Pada 23 Februari 2011, Ketua Istiadat, Dato' Haji Abdul Halim Hamad, dan Pengelola Istana, Dato' Haji Ahmad Mahmood, telah mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, yang kini berada di ibu negara bagi menghadiri Mesyuarat Ke-223 Majlis Raja-Raja Melayu di Istana Negara, menziarahi dan menyampaikan sedikit sumbangan kepada seorang kakitangan Pejabat Sultan Kelantan di kediaman beliau di B2/38, Flat Buloh Kubu, 15300 Kota Bharu, Kelantan.
Sehari sebelumnya, kakitangan tersebut, Encik Omar @ Yahya bin Daud, 65 tahun, yang merupakan pembantu am pejabat (pelayan rumah) di Pejabat Sultan Kelantan telah kehilangan isterinya, Nik Senah @ Nik Hasnah binti Nik Abdullah, 62 tahun, yang meninggal dunia akibat penyakit kencing manis, lelah, darah tinggi dan buah pinggang. Semoga kunjungan wakil-wakil Sultan Muhammad Ke-V ini dapat mengurangkan kesedihan beliau dan tiga anak beliau, Nazriman, Azam Fikri dan Marini.