Thursday, February 17, 2011

MAJLIS PELANCARAN YAYASAN SULTAN KELANTAN DARULNAIM BERDAFTAR

KENYATAAN AKHBAR MAJLIS PELANCARAN YAYASAN SULTAN KELANTAN DARULNAIM BERDAFTAR DAN MAJLIS SANTAPAN MALAM BERSAMA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN MUHAMMAD V

PENDAHULUAN

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V telah menitahkan supaya kerja-kerja kebajikan berteraskan keagamaan, sosio ekonomi, pendidikan dan kewangan di Negeri Kelantan diberi perhatian utama dan diuruskan secara tersusun dan berterusan. Sehubungan dengan itu, Baginda menitahkan supaya Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim ditubuhkan sebagai salah satu mekanisma bagi mencapai hasrat tersebut.

Yayasan ini telah diluluskan penubuhannya dan Sijil Pemerbadanan telah diberikan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 15 Oktober 2010 dan diperbadankan dengan nama PEMEGANG AMANAH YAYASAN SULTAN KELANTAN DARULNAIM BERDAFTAR di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 dengan nombor pendaftaran PPAB-16/2010. Alamat berdaftar Yayasan ini adalah Pejabat Sultan Kelantan, Istana Balai Besar, 15500 Kota Bharu, Kelantan.

OBJEKTIF

Di antara lainnya penubuhan Yayasan ini adalah bertujuan bagi memberi penekanan kepada aspek-aspek yang berteraskan agama, kebajikan dan pendidikan sebagaimana berikut:-

1. Agama

I. Memberi bantuan kewangan atau biasiswa bagi tujuan pendidikan agama kepada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan Darulnaim menurut syarat-syarat dan kelayakan-kelayakan yang boleh ditetapkan oleh Yayasan dari semasa ke semasa;
II. Memberi bantuan kewangan kepada individu, pertubuhan atau badan bukan Kerajaan yang menjalankan gerakan dakwah atau usaha untuk meninggikan syiar Islam dengan syarat individu, pertubuhan atau badan bukan Kerajaan itu telah mendapat kebenaran Kerajaan untuk menjalankan gerakan dan usaha serta gerakan atau usaha itu adalah untuk kebaikan serta memberi faedah kepada Negeri Kelantan Darulnaim atau Negara;
III. Memberi bantuan bagi pembinaan, pengurusan atau pemulihan Sekolah-Sekolah Agama, Masjid-Masjid dan Madrasah-Madrasah yang diusahakan oleh mana-mana individu atau pertubuhan atau badan bukan Kerajaan

2. Kebajikan

I. Mempertingkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan Darulnaim dengan mengadakan skim bantuan kepada orang miskin, orang cacat serta orang-orang yang tidak bernasib baik atau ditimpa bencana alam atau musibah.

3. Pendidikan

I. Memberi sumbangan derma kepada pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan dari segi bayaran yuran sekolah, buku, alat projek, pakaian seragam sekolah, kenderaan, yuran peperiksaan dan elaun tanggungan menurut syarat-syarat dan kelayakan yang boleh dikenakan oleh Yayasan dari masa ke semasa. Bantuan itu tidak terhad kepada mana-mana peringkat pengajian bergantung kepada budi bicara Yayasan.
II. Memberi bantuan kepada mana-mana institusi pengajian tinggi di Negeri Kelantan atau mana-mana institusi pengajian dalam Negara bagi menjalankan usaha penyelidikan dan perkembangan dalam bidang sains dan teknologi, sosial, kemajuan saintifik, teknologi dan kemasyarakatan.

PENAUNG

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V adalah penaung kepada Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim Berdaftar.

LEMBAGA PEMEGANG AMANAH

Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ini adalah sebagaimana berikut:-

Pengerusi: Yang Berhormat Dato’ Seri Setia Raja Dato’ Haji Mohd Aiseri bin Alias (Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan)

Bendahari Kehormat: Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Faudzi bin Haji Che Mamat
(Pegawai Kewangan Negeri Kelantan)

Setiausaha Kehormat: Yang Berhormat Dato’ Sukri bin Haji Mohamed

Ahli: Yang Berbahagia Tan Sri Syed Mohd Yusoff bin Tun Syed Nasir
Yang Berhormat Dato’ Haji Che Mohd Rahim bin Haji Jusoh

KEWANGAN

Yayasan boleh melaksanakan perkara-perkara berikut bagi mencari sumber kewangannya:-
1. Mengambil bahagian dalam apa jua aktiviti perusahaan komersil dan industri yang sesuai dengan konsep dan tujuan Yayasan.
2. Membeli, menjamin atau sebaliknya mendapatkan sebarang stok dan saham.
3. Mengadakan apa-apa aktiviti bagi mengumpul dana untuk digunakan bagi tujuan yang bersesuaian dengan tujuan penubuhan Yayasan.
4. Menerima apa-apa sumbangan dalam sebarang bentuk termasuk wang tunai dari Kerajaan Negeri atau Persekutuan, individu, agensi-agensi Kerajaan dan badan-badan bukan Kerajaan.

