamah (di samping di atas kesalahan menghasut).

Sekian, terima kasih.

Disertakan di sini beberapa bahan bacaan khas untuk tatapan Tengku Razaleigh Hamzah.

PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Perkara 71 (Jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri):
(1) Persekutuan hendaklah menjamin hak Raja sesuatu Negeri untuk naik takhta dan memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak dan keistimewaan-keistimewaan di sisi perlembagaan bagi Raja Negeri itu mengikut Perlembagaan Negeri itu; tetapi apa-apa pertikaian tentang hak naik takhta mana-mana Negeri hendaklah diputuskan semata-mata oleh mana-mana pihak berkuasa, dan semata-mata mengikut apa-apa cara, yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri itu.

Versi bahasa Inggerisnya:
71. Federal guarantee of State Constitutions
(1) The Federation shall guarantee the right of a Ruler of a State to succeed and to hold, enjoy and exercise the constitutional rights and privileges of Ruler of that State in accordance with the Constitution of that State; but any dispute as to the title to the succession as Ruler of any State shall be determined solely by such authorities and in such manner as may be provided by the Constitution of that State.

UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN TUBUH KERAJAAN KELANTAN (BAHAGIAN YANG KEDUA)

6. Tidaklah boleh siapa-siapa pun menaiki Takhta dan Kerajaan Kelantan melainkan kenaikannya itu disahkan oleh Majlis Perajaan Negeri.

Versi bahasa Inggerisnya:
VI. No one person shall succeed to the Throne and Sovereignty of Kelantan unless his succession has been confirmed by the Council of Succession.

KENYATAAN MAJLIS RAJA-RAJA

Majlis Raja-Raja alu-alukan keberangkatan hadir Sultan Muhammad V
(Bernama, 14 Oktober 2010)
KUALA LUMPUR 14 Okt. - Majlis Raja-Raja yang bermesyuarat selama dua hari di Istana Negara di sini bermula semalam mengalu-alukan keberangkatan hadir Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai anggota penuh Majlis itu.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mempengerusikan mesyuarat ke-222 itu, bertitah bahawa Majlis itu mendoakan agar Negeri Kelantan Darul Naim terus aman dan tenteram serta Sultan Muhammad V dapat memerintah dengan adil dan saksama, agar Kelantan menuju kejayaan dan baginda sentiasa dikasihi rakyat.
"Paduka Ayahanda bagi pihak diri sendiri dan juga Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Maha Mulia Seri Paduka Anakanda atas pemasyhuran Anakanda," titah Sultan Sharafuddin dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hari ini.
Sultan Muhammad V dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 yang baru di Istana Balai Besar, Kelantan bulan lepas bagi menggantikan ayahanda baginda ya Sultan Ismail Petra yang sedang gering sejak lebih dari setahun. Titah Sultan Sharafuddin, sebagai seorang berpendidikan tinggi dan berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan pernah dilantik sebagai Pemangku Sultan Kelantan, serta berjiwa rakyat, Majlis Raja-Raja berkeyakinan penuh bahawa Sultan Muhammad V dapat memberi bantuan, input serta idea-idea baru kepada Majlis Mesyuarat Raja-Raja.
Sultan Sharafuddin turut bertitah, baginda dan semua Raja Melayu serta Yang di-Pertua Negeri turut dukacita atas kegeringan Sultan Ismail Petra dan mendoakan semoga kesihatan baginda bertambah baik.

KENYATAAN MENTERI UNDANG-UNDANG (KERAJAAN PERSEKUTUAN)

“Nazri: Council has final say on Kelantan sultan”
(Malaysiakini, 13 September 2010)
Minister in the Prime Minister's Department Nazri Aziz said the federal government considers as valid the appointment of Regent Tengku Mohamad Faris Petra as Kelantan's new ruler.
“It falls under the jurisdiction of the council of succession,” said the de facto law minister today,
“And the federal government accepts whatever the decision that the council comes up with.”
Nazri cited the case of Negeri Sembilan two years ago, where the government did not interfere when the state's council of succession, comprising the four undang (noble chiefs), chose someone other than the sultan's direct male heir as the successor.
Asked if the courts could intervene even if the federal government could not, Nazri emphatically said they could not.

KENYATAAN PEJABAT PEGUAM NEGARA (KERAJAAN PERSEKUTUAN)

Pemasyhuran Tuanku Faris tak boleh dicabar
(Berita Harian, 15 September 2010)
Sumber dari Pejabat Peguam Negara pula berkata, pemasyhuran itu sah mengikut perundangan, malah kerajaan negeri atau pusat juga tidak boleh campur tangan. Katanya, berdasarkan pengamatan Pejabat Peguam Negara, segala prosedur perundangan yang diperlukan untuk mengisytihar Pemangku Raja sebagai Sultan Kelantan yang baru juga dipatuhi Majlis Perajaan Negeri.

