UCAPAN PRESIDEN MAJLIS JAKSA PENDAMAI KELANTAN
PADA MAJLIS SANTAPAN MALAM
MAJLIS JAKSA PENDAMAI KELANTAN
DI LE MERIDIEN KUALA LUMPUR
PADA 26 FEBRUARI 2011
BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM
ASSALAMU’ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH
DAN SELAMAT SEJAHTERA
1. MENGADAP KDYMM SULTAN MUHAMMAD KE-V, SULTAN DAN YANG DIPERTUAN BAGI NEGERI KELANTAN DARUL NAIM.
AMPUN TUANKU.
2. PATIK SELAKU PRESIDEN MAJLIS JAKSA PENDAMAI KELANTAN MEWAKILI SELURUH AHLI MAJLIS JAKSA PENDAMAI KELANTAN MENGANGKAT SEMBAH MENJUNJUNG KASIH YANG TIDAK TERHINGGA DI ATAS AMPUNI PERKENAN TUANKU UNTUK BERANGKAT HADIR MENCEMAR DULI KE MAJLIS SANTAPAN MALAM MAJLIS JAKSA PENDAMAI KELANTAN PADA MALAM INI.
3. KEBERANGKATAN HADIR TUANKU KE MAJLIS SANTAPAN MALAM INI MENJADI BUKTI KEPRIHATINAN TUANKU TERHADAP AKTIVITI-AKTIVITI YANG DIANJURKAN OLEH MAJLIS JAKSA PENDAMAI KELANTAN SEKALIGUS MENJADIKAN MAJLIS INI LEBIH INDAH BERSERI DAN GILANG GEMILANG.
AMPUN TUANKU.
4. PADA MAJLIS YANG SAMA TAHUN LALU TUANKU BERANGKAT HADIR SELAKU PEMANGKU RAJA. ALHAMDULILLAH, KEBERANGKATAN HADIR TUANKU PADA TAHUN INI ADALAH SELAKU SULTAN DAN YANG DIPERTUAN BAGI NEGERI KELANTAN. PATIK BERSYUKUR KERANA TUANKU TELAH DIBERIKAN KESABARAN DAN KEKUATAN UNTUK MENGHADAPI SEGALA UJIAN DAN CABARAN DALAM TEMPOH 487 HARI BERMULA DARI TARIKH TUANKU SULTAN ISMAIL PETRA JATUH GERING PADA 14 MEI 2009 KE TARIKH TUANKU DIMASYHURKAN SEBAGAI SULTAN DAN YANG DIPERTUAN BAGI NEGERI KELANTAN PADA 13 SEPTEMBER 2010. NAMUN DEMIKIAN, PATIK SEDAR BERAPA BERAT DAN HEBATNYA CABARAN YANG PATIK LIHAT DENGAN MATA PATIK TETAPI HAKIKATNYA BAHU TUANKULAH YANG MEMIKUL. IBARAT KATA PEPATAH, BERAPA BERAT MATA MEMANDANG BERAT LAGI BAHU MEMIKUL.
5. ALHAMDULILLAH, TEMPOH MENCABAR YANG TELAH BANYAK MENCATATKAN PERISTIWA DUKA DI DALAM SEJARAH PERJALANAN INSTITUSI BERAJA DI NEGERI KELANTAN TELAH BERLALU PERGI. SESUNGGUHNYA BUKAN SEBARANG INDIVIDU YANG DAPAT MENEMPUH CABARAN BERAT TERSEBUT. HANYA INDIVIDU TERPILIH YANG BENAR-BENAR MEMPUNYAI KEMATANGAN, KETABAHAN DAN KEBIJAKSANAAN SAHAJA YANG DAPAT MENANGANINYA DENGAN BAIK BESERTA RESTU DARIPADA ALLAH SWT. TERBUKTI TUANKU MAMPU MENANGANI UJIAN TERSEBUT DENGAN BAIK, MALAH MENDAPAT PUJIAN DAN SANJUNGAN DARI PELBAGAI PIHAK.
