Tuesday, May 11, 2010

POSTING 9: KENYATAAN-KENYATAAN AKHBAR YBM DATO' HAJJAH TENGKU ROZAN DAN YBM DATO' HAJJAH TENGKU SALWANI

1. KENYATAAN AKHBAR YANG BERHORMAT MULIA DATO’ HAJJAH TENGKU ROZAN BINTI AL-MARHUM SULTAN YAHYA PETRA

ISTANA NEGERI
KUBANG KERIAN, KOTA BHARU, KELANTAN

Assalamu’alaikum w.b.t.

1. Saya dan adinda saya YBM Dato’ Hajjah Tengku Salwani Binti Al-Marhum Sultan Yahya Petra merasa amat sedih dan dukacita di atas musibah yang menimpa keluarga DiRaja Kelantan, khususnya yang menimpa adinda saya KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan Kelantan. Baginda Al-Sultan telah jatuh gering pada 14 Mei 2009 dan dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu. Baginda Al-Sultan dipindahkan ke Hospital Mount Elizabeth, Singapore pada 24 Mei 2009. Baginda Al-Sultan kemudiannya dibawa balik dari Singapura pada 04 Mac 2010. Bagi saya penyakit yang menimpa Baginda Al-Sultan tidak patut berlaku pada seorang Sultan. Saya yakin, ada sesuatu yang tidak kena pada peringkat awal sebelum Baginda jatuh gering. Ada orang yang cuai dalam menjaga hal ehwal kesihatan Baginda.

2. Saya seterusnya ingin merujuk kepada kenyataan YM Tg. Abdul Aziz Bin Tg. Mohd. Hamzah dalam akhbar pada 07 Mei 2010 yang menyatakan beliau adalah bapa saudara kepada Baginda Al-Sultan. Saya ingin membetulkan fakta ini, di mana YM Tg. Abdul Aziz bin Tg. Mohd. Hamzah adalah bapa saudara kepada DYMM Raja Perempuan Kelantan. Kaitan dengan KDYMM Tuanku Al-Sultan bila YM Tg Abdul Aziz berkahwin dengan kekanda Tuanku Al-Sultan iaitu YBM Tengku Merjan Binti Al-Marhum Sultan Yahya Petra. Begitu juga dengan YBM Tg. Razaleigh Hamzah yang merupakan adik beradik kepada YM Tg. Abdul Aziz Bin Tg. Mohd. Hamzah adalah bapa saudara Raja Perempuan Kelantan bukannya bapa saudara Tuanku Al-Sultan.

3. Saya agak terkilan dengan kenyataan yang YM Tg. Abdul Aziz keluarkan khususnya berkaitan dengan keadaan di HUSM di mana Tuanku Al-Sultan dirawat. Beliau mendakwa bahawa beliau dan isterinya YBM Tg. Merjan dihalang untuk melawat. Kenyataan itu tidak benar, apa yang berlaku adalah YBM Tg. Merjan dan Raja Perempuan Kelantan sentiasa di dalam wad dan mengawal setiap orang yang keluar masuk. Mereka yang bertindak menyekat orang lain dari melawat Tuanku Al-Sultan. Keadaan ini berlaku sejak Tuanku Al-Sultan dirawat di Singapura dan HUSM kini. Saya dan adinda saya, YBM Dato’ Hajjah Tg. Salwani tidak dibenarkan melawat Tuanku Al-Sultan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura walaupun kami berada di Singapura. Selama 9 (sembilan) bulan kami tidak dibenarkan melawat Baginda Al-Sultan walaupun telah beberapa kali kami berusaha untuk melawat tapi dihalang. Begitu juga kerabat-kerabat lain, pembesar-pembesar negeri, alim ulama, panel doktor dan doktor pakar dari Malaysia tidak dibenarkan melawat Baginda Al-Sultan. Hanya yang menyokong Raja Perempuan Kelantan sahaja dibenarkan melawat. Saya juga dimaklumkan bahawa panel doktor dan jemaah ulama telah beberapa kali juga mencuba untuk melawat Baginda Al-Sultan tapi dihalang. Percubaan lawatan mereka tetap dihalang walaupun permohonan rasmi telah dibuat. Insiden halangan yang terakhir di Singapura adalah pada 3 Mac 2010. Persoalannya, mengapa panel doktor dan jemaah alim ulama ini dihalang dari melawat Baginda Al-Sultan? Adakah halangan ini adalah cubaan untuk melindungi sesuatu? Adakah pihak-pihak yang cuba melindungi tahap kesihatan Tuanku Al-Sultan? Walhal pada masa yang sama ada pihak yang mendedahkan keadaan kesihatan Tuanku Al-Sultan sehingga mengelirukan orang ramai.