PENGURUSAN KEWANGAN

Akaun Yayasan ini akan diaudit oleh Akauntan yang dilantik oleh Yayasan dan hendaklah diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri setiap tahun sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 15 Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952.

MAJLIS PELANCARAN

Majlis Pelancaran Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim Berdaftar akan diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre pada 7 Mei 2011 jam 8.00 malam. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V telah mengampuni perkenan untuk menyempurnakan pelancaran Yayasan ini pada malam tersebut. Di majlis tersebut juga acara santapan malam bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V akan diadakan. Seramai 2000 dif jemputan dan tetamu akan dijemput menghadiri majlis berkenaan yang terdiri daripada:-
1. Pemimpin-pemimpin Kerajaan Persekutuan dan Negeri
2. Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri
3. Ketua Badan-badan Korporat dan Syarikat berkaitan Kerajaan
4. Ketua Badan-Badan Bukan Kerajaan
5. Ahli-ahli Korporat dan Perniagaan
6. Penderma
7. Tetamu-Tetamu Yayasan

Pihak Yayasan juga telah menjemput Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia dan Yang Amat Berbahagia Datin Sri Rosmah bt. Mansor, Yang Amat Berhormat Tan Sri Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yasin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Yang Amat Berbahagia Puan Sri Norainee bt. Abdul Rahman dan beberapa orang Menteri Kabinet untuk hadir di majlis berkenaan.

JAWATAN KUASA MAJLIS PELANCARAN YAYASAN SULTAN KELANTAN DARULNAIM BERDAFTAR DAN MAJLIS SANTAPAN MALAM BERSAMA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN MUHAMMAD V

Satu Jawatan kuasa telah ditubuhkan bagi menjayakan Majlis Pelancaran Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim Berdaftar dan Majlis Santapan Malam bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V ini. Jawatan kuasa tersebut adalah terdiri daripada:-

Pengerusi: Yang Berhormat Mulia Tengku Abdul Halim Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim (Tengku Laksamana Kelantan)

Timbalan Pengerusi: Yang Berhormat Dato’ Seri Setia Raja Dato’ Haji Mohd Aiseri Bin Alias (Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan)

Bendahari: Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Faudzi Bin Haji Che Mamat (Pegawai Kewangan Negeri Kelantan)

Setiausaha: Yang Berhormat Dato’ Sukri Bin Haji Mohamed

Timbalan Setiausaha: Yang Amat Berusaha Tuan Haji Shafie Bin Ismail
(Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan))

Penolong Setiausaha: Yang Berusaha Encik Mohd Kamal Azarul Azmi Bin Omar
(Setiausaha Sulit kepada Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan)

Ahli: Yang Berbahagia Tan Sri Syed Mohd Yusof Bin Tun Syed Nasir
Yang Berhormat Dato’ Haji Che Mohd Rahim Bin Haji Jusoh
Yang Berhormat Dato’ Dr. Awang Adek Bin Hussin
Yang Berhormat Dato’ Haji Takiyuddin Bin Haji Hassan
Yang Berhormat Mulia Kapten Dato’ Tengku Ahmad Farizanudean Bin Dato’ Khairi
Yang Dihormati DCP Dato’ Pahlawan Zulkifli Bin Abdullah
Yang Amat Berbahagia Dato’ Haji Ahmad Bin Mahmood
Yang Berbahagia Dato’ Haji Abdul Halim Bin Haji Hamat
Yang Berhormat Dato’ Nik Mohd Shafriman Bin Nik Hassan
Yang Berbahagia Dato’ Azlan Meah Bin Hj Ahmed Meah
Yang Berbahagia Datuk Dr. Noordin Bin Ab. Razak
Yang Berbahagia Dato’ Dr. Mohd Kaisan Bin Ab Rahman
Yang Berbahagia Dato’ Faridah Begum Bt Abdul Kader
Yang Berusaha Kapt (B) Wan Marzudi Bin Dato’ Wan Omar

Di samping itu beberapa Jawatan Kuasa Kecil juga telah ditubuhkan bagi melicinkan perjalanan majlis iaitu:-

