Saturday, May 22, 2010

POSTING 13: KENYATAAN-KENYATAAN MEDIA PEJABAT SULTAN KELANTAN

We at the Kelantan Insider are really sorry to all of you folks for our inability to update you as frequent as we had wished to. Suffice it to say that, alhamdulillah, we at the Kelantan Insider already managed to see a strikingly clear and distinct light at the end of this seemingly very long and dark tunnel.

For now we hope all of you will be contented with these two media statements, given by our Comptroller, Dato' Hj. Abdul Halim bin Hj. Hamad, on May 18th and May 19th 2010 with regard to the deteriorating situation and the death of our bodyguard, Allahyarham En. Ramli Bin Mohd, respectively.

Other postings will follow soon, insya'Allah.

KENYATAAN MEDIA 1

PEJABAT SULTAN KELANTAN

ASSALAMU'ALAIKUM W.B.T.

1. Saya dan pegawai-pegawai Pejabat Sultan Kelantan telah dititah untuk melawat En. Ramli Bin Mohd yang telah ditembak pada 1 Mei 2010 untuk berjumpa dengan keluarga beliau. Keadaan beliau pada masa ini agak kritikal dan membimbangkan.

2. YMM Pemangku Raja Kelantan amat mengambil berat terhadap En. Ramli Bin Mohd yang telah ditembak baru-baru ini dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ2). Para doktor di HRPZ2 telah berjaya mengeluarkan peluru dari badan En. Ramli melalui pembedahan. Pada masa kini keadaan beliau agak kritikal dan, mengikut maklumat yang saya terima, terdapat jangkitan kuman kepada beberapa organ penting beliau.

3. En. Ramli mempunyai seorang isteri, 5 orang anak dan yang bongsu berumur 19 tahun. Demi meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga En. Ramli, YMM Pemangku Raja Kelantan telah bersetuju untuk memberi sumbangan peribadi sebanyak RM100,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Ratus Ribu Sahaja). Pada hari ini, saya bersama pegawai-pegawai Pejabat Sultan Kelantan dititah untuk menyerahkannya kepada isteri beliau. YMM Pemangku Raja Kelantan berharap sumbangan ini akan meringankan bebanan keluarga En. Ramli.

4. Kita perlu faham bahawa apa yang berlaku adalah qada’ dan qadar Allah s.w.t. dan kita terima seadanya. Kita hanya boleh merancang, Allah yang menentukan segalanya. YMM Pemangku Raja Kelantan berharap pihak polis dapat menyiasat dan menyelesaikan kes ini segera.

5. Kita berserah kepada pihak berkuasa dan kehendak-kehendak dalam perlembagaan dan undang-undang untuk menyelesaikan sesuatu perkara. Janganlah kita meletakkan undang-undang dan peraturan di tangan kita.

6. YMM Pemangku Raja Kelantan juga amat prihatin terhadap kesusahan rakyat jelata di negeri Kelantan. Baginda menjelajah ke seluruh negeri Kelantan untuk menemui rakyat jelata dan memberi bantuan dari sumber kewangan peribadi Baginda sendiri.

7. Saya juga ingin menarik perhatian seluruh rakyat jelata bahawa kasih sayang yang ditunjukkan oleh Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan terhadap ayahanda Baginda dan seluruh keluarga DiRaja adalah amat tinggi. Pada masa yang sama, Baginda juga perlu menjunjung keluhuran perlembagaan dan undang-undang. Tanggungjawab sebagai pemimpin dan Ketua Agama adalah amat berat di sisi Allah s.w.t.. Amanah ini akan terus dipikul oleh YMM Pemangku Raja Kelantan. YMM Pemangku Raja sedar dan akan terus memikul amanah tersebut dengan penuh tanggungjawab dan tawakkal kepada Allah s.w.t..

8. Marilah kita berdoa kepada Allah s.w.t. agar kita diberi taufiq, hidayah dan kekuatan iman untuk meneruskan hidup kita di jalan yang diredhai oleh Allah s.w.t.. Moga-moga kita mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.

