Thursday, July 22, 2010

POSTING 24: MENGAPA MASALAH KESIHATAN TUANKU ISMAIL PETRA MENJADI SATU ISU BESAR DI NEGERI KELANTAN?

1. Apabila kita membaca laporan-laporan akhbar-akhbar tempatan mahupun laporan-laporan yang termuat di dalam internet sejak kebelakangan ini maka ternyatalah bahawa terlalu banyak pihak yang masih lagi gagal untuk memahami apakah yang sebenarnya sedang berlaku di negeri Kelantan di sekitar masalah kesihatan Tuanku Ismail Petra.

2. Masalah kesihatan seseorang Raja atau Sultan lazimnya tidak akan menjadi satu isu besar jika kegeringan, malah kemangkatan sekalipun, Raja atau Sultan tersebut tidak membawa sebarang implikasi lain yang lebih besar, dan inilah yang terjadi di negeri-negeri lain di negara ini pun apabila Raja atau Sultan di negeri-negeri tersebut gering atau mangkat.

3. Di Kelantan, kegeringan Tuanku Ismail Petra bagaimanapun menjadi satu isu besar kerana adanya pihak tertentu yang selama ini berselindung di sebalik nama Tuanku bagi melakukan aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang negara yang sedang bermati-matian berusaha untuk memastikan supaya Tuanku kekal menjadi Sultan.

4. Usaha mereka ini pula bukanlah sepenuhnya didasarkan di atas keikhlasan untuk melihat Tuanku pulih seperti sediakala tetapi lebih kepada bagi memastikan mereka tidak menerima akibat dari aktiviti-aktiviti yang telah mereka lakukan pada masa lalu sekaligus bagi membolehkan mereka meneruskan aktiviti-aktiviti ini pada masa hadapan.

5. Di atas hasrat yang sama ini jugalah maka pihak ini turut bermati-matian berusaha untuk memastikan supaya Tengku Muhammad Faris Petra tidak dapat melaksanakan tugas-tugas Baginda selaku Pemangku Raja Kelantan yang sah mengikut peruntukan-peruntukan di dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

6. Di atas hasrat yang sama ini jugalah maka pihak ini turut bermati-matian berusaha untuk memastikan supaya keadaan kesihatan sebenar Tuanku Ismail Petra tidak diketahui oleh rakyat jelata, termasuklah dengan cuba menghalang panel pakar-pakar perubatan yang dilantik oleh Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Malaysia dari memeriksa Tuanku.

7. Walaupun setelah panel pakar-pakar perubatan ini berjaya memeriksa Tuanku Ismail Petra sekalipun, pihak ini masih lagi bermati-matian berusaha untuk memastikan supaya keadaan kesihatan sebenar Tuanku Ismail Petra tidak diketahui oleh rakyat jelata, termasuklah dengan mengancam untuk menyaman sesiapa yang mendedahkannya.

8. Di atas hasrat yang sama ini jugalah maka kenyataan-kenyataan seperti “berdasarkan laporan terkini pemeriksaan doktor-doktor pakar di Singapura, Tuanku mempunyai keupayaan minda dan fizikal yang baik dan boleh membuat apa-apa keputusan dengan sendiri” dan yang seumpama dengannya sentiasa dikeluarkan dari masa ke semasa.

9. Jika benar keadaan kesihatan Tuanku Ismail Petra berada pada tahap yang amat baik seperti yang selalu diumumkan maka rakyat, malah lebih-lebih lagi Pemangku Raja Kelantan dan kerabat-kerabat diraja Kelantan lain, tentunya amat bersyukur dengannya kerana selama ini pun inilah juga yang sentiasa mereka doa dan harap-harapkan.

10. Walaupun begitu, pengumuman sebegini sebenarnya perlulah dibuat dengan cara yang lebih meyakinkan, oleh individu-individu yang diiktiraf, baik oleh Kerajaan Kelantan mahupun oleh Kerajaan Malaysia, bukannya oleh seorang pegawai perubatan yang dilihat sebagai gila publisiti, yang kuasa, kepakaran dan kelayakannya amat dipersoalkan.

11. Pegawai perubatan peribadi Tuanku Ismail Petra, Kolonel Dr Amir Ramli, bukanlah seorang pakar yang sebenar-benarnya, beliau hanyalah seorang pegawai perubatan dari Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur, yang status perkhidmatannya dengan Istana Mahkota amat kabur dan yang tidak dibuat mengikut prosedur biasa.

12. Sebagai seorang pegawai perubatan tentera, beliau sepatutnya mempunyai kawalan disiplin yang lebih baik berbanding mana-mana pegawai perubatan biasa, tetapi malangnya tindak-tanduk beliau sewaktu membantu merawat Tuanku Ismail Petra bukan sahaja sangat memalukan tetapi menjejaskan dengan teruknya imej angkatan tentera.

13. Sebagai seorang penjawat awam, Kolonel Dr Amir Ramli adalah terikat dengan pekeliling perkhidmatan awam yang di antara lainnya melarang beliau dari membuat apa-apa kenyataan kepada media tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis daripada ketuanya di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan dan di Kementerian Pertahanan.

14. Bagaimanapun, di dalam keseronokannya yang tiba-tiba sahaja berada di dalam dunia glamour istana yang tidak pernah dikecapinya selama ini dan dengan anggapan bahawa tiada sesiapa pun mampu menyentuhnya, beliau telah dengan semberono melanggar pekeliling ini dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan mengelirukan kepada media.

