Kami di the Kelantan Insider telah dimaklumkan oleh beberapa sumber yang rapat dengan Istana Mahkota Kelantan bahawa Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, telah berkesempatan untuk meluangkan sedikit masa bagi menziarahi ayahanda baginda, Tuanku Ismail Petra, di Istana Mahkota Kelantan pada hari Khamis, 8 April 2010, yang lalu.
Rombongan ziarah Tengku Muhammad Faris Petra yang bermula pada kira-kira pukul lima petang itu dianggotai oleh Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan, Dato’ Aria Diraja Dato’ Daud Muhammad, Timbalan Mufti Negeri Kelantan, Dato’ Che Mohamad Rahim Jusoh, serta dua orang kakanda Tuanku Ismail Petra, iaitu Dato’ Tengku Rozan dan Dato’ Tengku Salwani.
Menyambut ketibaan rombongan ziarah Tengku Muhammad Faris Petra di Istana Mahkota Kelantan ini pula ialah Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, seorang lagi kakanda Tuanku Ismail Petra, iaitu Dato’ Tengku Marjan, serta suami Dato’ Tengku Marjan yang juga merupakan ayahanda saudara Tengku Anis, iaitu Tengku Abdul Aziz (yang sebelum ini turut merupakan Pengerusi Majlis Perajaan Negeri Kelantan sebelum beliau digantikan oleh Tengku Abdul Halim).
Syukur Alhamdulillah, ziarah Tengku Muhammad Faris Petra dan rombongan baginda tersebut telah berlangsung di dalam suasana penuh kemesraan serta disulami dengan semangat kekeluargaan sejati dalam mana baginda dengan segala sifat rendah hati baginda telah beramah mesra dengan kesemua ahli keluarga baginda, termasuklah dengan Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Abdul Aziz walaupun mereka telah pernah melukakan hati baginda.
Di dalam pertemuan tersebut, Tengku Muhammad Faris Petra telah mempamerkan kasih sayang baginda kepada ayahanda baginda dengan memeluk mesra Tuanku Ismail Petra yang sedang diberikan rawatan terapi senaman sambil bertanya, “Papa tak sakitkah?”, yang dijawab oleh Tuanku Ismail Petra, “Dok”. Kakanda Tuanku Ismail Petra, Dato’ Tengku Salwani, pula bertanya, “Ingat dok (sapo dio ni)?”, yang dijawab oleh Tuanku Ismail Petra, “Ingat”.
Setelah Tuanku Ismail Petra dibawa masuk ke bilik peraduan baginda, Tengku Muhammad Faris Petra, yang kelihatan sangat sedih sekali dengan keadaan ayahanda baginda lantas menitahkan Dato’ Che Mohamad Rahim Jusoh membacakan doa selamat buat ayahanda baginda. Setelah hampir sejam lamanya baginda melepaskan rindu kepada ayahanda baginda, barulah baginda dan rombongan baginda meninggalkan Istana Mahkota Kelantan.
Mengikut sumber-sumber yang rapat dengan Istana Mahkota Kelantan itu, berdasarkan kepada ziarah Tengku Muhammad Faris Petra dan rombongan baginda tersebut, beberapa kesimpulan mengenai keadaan sebenar kesihatan Tuanku Ismail Petra dapat dibuat. Pertama, kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kepada para wartawan pada 26 Mac 2010 bahawa Tuanku Ismail Petra masih lagi gering adalah ternyata benar.
Hasil dari ziarah mereka itu, Tengku Muhammad Faris Petra dan rombongan baginda dapat menyaksikan sendiri betapa Tuanku Ismail Petra masih memerlukan bantuan individu lain untuk melakukan sesuatu perkara, umpamanya Tuanku Ismail Petra perlu ditayammumkan oleh imam bertugas untuk menunaikan solat Asar. Walaupun Tuanku Ismail Petra kelihatan ceria, kegeringan baginda bukanlah disebabkan oleh kecederaan fizikal tetapi oleh kecederaan saraf yang memerlukan masa yang agak panjang untuk pulih.
Kedua, selain masih lagi gering, Tuanku Ismail Petra juga didapati masih belum mampu untuk bertitah di atas inisiatif baginda sendiri. Apa yang mampu baginda lakukan sekarang hanyalah untuk memberikan tindak balas kepada pertanyaan individu lain, itu pun di dalam bentuk satu perkataan yang mudah sahaja seperti menjawab “sihat” kepada pertanyaan “Tuanku sudah sihatkah?” dan bukannya di dalam bentuk satu ayat yang penuh seperti “saya sudah sihat”.
Ziarah Tengku Muhammad Faris Petra dan rombongan baginda ini juga menjadi bukti jelas betapa tanggapan sesetengah pihak bahawa baginda mahu merebut kuasa dari ayahanda baginda adalah tidak berasas sama sekali. Sesungguhnya baginda terlalu kasih kepada ayahanda baginda dan segala tindakan yang baginda ambil selama ini hanyalah untuk menjaga nama baik ayahanda baginda dan nama baik institusi Kesultanan Negeri Kelantan dari dicemari sahaja.
Kami di the Kelantan Insider telah difahamkan bahawa sebelum ayahanda baginda gering, hubungan di antara Tengku Muhammad Faris Petra dan ayahanda baginda adalah teramat rapat sekali, malah pernah ayahanda baginda mewakilkan kepada baginda untuk menyiasat sendiri satu dakwaan penyelewengan yang telah diadukan kepada ayahanda baginda. Kemelut yang berlaku sekarang hanyalah berpunca dari adanya cubaan pihak tertentu untuk memisahkan baginda dari ayahanda baginda sekaligus untuk memalu, menyusah atau menjatuhkan baginda sahaja.
Apa pun, ziarah Tengku Muhammad Faris Petra dan rombongan baginda ini adalah satu permulaan baik kepada pertautan kembali di antara ahli-ahli usrah Keluarga Diraja Negeri Kelantan. Apa yang pentingnya, pada waktu sekarang ini, seluruh usaha hendaklah ditumpukan kepada penjagaan kebajikan Tuanku Ismail Petra bagi membolehkan baginda menerima rawatan terbaik dan pulih dari kegeringan secepat mungkin sekaligus bagi membolehkan baginda menyelesaikan sendiri apa-apa perkara berbangkit yang timbul di dalam tempoh kegeringan baginda.
Untuk itu, ruang yang telus perlulah dibuka dengan seluas-luasnya kepada kesemua ahli usrah Keluarga Diraja Negeri Kelantan, pakar-pakar perubatan dan alim ulama’, malah kepada kesemua rakyat juga, untuk menemui Tuanku Ismail Petra bagi melihat dengan mata mereka sendiri keadaan sebenar kesihatan baginda seterusnya bagi membolehkan mereka memberi cadangan rawatan pemulihan yang bersesuaian dengan tahap kesihatan baginda tersebut selaras dengan amalan musyawarah yang lazim diamalkan di dalam masyarakat Melayu-Islam kita.
Adalah amat malang sekali jika dakwaan bahawa hanya individu-individu terpilih sahaja yang dibenarkan untuk menziarahi Tuanku Ismail Petra di Istana Mahkota Kelantan adalah benar, begitu juga dengan dakwaan bahawa cubaan pakar-pakar perubatan yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Kelantan bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menziarahi baginda masih lagi menemui kegagalan.
Akhirnya, marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Ilahi agar sinar kebahagiaan akan menjelma jua di dalam Keluarga Diraja Negeri Kelantan suatu hari nanti.