AMPUN TUANKU.
6. BELUM PERNAH BERLAKU DI DALAM NEGARA KITA INI KEMELUT SEPERTI YANG BERLAKU DI DALAM INSTITUSI BERAJA DI NEGERI KELANTAN. KEJAYAAN TUANKU MEMPERTAHANKAN KEUNGGULAN INSTITUSI BERAJA DARI TERCEMAR DI MATA RAKYAT, DENGAN BERLANDASKAN KEPADA KELUHURAN PERLEMBAGAAN DAN UNDANG-UNDANG, DENGAN BERLANDASKAN KEPADA KEMURNIAN AJARAN AGAMA ISLAM DAN TRADISI KEMELAYUAN, DAN DENGAN TIDAK MENGENEPIKAN PERASAAN KASIH SAYANG KEPADA PADUKA AYAHANDA BONDA, AMAT MEMBANGGA DAN MENGHARUKAN RAKYAT.
7. PATIK SEKALIAN MERASA AMAT GEMBIRA APABILA TUANKU MENDAPAT SOKONGAN PADU YANG MERENTASI BATASAN BANGSA, AGAMA, NEGERI, TARAF KEHIDUPAN DAN FAHAMAN POLITIK. KERAJAAN NEGERI, KERAJAAN PERSEKUTUAN DAN MAJLIS RAJA-RAJA SEMUANYA MENYOKONG TUANKU. KEPUTUSAN MAHKAMAH PERSEKUTUAN DI DALAM PENGHAKIMANNYA PADA 26 NOVEMBER 2010 DAN TERAKHIR SEKALI PADA 10 FEBRUARI 2011 MENJADI BUKTI JELAS DAN MUKTAMAD BAHAWA SEGALA TITAH TINDAKAN TUANKU ADALAH MENEPATI KEHENDAK UNDANG-UNDANG DAN PERLEMBAGAAN.
AMPUN TUANKU.
8. AWAN MENDUNG YANG MENYELUBUNGI INSTITUSI BERAJA DI NEGERI KELANTAN TELAH BERLALU PERGI. KEMILAU SINAR INDAH MENGGANTIKAN TEMPATNYA. LEBIH MEMBANGGAKAN PATIK DAN SIDANG HADIRIN SEKALIAN IALAH RAKYAT DI SEGENAP PELOSOK NEGERI BERBICARA TENTANG KESEDERHANAAN DIRI, KETINGGIAN BUDI DAN KEZUHUDAN TUANKU.
9. PENGHORMATAN TINGGI RAKYAT TERHADAP TUANKU BUKAN SAHAJA BERLAKU DI KELANTAN TETAPI DI SELURUH NEGARA. PATIK INGIN MEMETIK PUISI NUKILAN BEKAS MUFTI PERLIS, DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN, YANG TELAH MENZAHIRKAN “PERASAAN TERTAWAN” BELIAU KEPADA TUANKU:
APABILA RAJA ITU ZUHUD,
NAMANYA SELALU DISEBUT,
APABILA RAJA TAKUTKAN ALLAH,
SEKALIAN RAKYAT JANTUNG DISERAH,
APABILA RAJA SANGAT SEDERHANA,
JIWA JELATA PENUH BANGGA,
APABILA RAJA KUAT AGAMA,
DENGAN IKHLAS RAKYAT BERDOA,
TUANKU RAJA YANG MASIH MUDA,
NAMUN ADA TELADAN UNTUK SEMUA,
DALAM PERSARUNGAN PENUH KERENDAHAN,
DALAM KEHIDUPAN PENUH KERAKYATAN,
SAYANG RAKYAT PENUH MELIMPAH,
KEPADA RAJA KASIH TERTUMPAH.
