Saturday, January 8, 2011

FOTO-FOTO SULTAN MUHAMMAD KE-V DI GUA MUSANG

Alhamdulillah, pada hari Jumaat, 7 Januari 2011, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, yang di dalam keberangkatan pulang dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu melalui jalan darat, telah meluangkan masa selama sehari semalam untuk bersama-sama dengan penduduk di sekitar jajahan Gua Musang.

Aturcara Tuanku pada hari itu dimulai dengan majlis solat Jumaat bersama-sama para penduduk di Masjid Mukim Sungai Terah yang diikuti oleh pengurniaan sumbangan kewangan kepada masjid tersebut, pengurniaan bantuan zakat kepada 100 fakir miskin dan pengurniaan geran tanah kepada 31 penduduk di sekitar jajahan tersebut.

Setelah santap bersama-sama para pembesar, pemimpin dan pegawai kerajaan di Istana Persinggahan Gua Musang, Tuanku kemudiannya meluangkan masa untuk melawat tapak kebakaran membabitkan 43 keluarga di Bandar Lama Gua Musang di samping memberikan bantuan material dan sokongan moral kepada kesemua mangsa yang terlibat.

Pada sebelah malamnya pula, Tuanku meluangkan masa untuk meraikan kira-kira 200 penduduk kaum asal di sekitar jajahan tersebut dengan menganjurkan satu majlis barbecue khusus untuk mereka di Istana Persinggahan Gua Musang. Bagi melahirkan penghargaan mereka kepada Tuanku, penduduk-penduduk asal tersebut telah menyajikan beberapa persembahan tradisional, termasuk tarian rewang, kepada Tuanku.

Disertakan di sini beberapa keping gambar yang berkaitan untuk tatapan semua.

Terima kasih.