JAWATAN KUASA KERJA

Pengerusi: Yang Berhormat Dato’ Seri Setia Raja Dato’ Haji Mohd Aiseri Bin Alias

JAWATAN KUASA KECIL PENAJAAN DAN KEWANGAN

Pengerusi: Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Faudzi Bin Haji Che Mamat

JAWATAN KUASA KECIL PERSIAPAN TEMPAT

Pengerusi: Yang Berbahagia Tan Sri Syed Mohd Yusof Bin Tun Syed Nasir

JAWATAN KUASA KECIL PERSEMBAHAN

Pengerusi: Yang Berhormat Dato’ Sukri Bin Haji Mohamed

JAWATAN KUASA KECIL JAMUAN

Pengerusi: Yang Berbahagia Datuk Dr. Noordin Bin Ab. Razak

JAWATAN KUASA KECIL KESELAMATAN DAN LALU LINTAS

Pengerusi: Yang Dihormati DCP Dato’ Pahlawan Zulkifli Bin Abdullah

PENERIMAAN SUMBANGAN

Sempena dengan Majlis Pelancaran dan Majlis Santapan Malam tersebut, Yayasan mengalu-alukan sumbangan daripada Kerajaan Negeri dan Persekutuan, Badan-badan Bukan Kerajaan dan individu-individu bagi mengisi dana Yayasan. Yayasan berharap dapat mengumpulkan dana sebanyak RM5 juta sempena majlis tersebut. Bagi maksud berkenaan, Yayasan akan mengeluarkan surat memohon sumbangan daripada pihak-pihak berkenaan dalam tempoh terdekat. Yayasan juga telah mengemukakan permohonan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia bagi memohon kelulusan pelepasan Cukai Pendapatan di bawah Sub Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Sumbangan dalam bentuk cek dan bank draf boleh dibuat sebagaimana berikut:-
i) Bayar Kepada - Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim
ii) No. Akaun - 008-105-00034-4
iii) Institusi Kewangan - Kuwait Finance House

Sebarang pertanyaan berkaitan dengan perkara ini boleh dibuat melalui talian-talian berikut:-
1. Y.A.Brs. Tuan Haji Shafie bin Ismail - 019-9808414
2. Y.Brs. Encik Mohd Kamal Azarul Azmi bin Omar - 012-9695501
3. Y.Brs. Encik Mohd. Roshdi bin Ismail - 013-9231886

Yayasan ini juga boleh dihubungi melalui e-mail berikut:- ysk@kelantan.gov.my

SUMBANGAN RAKAN-RAKAN MEDIA

Sumbangan rakan-rakan media adalah amat diperlukan dan dialu-alukan oleh Yayasan bagi menjayakan majlis pelancaran ini dengan cara memberi hebahan dan laporan dan liputan yang seluas-luasnya bagi makluman awam sebelum, semasa dan selepas majlis berkenaan.

CADANGAN AKTIVITI BAGI TAHUN 2011

Bagi tahun 2011, Yayasan ini telah merangka aktiviti sebagaimana berikut:-
1. Majlis Pelancaran Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim Berdaftar oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V di Kuala Lumpur Convention Centre, Kuala Lumpur: 7hb. Mei 2011
2. Pengurniaan bantuan kenderaan, pakaian sekolah kepada pelajar miskin seluruh Negeri Kelantan: Jun 2011
3. Pengurniaan bantuan kewangan kepada golongan miskin tegar dan ibu tunggal: Julai 2011
4. Pengurniaan mesin kepada pengusaha-pengusaha industri kampung: Ogos 2011
5. Pengurniaan alatan bantuan pendengaran, kerusi roda kepada orang-orang kurang upaya: September 2011
6. Pengurniaan mesin hemodialysis kepada hospital terpilih: Oktober 2011
7. Pengurniaan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir/bencana alam: Oktober/November/Disember 2011

PENUTUP

Bagi pihak Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim Berdaftar saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah dan akan memberikan kerjasama bagi menjayakan hasrat murni Yayasan.

Terima kasih sekali lagi kepada semua yang memberikan kerjasama menjayakan Majlis Pelancaran dan Santapan Malam ini. Dengan pelancaran Yayasan ini adalah diharapkan agar segala objektif murni yang dirangka akan dapat direalisasikan.

Sekian dimaklumkan, terima kasih.

* SEMOGA ALLAH MELINDUNGI TUANKU DUNIA DAN AKHIRAT *

Dengan hormatnya,


(DATO’ SERI SETIA RAJA DATO’ HAJI MOHD AISERI BIN ALIAS)
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim Berdaftar
Merangkap
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan

Bertarikh: 13 Rabiul Awal 1432H/16 Februari 2011