Friday, July 23, 2010

POSTING 25: KENYATAAN MEDIA PEJABAT SULTAN KELANTAN

PEJABAT SULTAN KELANTAN

KENYATAAN MEDIA

ASSALAMU’ALAIKUM W.B.T.

1. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang memberi kerjasama kepada Pejabat Sultan Kelantan dalam menyiarkan berita yang tepat kepada orang ramai. Saya ingin merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Amir Ramli di dalam beberapa akhbar pada 22 Julai 2010.

2. Siapa Dr Amir yang mengatakan Tuanku Al-Sultan bertitah kepada saya melalui dia supaya jangan buat kenyataan akhbar? Saya adalah Pengelola Istana D’Raja (PID) dan diberi tugas oleh Al-Sultan menjaga pentadbiran istana. Saya menjunjung titah Tuanku yang dititah melalui lisan atau bertulis. Adalah tidak wajar beliau memberi teguran melalui media dan arahan kepada pegawai yang bukan di bawah kawalan beliau.

3. Peringatan yang diberikan oleh Dr Amir Ramli adalah baik. Walau bagaimanapun, ianya tidak sesuai kerana Dr Amir Ramli bukanlah kakitangan Pejabat Sultan Kelantan dan saya tidak bertanggungjawab kepadanya dalam menjalankan tugas. Tidak ada sebarang surat dari pihak tertinggi Angkatan Tentera Malaysia yang menyatakan beliau telah ditempatkan di Pejabat Sultan Kelantan. Teguran beliau boleh menimbulkan persoalan ‘siapa beliau’ sedangkan tidak ada sebarang perlantikan beliau secara rasmi sebelum ini.

4. Selaku Pengelola Istana D’Raja Kelantan, saya tidak berhasrat membuat kenyataan mengenai tahap kesihatan yang diterima oleh KDYMM Tuanku Al-Sultan, apa lagi rawatan yang baru diterima di Singapura pada 15 Julai 2010. Saya hanya memaklumkan pergerakan Tuanku mengikut titah. Tugas doktorlah memaklumkan kepada rakyat setelah berbincang dengan keluarga dan dengan Tuanku sendiri. Doktor juga harus memahami dan mematuhi etika juga pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pertahanan.

5. Sebagai Pengelola Istana D’Raja Kelantan, saya hanya menurut titah daripada Tuanku Al-Sultan sama ada secara lisan atau bertulis dan sejak Tuanku Al-Sultan gering, saya telah beberapa kali menghadap Tuanku Al-Sultan sama ada di Kota Bharu atau di Singapura. Baginda tidak bertitah apa-apa kepada saya.

6. Urusan penggunaan pesawat untuk keberangkatan Tuanku ke luar negeri dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan. Penggunaan pesawat TUDM diselaraskan melalui Jabatan Perdana Menteri, Pusat Operasi Tentera Udara dan Pejabat Sultan Kelantan. Ini sudah menjadi kelaziman dan berjalan dengan begitu baik sekali. Janganlah mengelirukan keadaan.

7. Tuduhan yang mengatakan saya dan pegawai-pegawai Istana tidak menjenguk Tuanku Al-Sultan di Istana adalah tidak wajar. Ini kerana kita perlu memahami latar belakang yang berlaku di dalam keluarga D’Raja dan apakah sumbangan yang boleh kita berikan. Segala gerak-geri kita mestilah berpandukan kepada titah pesanan KDYMM Tuanku Al-Sultan sebelum Baginda gering dan berdasarkan keperluan dari masa ke semasa. Sebagai ketua di Pejabat Sultan Kelantan, saya akan menghadap Tuanku apabila ada masa yang sesuai atau apabila dititah oleh Tuanku Al-Sultan.

8. Mengenai urusan pembayaran bil hospital, KDYMM Tuanku Al-Sultan mempunyai kelayakan untuk dibayar oleh kerajaan. Walau bagaimanapun, sebagai doktor, Dr Amir perlu memahami prosedur kewangan kerajaan dan ianya tidak wajar dibincang melalui akhbar.

9. Tuanku Al-Sultan selalu bertitah supaya saya mengikut peraturan dalam menjalankan tugas di Istana. Apabila Tuanku gering dan Pemangku Raja dilantik, tugas saya sama sahaja. Pentadbiran pejabat perlu berjalan mengikut undang-undang dan pekeliling kerajaan. Saya membuat kenyataan berpandukan pekeliling kerajaan yang dikeluarkan oleh Dato’ Setiausaha Kerajaan. Doktor mungkin pandai mengubat orang yang sakit tetapi mungkin perlu belajar hal-hal pentadbiran.

10. Saya berharap mana-mana pihak yang sudi berkhidmat dengan Pejabat Sultan Kelantan perlulah mengikut prosedur dan datanglah ke Pejabat Sultan Kelantan dan beramah mesralah dengan pegawai-pegawai Pejabat Sultan Kelantan yang bekerja siang dan malam untuk Tuanku Al-Sultan. Tuanku Al-Sultan telah bertitah banyak kali kepada saya sebelum Baginda gering tentang cara-cara bertugas di Istana.

11. Saya berharap episod ini akan selesai dengan cara kekeluargaan. Orang luar janganlah kacau daun. Negara kita ada undang-undang dan ada orang yang ditugaskan menjaga keluhuran undang-undang.

12. Kita berdoalah kepada Allah swt moga-moga Allah memberi petunjuk kepada orang yang benar dan jujur kepada-Nya. Ingatlah bahawa Allah mengetahui apa yang tersurat dan tersirat dan orang yang jujur akan diberi barakah oleh Allah swt dan diberi ganjaran syurga di akhirat kelak, dan semasa di dunia ianya akan diberi petunjuk dan jalan yang benar untuk hidup dalam bahagia dan ketenangan.

Sekian.

Wabillahitaufik Walhidayat Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.

DATO’ HJ. ABDUL HALIM BIN HJ. HAMAD
Pengelola Istana D’Raja
Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan
Bertarikh: 23 Julai 2010