PATIK PERCAYA “PERASAAN TERTAWAN” BEKAS MUFTI PERLIS ITU JUGA ADALAH “PERASAAN TERTAWAN” SEKALIAN YANG HADIR DAN SELURUH RAKYAT NEGERI CIK SITI WAN KEMBANG.
AMPUN TUANKU.
10. PENGHORMATAN TINGGI RAKYAT INI HADIR BERSAMA PENGHARAPAN TINGGI MEREKA TERHADAP TUANKU. MENGENALI DIRI DAN BUDI TUANKU, PATIK YAKIN TUANKU TIDAK AKAN MENGECEWAKAN MEREKA. TUANKU YANG PATIK KENALI ADALAH SEORANG SULTAN YANG AMAT PEKA DAN SENTIASA BERSEMANGAT UNTUK MELIHAT DAN MENYELESAIKAN SENDIRI MASALAH RAKYAT. TANGISAN TUANKU DI MAJLIS TAHLIL ARWAH RAMLI MOHAMAD DI TUMPAT MENUNJUKKAN KEPEKAAN TUANKU KE ATAS PENDERITAAN RAKYAT. KESUDIAN TUANKU BERAMAH-MESRA DENGAN GOLONGAN FAKIR MISKIN MENGCERMINKAN KECAKNAAN TUANKU KE ATAS KESEDIHAN RAKYAT. PERCIKAN MERAH DARAH LEMBU YANG TUANKU SEMBELIH DI SELURUH NEGERI MENGGAMBARKAN REDHA DAN IKHLASNYA TUANKU MENJAGA KEBAJIKAN RAKYAT. KESANGGUPAN TUANKU MENGHULURKAN WANG PERIBADI BAGI MEMBIAYAI BEBERAPA AKTIVITI DAN INSTITUSI KEAGAMAAN MELALUI PATIK SENDIRI MENJADI BUKTI JELAS HARTA DUNIA BUKANLAH MENJADI UKURAN TUANKU. KEMUNCAK KEPRIHATINAN TUANKU KEPADA KEBAJIKAN RAKYAT ADALAH TITAH TUANKU KEPADA PATIK SUPAYA MENUBUHKAN YAYASAN SULTAN KELANTAN YANG AKAN DILANCARKAN PADA 7 MEI 2011. PERISTIWA-PERISTIWA INI TIDAK PERNAH TERFIKIR KEPADA PATIK DAN RAKYAT BAHAWA TUANKU SENDIRI AKAN MELAKUKANNYA.
AMPUN TUANKU.
11. BERSEMPENA DENGAN MAJLIS SANTAPAN MALAM INI, PATIK MEWAKILI SELURUH AHLI MAJLIS JAKSA PENDAMAI KELANTAN INGIN MERAKAMKAN TAAT SETIA YANG TIDAK BERBELAH BAGI TERHADAP TUANKU. PATIK SEKALIAN BERDOA SEMOGA TUANKU AKAN TERUS KEKAL MEMERINTAH NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, TANAH SERENDAH SEKEBUN BUNGA, DENGAN PENUH KEMULIAAN DAN KEBESARAN. KEPRIHATINAN TUANKU MENYELAMI DAN MENYELESAIKAN MASALAH RAKYAT SENTIASA MENJADI PERANGSANG KEPADA KAMI UNTUK MENCURAHKAN KHIDMAT BAKTI KEPADA RAKYAT.
12. PATIK BERDOA SEMOGA TUANKU AKAN SENTIASA DIKELILINGI OLEH PEMBANTU YANG JUJUR DAN BIJAKSANA. DI DALAM TRADISI ISLAM, RASULULLAH SAW PERNAH MENEGASKAN MENGENAI BETAPA JIKA ALLAH MENGHENDAKI KEBAIKAN PADA PENGUASA MAKA DIBUATKAN UNTUKNYA PEMBANTU YANG JUJUR YANG AKAN MENGINGATKANNYA APABILA IA LUPA DAN YANG AKAN MEMBANTUNYA APABILA IA INGAT. DI DALAM TRADISI BARAT, TURUT DISEBUTKAN MENGENAI BETAPA THE INTELLIGENCE OF A RULER CAN BE ESTIMATED BY LOOKING AT THE MEN HE HAS AROUND HIM.
