Wednesday, May 12, 2010

POSTING 11: DI DALAM MENEGAKKAN KEBENARAN, TIADA PENDERHAKAAN!

Di antara perkara yang paling pahit untuk dilakukan di dalam dunia ini ialah untuk menegakkan kebenaran terhadap ayahanda bonda dan kaum kerabat kita sendiri.

Namun begitu, walau betapa pahit sekalipun ia, ia tetap juga perlu dilakukan sebagai mematuhi Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutarbalikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Nisa’: Ayat 135)

Walau betapa pahit sekalipun ia, ia tetap juga perlu dilakukan sebagai mematuhi Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dicintainya berbanding ibu bapanya, anaknya dan manusia seluruhnya”.

Sesungguhnya kita percaya Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, tidak pernah terniat untuk memusuhi apalagi untuk mengaibkan ayahanda bonda dan kaum kerabat Baginda.

Sebaliknya, kita percaya setiap tindak-tanduk Baginda selaku Pemangku Raja Kelantan adalah didasarkan kepada perasaan kasih sayang yang teramat sangat Baginda terhadap ayahanda bonda, kaum kerabat dan rakyat Baginda.

Kita percaya ia adalah didasarkan kepada kesedaran Baginda untuk memenuhi tuntutan Allah yang menghendaki Baginda memastikan ayahanda bonda, kaum kerabat dan rakyat Baginda sentiasa dipelihara dari mendapat kemurkaan Allah dan seterusnya memastikan mereka sentiasa berada di dalam keredhaan Allah.

Ia adalah selaras dengan Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. (Surah al-Tahrim: Ayat 6)

Sesungguhnya, di dalam Islam, anak yang baik ialah anak yang dekat dengan Allah yang apabila dia berdoa doanya akan dimakbulkan oleh Allah, bukannya anak yang dekat dengan ayahanda bonda, yang kelihatan memanjai dan menyayangi ayahanda bonda, tetapi yang belum tentu dekat dengan Allah dan yang apabila dia berdoa belum tentu doanya akan dimakbulkan oleh Allah.

Berdasarkan kepada penjelasan ini, maka nyatalah bahawa anak derhaka yang sebenarnya mengikut Islam adalah anak yang tidak mempunyai hubungan baik dengan Allah yang apabila dia berdoa doanya tidak akan dimakbulkan oleh Allah.

Ia adalah selaras dengan Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Apabila seseorang itu meninggal dunia maka putuslah segala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain dan anak salih yang sentiasa berdoa untuk mendapatkan kasih sayang Allah kepada kedua ibu bapanya”.

Adalah diharapkan agar Pemangku Raja Kelantan, malah juga adinda-adinda Baginda yang lain, akan termasuk di dalam golongan anak salih yang sentiasa berdoa untuk ayahanda bonda Baginda seperti yang lazim diamalkan oleh Baginda selama ini.