4. Saya juga ada menerima maklumat tentang penggunaan khidmat bomoh untuk merawat Baginda Sultan dan ada ditemui barang-barang yang diragui dari segi hukumnya yang mungkin membawa kita terpesong dari akidah Islam.

5. Saya menghormati dan amat bersetuju dengan pendirian YAB Perdana Menteri yang hal berkaitan dengan isu Kesultanan Kelantan diselesaikan oleh Keluarga DiRaja. Janganlah kita “buka pekung di dada” sebagaimana selama ini dibuat oleh setengah pihak yang sering saja bertindak tanpa berfikir kesan dan akibat dari perbuatan beliau. Saya cukup kagum dengan YMM Pemangku Raja Kelantan yang mengambil langkah untuk mendiamkan diri dalam menangani isu kesihatan Tuanku Al-Sultan supaya ianya tidak mengaibkan adinda saya. Saya cukup terasa aib di atas tindakan Raja Perempuan Kelantan yang menganjurkan ‘Majlis Mesra Bersama Anak Yatim’ baru-baru ini dengan memaksa adinda saya supaya berkaraoke dalam keadaan kesihatan Baginda yang tidak mengizinkan. Sepatutnya majlis itu diadakan dalam bentuk keagamaan seperti bacaan ayat suci Al-Qur'an.

6. Saya juga berharap agar kita dapat memberi kepercayaan kepada YMM Pemangku Raja Kelantan yang melaksanakan apa yang terbaik untuk keluarga DiRaja Kelantan. Terimalah hakikat bahawa semua ini adalah takdir Allah s.w.t. dan terimalah qada dan qadar-Nya. Rakyat sudah kenal perangai Raja Perempuan Kelantan, Tengku Temenggung dan kerabat-kerabat yang lain. Kita kembalilah kepada kehendak agama Islam dan fasal-fasal dalam perlembagaan. Kuasa yang ada pada manusia adalah sementara hanya kuasa Allah s.w.t. jua yang kekal abadi. Ingatlah bahawa umur kita semakin singkat dan akan kembali kepada-Nya jua. Jangan ingat bahawa Tuhan itu tidak adil dan hanya berpihak kepada kita seorang. Allah mengetahui apa yang tersurat dan tersirat. Semua yang kita ada adalah milik Allah dan di bawah kuasa-Nya dan kita tidak boleh sentiasa hidup dalam khayalan dan sentiasa mahu dipuji.

7. Marilah kita kembali bersatu di bawah YMM Pemangku Raja Kelantan yang berusaha untuk menyelamatkan keluarga DiRaja Kelantan dengan bimbingan dan panduan oleh alim ulama dan pemimpin-pemimpin negara kita berlandaskan hukum hakam dan undang-undang yang diterima pakai.

YBM Dato’ Hajjah Tengku Rozan Binti Al-Marhum Sultan Yahya Petra
Istana Negeri
Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan

Diedarkan di Rumah Kelantan, Kuala Lumpur

Bertarikh: 09 Mei 2010

2. KENYATAAN AKHBAR YANG BERHORMAT MULIA DATO’ HAJJAH TENGKU SALWANI BINTI AL-MARHUM SULTAN YAHYA PETRA

ISTANA NEGERI
KUBANG KERIAN, KOTA BHARU, KELANTAN

Assalamu’alaikum w.b.t.