AMPUN TUANKU.
13. RAKYAT SUDAH AMAT CERIA DENGAN KEMUNCULAN SINAR INDAH DI DALAM INSTITUSI BERAJA DI NEGERI KELANTAN. PADA MASA YANG SAMA, MEREKA SANGAT BERHARAP UNTUK MELIHAT TUANKU SENDIRI TURUT CERIA, TIDAK HANYA MENJADI LILIN YANG MEMBAKAR DIRI BAGI MENERANGI MEREKA. MEREKA BERKATA, ALANGKAH LEBIH INDAH DAN LENGKAPNYA SUASANA JIKA TUANKU SENTIASA BERTEMANKAN SEORANG PERMAISURI YANG SETIA. UNTUK ITU, PATIK SEKALIAN BERDOA SEMOGA TUANKU AKAN SEGERA BERTEMU JODOH DENGAN PILIHAN HATI YANG SAMA BAIK BUDI. SEMOGA ALLAH MEMELIHARA TUANKU DAN JUGA SULTAN ISMAIL PETRA DUNIA DAN AKHIRAT DARI SEGALA BALA BENCANA DAN GOLONGAN-GOLONGAN YANG ZALIM.
14. PATIK MEMOHON AMPUNI PERKENAN KDYMM TUANKU UNTUK PATIK BERUCAP KEPADA AHLI-AHLI MAJLIS JAKSA PENDAMAI KELANTAN SERTA TETAMU-TETAMU YANG DIHORMATI SEKALIAN.
15. YANG BERHORMAT MULIA DATO’ TENGKU ABDUL HALIM IBNI ALMARHUM SULTAN IBRAHIM, TENGKU LAKSAMANA KELANTAN DAN TENGKU PUAN; YANG BERHORMAT MULIA DATO’ TENGKU MOHAMAD RIZAM BIN TENGKU ABDUL AZIZ, TENGKU PANGLIMA KELANTAN DAN TENGKU PUAN; YANG BERHORMAT MULIA DATO’ TENGKU ROZAN IBNI ALMARHUM SULTAN YAHYA PETRA DAN SUAMI; YANG BERHORMAT MULIA DATO’ TENGKU HAJJAH SALWANI IBNI ALMARHUM SULTAN YAHYA PETRA; YANG AMAT BERBAHAGIA TUN AHMAD FAIRUZ SHEIKH ABDUL HALIM, MANTAN KETUA HAKIM NEGARA DAN TOH PUAN; YANG AMAT ARIF TAN SRI ARIFIN ZAKARIA, HAKIM BESAR MALAYA DAN PUAN SRI; YANG AMAT BERBAHAGIA TAN SRI MUSA HASAN, MANTAN KETUA POLIS NEGARA; YANG BERHORMAT DATO’ DR AWANG ADEK HUSSIN, TIMBALAN MENTERI KEWANGAN DAN DATIN; YANG BERHORMAT DATO’ MOHD NASARUDDIN DAUD, SPEAKER DEWAN UNDANGAN NEGERI KELANTAN DAN DATIN; YANG BERHORMAT DATO’ SETIA RAJA MOHD AISERI ALIAS, SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI KELANTAN DAN DATIN; TAN SRI-TAN SRI, DATO’-DATO’, DATIN-DATIN, TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN YANG DIHORMATI SEKALIAN.