15. Di dalam mengeluarkan kenyataan-kenyataan kabur yang tidak bersifat saintifik ini, beliau juga telah mengenepikan pegawai-pegawai perubatan yang jauh lebih berkelayakan dari segi kepakaran dan pengalaman, termasuklah bekas mahagurunya sendiri, Pengarah Kampus Kesihatan HUSM, Profesor Dato’ Dr Mafauzy Mohamed.

16. Terbaru, Kolonel Dr Amir Ramli telah mengeluarkan kepada media “titah” Tuanku Ismail Petra kepada beliau. Rakyat bertanya, jika benar dakwaannya bahawa “semua doktor di Singapura amat terkejut dengan keupayaan Tuanku bertitah dan berkomunikasi dengan baik”, mengapa tidak Tuanku sendiri menitahkan “titah” itu kepada media?

17. Sangat menyedihkan apabila sebuah tabloid (Transisi) yang diterbitkan oleh sebuah universiti (UUM), yang sepatutnya hanya membicarakan isu-isu kenegaraan dan kekampusan, serta sebuah laman blog (justread-whatever.blogspot.com) yang dimiliki oleh seorang wartawan veteran (Jailani Harun) sanggup menjulang individu begini.

18. Rakyat bertanya, jika doktor-doktor pakar di Singapura benar-benar memperakukan bahawa keadaan kesihatan Tuanku Ismail Petra berada pada tahap yang amat baik, mengapakah pula pengumuman mengenainya tidak dibuat oleh doktor-doktor pakar di Singapura ini sendiri atau mengapa laporan perubatan mereka tidak didedahkan?

19. Rakyat bertanya lagi, sehebat manakah doktor-doktor pakar di Singapura berbanding dengan doktor-doktor pakar di Malaysia yang kehebatan mereka telah diiktiraf oleh Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Malaysia sendiri sehingga memaksa pihak ini membelanjakan wang yang banyak di negara itu bagi merawat Tuanku Ismail Petra?

20. Apa yang berlegar di kalangan rakyat adalah, berasaskan kepada gambar-gambar Tuanku Ismail Petra di dada-dada akhbar dan di kaca-kaca televisyen, Tuanku jelas masih lagi belum pulih dengan tangan yang cacat dan kaki yang lembik (kocer). Malah, diberitakan bahawa deria penglihatan dan deria pendengaran Tuanku juga masih lagi belum pulih.

21. Pemangku Raja Kelantan sebenarnya mempunyai maklumat terkini mengenai keadaan kesihatan sebenar ayahanda Baginda kerana Baginda telah menziarahi sendiri Tuanku Ismail Petra di Istana Mahkota, Kubang Kerian, pada malam 13 Julai 2010 selain turut berangkat ke Singapura sewaktu Tuanku dirawat di sana dari 15 Julai ke 21 Julai 2010.

22. Malah, turut sama menyertai Pemangku Raja Kelantan di dalam ziarah terhadap ayahanda Baginda pada malam 13 Julai 2010 adalah Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Yang Dipertua Majlis Perajaan Kelantan, Tengku Dato' Abdul Halim Sultan Ibrahim, dan Timbalan Mufti Kelantan, Dato' Che Mohd Rahim Jusoh.

23. Tuanku Ismail Petra setakat ini masih mempunyai dua orang isteri yang sah, iaitu Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dan Cik Puan Elia Suhana Ahmad. Jika laporan panel pakar-pakar perubatan diputuskan hanya boleh diberikan kepada isteri Tuanku sahaja, maka kedua-dua orang isteri Tuanku ini hendaklah diberikan hak untuk mendapatkannya.

24. Bagi mengelakkan kemelut ini dari berpanjangan, Peguam Negara perlulah memberikan pandangan perundangan beliau dengan segera. Pengumuman mengenai laporan panel pakar-pakar perubatan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai, atau Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, mungkin boleh membantu.

25. Jika benar keadaan kesihatan Tuanku Ismail Petra berada pada tahap yang amat baik, dan jika benar Tuanku sudah dapat membuat keputusan sendiri dan sudah dapat bertitah dengan baik, maka adalah dicadangkan agar pihak-pihak berwibawa segera menghadap Tuanku bagi mendengar keputusan Tuanku mengenai beberapa perkara tertentu.

26. Di antara salah satu perkara yang menimbulkan keraguan rakyat yang boleh ditanyakan kepada Tuanku Ismail Petra adalah mengenai apakah Tuanku benar-benar memperkenankan tindakan Raja Perempuan Kelantan menukarkan hak milik tanah-tanah kerajaan tertentu daripada nama Tuanku kepada nama Raja Perempuan Kelantan.

27. Apa pun, beberapa kes yang sedang dibicarakan di mahkamah sekarang menjadi bukti jelas mengenai adanya pihak tertentu yang selama ini berselindung di sebalik nama Tuanku Ismail Petra bagi melakukan aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang negara. Terpulanglah kepada anda jika anda masih mahu membela pihak ini.

28. Rakyat sebenarnya hanya mahu mendapat maklumat yang tepat mengenai keadaan kesihatan sebenar Tuanku Ismail Petra. Jika benar Tuanku sudah pulih maka rakyat akan bersyukur kerana mereka tahu bahawa Tuanku di dalam keadaan sihat wal ’afiat tidak akan sesekali membenarkan nama Tuanku dipergunakan oleh mana-mana pihak pun.

29. Tanpa maklumat yang tepat, petunjuk paling jelas yang akan digunakan oleh rakyat bagi menilai keadaan kesihatan sebenar Tuanku Ismail Petra ialah bahawa Tuanku hanya boleh dianggap sudah pulih apabila Tuanku sudah mampu untuk berangkat ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat bersama-sama mereka. Rakyat menunggu detik itu!

30. Sekian, terima kasih. Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.