1. Saya yang juga kekanda KeBawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan amat bersetuju dengan kenyataan kekanda saya, YBM. Dato’ Hajjah Tengku Rozan. Saya merasa amat sedih dengan apa yang berlaku dalam keluarga saya kebelakangan ini. Ini berlaku kerana ada pihak yang tidak mahu terima hakikat dan takdir Ilahi, di mana kuasa yang kita ada tidak akan berkekalan sekiranya kita melaksanakan ikut perasaan dan dipengaruhi syaitan.

2. Berilah kepercayaan kepada YMM Pemangku Raja Kelantan yang mempunyai kuasa di bawah undang-undang pada waktu ini. YMM Pemangku Raja Kelantan telah menderita lebih dari 9 tahun di mana Baginda telah diberi pelbagai tekanan dan dibuat semacam robot, walaupun umur telah meningkat ke 40 tahun tapi masih lagi diperlakukan seumpama kanak-kanak. Syukurlah, pada hari ini YMM Pemangku Raja Kelantan telah diberi kekuatan oleh Allah s.w.t. dan matang dalam menangani krisis yang berlaku kini. YMM Pemangku Raja Kelantan bertindak matang dengan merujuk sesuatu perkara kepada pakar dalam bidang yang berkaitan dan dilaksanakan dengan berhati-hati.

3. Saya yakin perkara ini akan selesai jika setiap dari kita mengikut nasihat YAB Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin negara kita yang mahu agar perkara ini diselesaikan dalam kekeluargaan. YMM Pemangku Raja Kelantan sentiasa bertindak adil dan tenang dalam menghadapi tindakan mahkamah ke atas Baginda. Ianya hanya dengan mempertahankan diri dan tidak memulakan sesuatu tindakan.

4. Tambahan pula, pada 04 Mei 2010, KDYMM Tuanku Al-Sultan telah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu, walaupun pada asalnya Baginda hendak dibawa ke Singapura. Mengikut prosedur, rawatan dan pemeriksaan hendaklah dibuat oleh pakar dalam negara terlebih dahulu sebelum rawatan susulan dapat dibuat di luar negara.

5. Di HUSM, Raja Perempuan Kelantan yang mengawal orang yang keluar masuk untuk menziarahi Tuanku Al-Sultan, malah ada anggota polis, doktor dan kakitangan HUSM serta Hospital Raja Perempuan Zainab II telah dimaki hamun dan dikasari oleh pihak tertentu, terutama oleh kuncu-kuncu Raja Perempuan Kelantan. Saya difahamkan, ada kakitangan yang terlibat telah membuat laporan polis.

6. Saya difahamkan bahawa YMM Pemangku Raja Kelantan mengeluarkan titah arahan kepada polis untuk mengawal bilik rawatan Tuanku Al-Sultan dan meminta supaya mereka yang membuat kecoh dan memaki hamun di bilik rawatan Tuanku Al-Sultan supaya tidak berada dalam bilik rawatan tersebut. Pihak polis menjalankan arahan untuk menjamin keselamatan dan rawatan yang sempurna dapat diberikan kepada Tuanku Al-Sultan. Nama yang diberikan kepada polis adalah nama yang dijangka tidak mengakibatkan huru hara. Nama yang lain boleh dibenarkan, tetapi perlu mendapat kebenaran YMM Pemangku Raja Kelantan terlebih dahulu.