16. SAYA BAGI PIHAK AHLI-AHLI MAJLIS JAKSA PENDAMAI KELANTAN INGIN MENGALU-ALUKAN KEHADIRAN TETAMU-TETAMU YANG DIHORMATI SEKALIAN KE MAJLIS SANTAPAN MALAM INI. KAMI MERASA SANGAT BERBESAR HATI DENGAN KESEDIAAN TETAMU-TETAMU YANG DIHORMATI SEKALIAN MEMERIAHKAN LAGI MAJLIS SANTAPAN MALAM INI. KEHADIRAN TETAMU-TETAMU YANG DIHORMATI SEKALIAN SEKALIGUS TURUT MENJADI TANDA SOKONGAN TIDAK BERBELAH BAGI RAKYAT KE ATAS PEMERINTAHAN TUANKU. KAMI BERHARAP PERSEMBAHAN YANG DITUNJUKKAN PADA MALAM INI AKAN DAPAT MENGHIBURKAN TETAMU-TETAMU YANG DIHORMATI SEKALIAN.
SIDANG HADIRIN SEKALIAN,
17. PADA TAHUN INI GENAPLAH 16 TAHUN SAYA MENJADI PRESIDEN MAJLIS JAKSA PENDAMAI KELANTAN. SAYA MERASA SANGAT TERHARU KERANA DALAM TEMPOH INI SAYA SENTIASA MENDAPAT SOKONGAN PADU AHLI-AHLI MAJLIS JAKSA PENDAMAI KELANTAN DI DALAM MENJALANKAN SETIAP AKTIVITI MAJLIS. SAYA SUKA MERAKAMKAN UCAPAN SEMBAH TAKZIM KEPADA TUANKU KERANA MEMANDANG TINGGI TUGAS DAN PERANAN JAKSA PENDAMAI. SAYA PERCAYA JAKSA PENDAMAI AKAN TETAP RELEVAN SEPANJANG MASA KERANA TUGAS DAN PERANANNYA SEBENARNYA TIDAKLAH TERHAD KEPADA RUANG LINGKUP YANG TELAH DIPERUNDANG-UNDANGKAN SAHAJA. TUGAS DAN PERANANNYA YANG LEBIH BESAR ADALAH BAGI MEMENUHI TANGGUNGJAWAB SOSIAL KE ATAS AHLI-AHLI MASYARAKAT, KHUSUSNYA BAGI MEMBANTU GOLONGAN YANG TIDAK BERNASIB BAIK.
SIDANG HADIRIN SEKALIAN,
18. MAJLIS JAKSA PENDAMAI KELANTAN ADALAH SEBUAH PERTUBUHAN YANG STABIL DARI SEGI PENTADBIRAN, KUKUH DARI SEGI KEWANGAN DAN AKTIF DARI SEGI GERAK KERJANYA. SAYA MERASA BANGGA KERANA TELAH MENDAHULUI NEGERI-NEGERI LAIN UNTUK MEMILIKI SEBUAH BANGUNAN SENDIRI YANG BEBAS DARIPADA SEGALA BEBAN BIAYA. SAYA JUGA INGIN MENGUCAPKAN TERIMA KASIH DI ATAS KOMITMEN TINGGI AHLI-AHLI MAJLIS DI DALAM MELAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB SOSIAL KE ATAS AHLI-AHLI MASYARAKAT. SEPANJANG TAHUN 2010, MAJLIS TELAH MENGADAKAN PELBAGAI AKTIVITI KEMASYARAKATAN DENGAN MEMBERIKAN BANTUAN SAMA ADA SECARA PERIBADI ATAU BERKUMPULAN KEPADA GOLONGAN YANG MEMERLUKAN. TURUT AKTIF MEMAINKAN PERANAN INI IALAH KELAB SUKAN DAN KEBAJIKAN ISTERI JAKSA PENDAMAI (KESKI) DI BAWAH PIMPINAN ISTERI SAYA. AKTIVITI-AKTIVITI SEPERTI INI AKAN TERUS DILAKSANAKAN BAGI MEMASTIKAN GOLONGAN KURANG BERNASIB BAIK INI TIDAK TERBIAR.
