Wednesday, January 5, 2011

PENGANUGERAHAN D.K. SELANGOR KEPADA SULTAN MUHAMMAD KE-V





KENYATAAN MEDIA
PEJABAT SULTAN KELANTAN

Assalamu’alaikum w.b.t.

1. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, merakamkan ucapan selamat tahun baru kepada seluruh rakyat Kelantan dan seluruh rakyat Malaysia serta berharap tahun baru hijrah dan tahun baru masihi ini akan membawa kebahagiaan kepada rakyat negara ini. Tuanku Al-Sultan yang baru pulang dari mengerjakan haji di Mekah Al-Mukarramah berada dalam keadaan sihat sejahtera dan berharap seluruh rakyat Kelantan dilimpahi rahmat dan mendapat barakah daripada Allah S.W.T.

2. Pada hari ini, 5hb Januari 2011, Istiadat Penganugerahan Darjah Kerabat (D.K.) Selangor Yang Amat Dihormati oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V dan Pengurniaan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia Al-Muhammadi) (S.P.M.K) oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor telah berlangsung di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, dengan penuh adat istiadat dan tradisi kesultanan Melayu.

3. Penganugerahan darjah kebesaran ini menggambarkan betapa rapatnya hubungan di antara Istana Kelantan dan Istana Selangor khususnya dan di antara rakyat kedua-dua negeri amnya. Rakyat negeri Kelantan amat berbesar hati di atas penganugerahan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kepada Al-Sultan Kelantan.

4. Dalam istiadat ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah berangkat dan menganugerahkan sendiri darjah kebesaran tersebut kepada Al-Sultan Kelantan di mana istiadat ini dimulakan dengan keberangkatan masuk Yang Amat Mulia Tengku Panglima DiRaja Selangor ke Balai Singgahsana.

5. Turut berangkat dalam istiadat tersebut adalah Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan, Yang Berhormat Mulia Tengku Laksamana Kelantan, Yang Berhormat Mulia Tengku Panglima Raja Kelantan, Yang Berhormat Dato’ Seri Setia Raja Setiausaha Kerajaan Kelantan, Yang Berbahagia Dato’ Pengelola Istana D’Raja Kelantan, Yang Berbahagia Dato’ Ketua Istiadat dan pegawai-pegawai Pejabat Sultan Kelantan. Manakala turut hadir di pihak Istana Selangor pula adalah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Panglima DiRaja Selangor, Yang Amat Mulia Tengku Aris Temenggong Selangor, Kerabat-Kerabat DiRaja Selangor, Ahli-Ahli Dewan DiRaja Selangor dan Pembesar-Pembesar Negeri Selangor.

6. Istiadat tersebut dimulakan dengan penganugerahan Darjah Kerabat (D.K.) Selangor Yang Amat Dihormati kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V diikuti dengan pengurniaan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia Al-Muhammadi) (S.P.M.K) kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor. Istiadat diakhiri dengan bacaan doa oleh Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama DiRaja Mufti Selangor. Selepas Istiadat tersebut selesai, satu majlis santapan tengahari turut diadakan.

7. Dengan pengurniaan ini adalah diharapkan agar hubungan di antara Keluarga D’Raja Kelantan dan Keluarga D’Raja Selangor akan menjadi lebih erat lagi dan Institusi D’Raja di negara ini akan lebih mantap dan terus disanjung rakyat jelata dimana Institusi D’Raja menjadi payung kesejahteraan rakyat.

8. Saya merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan dan Kerabat-Kerabat D’Raja. Moga-moga kita akan terusa dipelihara oleh Allah S.W.T dan berada di dalam aman sejahtera di negara yang kita cintai ini.

Sekian.

Wabillahitaufik Walhidayat Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih

DATO’ HAJI ABDUL HALIM BIN HAJI HAMAD

Ketua Istiadat
Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan

Bertarikh: 5hb Januari 2011