7. Raja Perempuan Kelantan tidak membenarkan orang-orang yang tidak dipercayainya, juga tidak membenarkan doktor-doktor pakar dan alim ulama, menziarahi tuanku. Apa yang berlaku pada 04 Mei 2010, Raja Perempuan Kelantan dan YBM Tg. Merjan telah berada di luar Wad DiRaja HUSM selama satu jam kerana pada masa berkenaan YMM Pemangku Raja Kelantan berada di dalam wad Tuanku. Pihak polis menerima arahan pada waktu itu supaya tidak membenarkan sesiapa pun masuk ke wad Tuanku. Semasa titah arahan diberikan, Raja Perempuan Kelantan pulang ke Istana Mahkota untuk tujuan-tujuan yang beliau sahaja yang tahu. Arahan diberikan kepada pihak polis untuk mengawal hanyalah kerana sikap beberapa orang yang memaki hamun pihak tertentu di dalam wad Tuanku. Inilah puncanya Tuanku menjadi ‘stress’ kerana gangguan daripada orang-orang tertentu yang melawat Tuanku.

8. Saya yakin ada maklumat mengenai orang-orang yang memaki hamun dan mengeluarkan kata-kata sinis kepada pegawai–pegawai dan pihak polis, termasuklah kakitangan HUSM dan kakitangan kerajaan. Saya amat berharap agar perkara ini dapat didedahkan kepada umum jika keadaan memerlukan. Hormatilah penjawat-penjawat awam dan anggota polis yang bertungkus-lumus menjaga Tuanku Al-Sultan dari dulu hingga sekarang. Janganlah mereka ini dimaki hamun dan dihambur dengan kata-kata sinis. Sepatutnya mereka ini dihargai dan dihormati sebagai manusia yang menjalankan tugas dan menghambakan diri untuk Tuanku Al-Sultan.

9. Hal ini sama seperti keadaan di Singapura pada 03 Mac 2010, pada jam 8.00 malam hingga 10.30 malam, bila alim ulama dan beberapa ahli panel doktor pakar naik ke tingkat 5 Wad Tuanku Al-Sultan di Hospital Mount Elizabeth, mereka telah dihalau oleh pengawal peribadi yang tidak tahu dari mana asal usulnya.

10. Kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit untuk rawatan di Singapura mulai 24 Mei 2009 hingga 3 Mac 2010. Perbelanjaan ini pun saya fikir dibuat dengan tidak mengikut prosedur kerana tanpa pengesahan dan pengesyoran oleh pakar dalam negara sebelum dibawa ke luar negara.

11. Sebagaimana kekanda saya, saya juga hairan mengapa Raja Perempuan Kelantan tidak membenarkan pakar-pakar dalam negara membuat rawatan sedangkan pakar-pakar tersebut ada kepakarannya, malah doktor yang merawat Baginda Sultan di Singapura juga berasal dari negara ini. Malahan penyakit yang menimpa Tuanku Al-Sultan adalah kes biasa yang sering berlaku di negara kita dan pakar-pakar di Malaysia juga mempunyai cukup pengalaman untuk merawatnya.

12. Di sini juga saya ingin memaklumkan bahawa pada 07 Mei 2010, panel doktor telah mengadakan satu sesi lawatan terhadap Tuanku Al-Sultan di HUSM untuk membuat penilaian tahap kesihatan Tuanku Al-Sultan. Panel doktor ini pada mulanya dilantik oleh Kerajaan Negeri. Ianya diubah dengan penambahan panel doktor pakar yang baru dilantik oleh Kementerian Kesihatan.

13. Marilah kita kembali ke jalan yang benar dan diredhai Allah s.w.t. InsyaAllah kita akan kembali kepada-Nya, di mana umur kita telah melebihi 60 tahun. Allah mengetahui apa yang kita buat dan rakyat menghakiminya. Jangan anggap rakyat jelata tidak mengetahui jika ada penyelewengan yang kita lakukan. Kembalikan hak rakyat jika ada yang kita tersilap uruskan. Ingatlah pesan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan, bahawa pihak kita mestilah sentiasa mengikut peraturan dan undang-undang.

14. Hormatilah orang yang telah menghambakan diri kepada Institusi Kesultanan Kelantan, mereka juga insan seperti kita.

YBM Dato’ Hajjah Tengku Salwani Binti Al-Marhum Sultan Yahya Petra
Istana Negeri
Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan

Diedarkan di Rumah Kelantan, Kuala Lumpur
Bertarikh: 09 Mei 2010