Tuesday, June 22, 2010

POSTING 20: PENJELASAN MENGENAI KEKECOHAN DI DALAM PROGRAM KELANTAN FIESTA

Kami di the Kelantan Insider ingin mengambil kesempatan ini untuk memberikan sedikit penjelasan mengenai kekecohan yang dilaporkan berlaku di dalam program Kelantan Fiesta yang dianjurkan oleh Red Carpet Worldwide Sendirian Berhad di perkarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV pada 16 ke 19 Jun 2010 lalu.

Kami di the Kelantan Insider difahamkan bahawa masalah di dalam program ini bermula apabila Menteri Pembangunan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed, telah, di dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Persekutuan Kelantan yang beliau pengerusikan sendiri di Bangunan JPPK pada pagi 13 Jun 2010, mengumumkan bahawa Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, tidak akan dibenarkan untuk berucap di dalam majlis perasmian Kelantan Fiesta pada malam 16 Jun 2010.

Pada malam 14 Jun 2010, sewaktu raptai penuh majlis perasmian Kelantan Fiesta dilakukan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, bapa kepada Ketua Pegawai Eksekutif Red Carpet Worldwide Sendirian Berhad (Shahrul Nasrun Dato’ Kamarudin), iaitu Dato’ Kamarudin Abdullah, pula diberitakan telah dengan secara terbuka menghamburkan beberapa kata-kata kurang sopan seperti berikut:

1. Bahawa Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ini, seperti kata orang-orang tua, umpama “berak atas pusu”.

2. Bahawa Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan sahaja tidak akan dibenarkan untuk berucap malah perlu diberitahu supaya tidak hadir ke majlis perasmian Kelantan Fiesta pada malam 16 Jun 2010.

3. Bahawa jika Kerajaan Negeri Kelantan memikirkan bahawa wang sebanyak RM200,000 yang telah disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan kepada Kelantan Fiesta itu adalah satu jumlah yang besar maka pagi esok, sebaik sahaja kaunter bank dibuka, wang itu akan dipulangkannya kembali kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

Turut mendengar kata-kata yang dihamburkan oleh Dato’ Kamarudin Abdullah ini adalah dua orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, iaitu YB Abdul Patah Mahmood dan YB Dato’ Mejar (B) Mohd Anizam Abdul Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Bahagian Pengurusan), Haji Shafei Ismail, dan Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Kelantan, Ahmad Shargowi Deraman.

Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, selaras dengan kedudukan Baginda selaku seorang raja berperlembagaan, adalah berada di atas garisan politik. Ketidakberangkatan Pemangku Raja Kelantan ke majlis perasmian Kelantan Fiesta pada malam 16 Jun 2010 itu adalah disebabkan oleh kegagalan pihak penganjurnya untuk menghormati, apatah lagi untuk memenuhi, protokol istana.

Begitupun, sebagai ketua kepada sebuah kerajaan yang telah dipilih secara sah oleh rakyat di sebuah negeri yang berdaulat, sudah semestinyalah Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan juga wajar diberikan penghormatan yang selayaknya oleh semua pihak, baik di peringkat negeri mahupun di peringkat pusat.

Sekian adanya.

(Nota: Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan, Dato' Takiyuddin Hassan, sewaktu menggulung perbahasan beliau di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tengahari 22 Jun 2010 bagaimanapun menjelaskan bahawa, mengikut perjanjian bertulis di antara kedua-dua pihak, Red Carpet Worldwide Sendirian Berhad sebenarnya hanyalah merupakan 'event manager' dan bukannya penganjur kepada program Kelantan Fiesta ini. Mengikut Dato' Takiyuddin Hassan lagi, beliau telah bercakap melalui telefon dengan Datuk Seri Mustapha Mohamed, di hadapan beberapa orang saksi, pada petang 13 Jun 2010 bagi memastikan kebenaran maklumat bahawa keputusan supaya Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak akan dibenarkan untuk berucap di dalam majlis perasmian Kelantan Fiesta pada malam 16 Jun 2010 adalah datang dari beliau dan Datuk Seri Mustapha Mohamed sendiri telah mengakui perkara ini. Mengikut Dato' Takiyuddin Hassan juga, sehingga ke detik ini, Red Carpet Worldwide Sendirian Berhad masih lagi belum membayar balik wang berjumlah RM200,000 yang telah disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan kepada Kelantan Fiesta itu).