KENYATAAN MENTERI BESAR KELANTAN (KERAJAAN KELANTAN) DAN UMNO KELANTAN

Selesaikan kemelut istana - Nik Aziz
(Bernama, 13 September 2010)
KOTA BHARU 13 Sept. - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap pelantikan Tuanku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru dapat menyelesaikan kemelut istana negeri ini.
Sehubungan itu, beliau meminta segenap lapisan rakyat Kelantan tanpa mengira bangsa, agar mendoakan semoga negeri ini selamat zahir dan batin serta dunia dan akhirat.
Berikutan pemasyhuran itu juga, beliau tidak mahu ada lagi pihak yang mengungkit isu pelantikan Sultan Kelantan setelah Tuanku Ismail Petra gering sejak lebih setahun yang lalu, seperti kata pepatah "rumah siap pahat berbunyi".
"Sekiranya ada lagi tukul dan pahat-pahat berbunyi, kita harap simpan dalam peti masing-masing," katanya kepada pemberita di Istana Negeri, Kubang Kerian di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas majlis penghadapan dan penyerahan watikah pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru.
Sementara itu di Bachok, UMNO Kelantan berharap pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru itu akan memakmur dan membangunkan Kelantan yang kini jauh ketinggalan berbanding negeri lain.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, UMNO menaruh harapan yang tinggi agar Sultan Kelantan dapat menjadikan Kelantan antara negeri yang termaju di negara ini.
"Bagi pihak UMNO Kelantan kita menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Sultan," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri di Dewan Haji Hussin, Perupuk di sini yang dihadiri lebih 5,000 penduduk Bachok, sebilangan besarnya kaum nelayan.

KENYATAAN UMNO KELANTAN

Ciri peribadi Sultan Kelantan selari kehendak rakyat
(Bernama, 15 September 2010)
PASIR MAS 15 Sept - UMNO Kelantan berpendapat ciri peribadi murni Sultan Kelantan yang baru Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra yang begitu prihatin terhadap rakyat dan mempunyai ilmu agama yang tinggi adalah selari dengan kehendak masyarakat Kelantan.
Ketua Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata dengan itu pihaknya yakin rakyat Kelantan akan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah-bahagi terhadap Sultan Kelantan itu yang telah dimasyhurkan Isnin lepas.
"Kita bersyukur Sultan Kelantan telah dimasyhurkan dan akan taat setia terhadap baginda yang telah dipilih mengikut perlembagaan dan saya yakin rakyat akan memberikan taat setia terhadap baginda.
"Saya telah beberapa kali mengikuti baginda menziarahi masjid dan apa yang Tuanku lakukan selaras dengan kehendak rakyat Kelantan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Aidilfitri Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Kelantan dan Pasir Mas di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim 1 di sini, hari ini.
Mustapa yakin dengan pemasyhuran itu, segala isu yang melanda keluarga diraja itu akan selesai akhirnya.

KENYATAAN DEWAN UNDANGAN NEGERI KELANTAN (KERAJAAN KELANTAN) DAN BN KELANTAN

Dun Kelantan rafak sembah Sultan Muhammad ke-V
(Harakahdaily, 30 September 2010)
KOTA BHARU, 30 Sept: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan Khas yang bermula kira-kira jam 9.00 pagi ini merakamkan ucapan tahniah (merafak sembah) dan sembah taat setia kepada Sultan Kelantan yang baru, Sultan Muhammad Ke-V.
Cadangan merafak sembah (ucapan tahniah) yang mewakili kerajaan negeri dan rakyat Kelantan dikemukakan Adun Air Lanas, Ustaz Abdullah Yakob, sebentar tadi yang disokong oleh Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat.
Turut menyokong cadangan ucapan tahniah itu, Ketua Pembangkang, Datuk Alwi Che Ahmad, (BN-Kok Lanas).
Abdullah ketika berucap membentangkan cadangan rakaman tahniah itu berkata pelantikan dan pemasyhuran baginda sebagai Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad Ke-V dinanti-nantikan oleh rakyat seluruhnya.
Beliau juga turut mengakui rakyat seluruh Kelantan melahirkan rasa gembira di atas pelantikan dan pemasyhuran baginda sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu.
Sambungnya lagi, pelantikan itu juga sejajar dengan kehendak rakyat memandangkan baginda lebih mengambil perhatian serta menyelesaikan masalah mereka.
“Kami dari pihak kerajaan negeri sentiasa menyokong Tuanku sejak mula Tuanku ditabalkan sebagai Sultan Kelantan lagi,” ujarnya.
Katanya lagi, perlantikan baginda bagi menggantikan ayahanda baginda yang sedang gering bertepatan dan tidak menyalahi undang-undang memandangkan Sultan Ismail Petra tidak mampu lagi menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.
Abdullah berkata, baginda yang gemar turun ke bawah untuk menunaikan solat sunat hajat dan menyelami masalah rakyat begitu mengharukan rakyat seluruh negeri ini.
Sementara itu, Alwi turut menyokong perlantikan dan pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru.
“Saya mewakili Barisan Nasional Kelantan menyokong penuh di atas perlantikan Tuanku sebagai Sultan Kelantan yang baru yang membawa gelaran Sultan Muhammad Ke-V,” ujarnya.
Drs Zainuddin Awang Hamat, ketika mengambil bahagian dalam perbahasan bagi menyokong ucapan merafak sembah itu, mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mengganggu-gugat kedaulatan Sultan Kelantan sekarang.
Katanya, pelantikan baginda yang sah di sisi undang-undang itu jangan sekali-kali dicabar oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.