SIDANG HADIRIN SEKALIAN,
19. SEJAK BEBERAPA TAHUN YANG LALU, AHLI-AHLI MAJLIS JAKSA PENDAMAI KELANTAN SEBAGAI PENDOKONG KUAT KEPADA INSTITUSI RAJA BERPERLEMBAGAAN TELAH MEMAINKAN PERANAN YANG PROAKTIF DI DALAM MEMPERTAHANKAN KEMURNIAN INSTITUSI BERAJA DI NEGERI KELANTAN. SIDANG HADIRIN SEKALIAN TENTUNYA TELAH BANYAK MENDENGAR, MEMBACA DAN MELIHAT SENDIRI BERBAGAI-BAGAI PERISTIWA YANG BERLAKU DI KELANTAN. PADA HARI INI KEBENARAN TELAH MUNCUL DAN KAMI MERASA BANGGA DI ATAS PERANAN YANG KAMI MAINKAN DI DALAM MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN INSTITUSI BERAJA DI SAMPING MEMPERTAHANKAN KELUHURAN PERLEMBAGAAN DAN UNDANG-UNDANG.
SIDANG HADIRIN SEKALIAN,
20. SEBAGAI PRESIDEN MAJLIS JAKSA PENDAMAI KELANTAN, SAYA INGIN MENGAMBIL KESEMPATAN INI UNTUK MENYERU KEPADA AHLI-AHLI MAJLIS SEKALIAN SUPAYA TERUS SAMA-SAMA MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN INSTITUSI BERAJA YANG TELAH SEKIAN LAMA MEMAYUNGI DAN MENAUNGI RAKYAT, BUKAN SAHAJA DI NEGERI KELANTAN MALAH DI SELURUH NEGARA, SERTA KELUHURAN PERLEMBAGAAN DAN UNDANG-UNDANG. DENGAN KEAHLIAN AHLI-AHLI MAJLIS YANG MERENTASI BATASAN BANGSA, AGAMA DAN FAHAMAN POLITIK, SAYA JUGA INGIN MENYERU KEPADA AHLI-AHLI MAJLIS SEKALIAN SUPAYA MEMAINKAN PERANAN YANG LEBIH PROAKTIF DI DALAM MENYATU-PADUKAN AHLI-AHLI MASYARAKAT DENGAN SENTIASA MELIBATKAN SEMUA GOLONGAN DI DALAM AKTIVITI YANG DIJALANKAN.
AMPUN TUANKU.
21. DEMIKIANLAH UCAPAN PATIK KEPADA PARA HADIRIN SEKALIAN. PATIK AKHIRI UCAPAN INI DENGAN MEMANJATKAN JUNJUNG KASIH YANG TIDAK TERHINGGA DI ATAS AMPUNI PERKENAN KDYMM TUANKU BERANGKAT HADIR DALAM MAJLIS SANTAPAN PADA MALAM INI. PATIK SEKALIAN SENTIASA BERDOA AGAR KDYMM TUANKU DILANJUTKAN USIA DAN KEKAL BERSEMAYAM DI ATAS TAKHTA. SEMOGA ALLAH MELINDUNGI KDYMM TUANKU DARI SEGALA KEJAHATAN MANUSIA DAN SYAITAN UNTUK MEMERINTAH DENGAN ADIL, SAKSAMA, AMAN DAN DAMAI. SEMOGA DYMM SULTAN ISMAIL PETRA SEMAKIN SEMBUH DARI KEGERINGAN. SEMOGA YMM RAJA PEREMPUAN TENGKU ANIS SENTIASA MENDAPAT TAUFIK DAN HIDAYAH DARIPADA ALLAH SWT. BEGITU JUGA DENGAN PADUKA-PADUKA ADINDA SERTA USRAH DIRAJA SEKALIAN.
WABILLAHI TAUFIQ WAL HIDAYAH.
WASSALAMU’ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.
DATO’ HAJI SUKRI BIN HAJI MOHAMED
PRESIDEN
MAJLIS JAKSA PENDAMAI KELANTAN