Sekian.

Wabillahitaufik Walhidayat Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.

DATO’ HJ. ABDUL HALIM BIN HJ. HAMAD
Pengelola Istana D’Raja
Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan
Bertarikh: 18 Mei 2010

KENYATAAN MEDIA 2

PEJABAT SULTAN KELANTAN

ASSALAMU'ALAIKUM W.B.T.

1. Saya telah dititah oleh YMM Pemangku Raja Kelantan untuk menyampaikan salam takziah Baginda kepada keluarga Allahyarham En. Ramli Bin Mohd yang menghembuskan nafas yang terakhir pada awal pagi tadi.

2. Saya bersama pegawai-pegawai dan kakitangan Pejabat Sultan Kelantan juga ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham En. Ramli Bin Mohd, terutamanya kepada isteri beliau, Puan Maznah Bt. Mustafa, di atas kematian Allahyarham pada jam 3.15 pagi tadi.

3. Pada masa Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, semua ahli keluarga ada di sisi beliau, termasuklah isteri beliau, Puan Maznah Bt. Mustafa, dan 5 orang anak beliau.

4. Pakar Forensik dijangka tiba dari Kuala Lumpur pada jam 3.00 petang ini bagi melaksanakan bedah siasat ke atas jenazah Allahyarham. Sebaik sahaja bedah siasat dibuat, Jenazah Allahyarham akan dikafankan di HRPZ2 dan akan dibawa ke Masjid Muhammadi Kota Bharu untuk solat jenazah. Solat jenazah dijangka dibuat sebaik sahaja selepas Solat Asar. Allahyarham akan dikebumikan di kampung beliau.

5. Sebelum pada itu, YMM Pemangku Raja Kelantan telah mengambil kesempatan untuk melawat Allahyarham pada jam 11.30 malam tadi dan telah memberi kata-kata nasihat kepada isteri Allahyarham dan keluarga. Pada jam 4.30 petang 18 Mei 2010, YMM Pemangku Raja Kelantan telah berkenan untuk mengurniakan sedikit sumbangan peribadi Baginda sebanyak RM100,000.00 kepada keluarga Allahyarham.

6. Allahyarham adalah kakitangan Pejabat ini dan bertugas sebagai Pengawal Keselamatan sejak lebih 17 tahun yang lepas. Allahyarham telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, Hospital Raja Perempuan Zainab II, sejak 1 Mei 2010 setelah ditembak oleh orang yang tidak dikenali pada malam berkenaan.

7. YMM Pemangku Raja Kelantan amat berdukacita dengan apa yang berlaku. Baginda amat berharap agar pihak polis dapat meletakkan keutamaan kepada kes ini. Baginda juga berharap agar pihak polis dapat menemui petunjuk bagi menyelesaikan kes tersebut.

8. YMM Pemangku Raja Kelantan juga merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam membantu Allahyarham, terutamanya kepada pihak doktor-doktor pakar dari Hospital Raja Perempuan Zainab II, termasuklah pakar bius, pakar bedah, pakar orthopedik dan pakar-pakar lain yang telah bertungkus lumus memberi rawatan yang terbaik. Peralatan di HRPZ2 adalah amat canggih dan yang terbaik bagi memberikan rawatan yang amat memuaskan.

9. Segala apa yang berlaku adalah qada’ dan qadar Allah s.w.t. dan kita terima seadanya. Ingatlah kita bahawa kita akan kembali kepada-Nya jua. Kita hanya boleh merancang, Allah yang menentukan segalanya. Marilah kita berdoa agar hidup kita sentiasa diberkati Allah s.w.t.. Moga-moga kita mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.

Sekian.

Wabillahitaufik Walhidayat Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.

DATO’ HJ. ABDUL HALIM BIN HJ. HAMAD
Pengelola Istana D’Raja
Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan
Bertarikh: 19 Mei 2010