Tuesday, June 8, 2010

POSTING 16: KENYATAAN MEDIA PEJABAT SULTAN KELANTAN

PEJABAT SULTAN KELANTAN

ASSALAMU’ALAIKUM W.B.T.

1. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak media yang banyak memberi kerjasama pada saat-saat yang memerlukan perhatian ikhlas dari semua pihak. Sedikit sebanyak berita yang disiarkan dapat membetulkan fakta tidak betul yang disebarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab melalui kertas-kertas layang dan blog-blog. Saya merasa terharu dengan pihak-pihak yang mendoakan kesejahteraan dan kesihatan KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan, Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan dan sekalian Kerabat DiRaja Kelantan.

2. Pada kesempatan ini saya ingin memaklumkan bahawa pada 02 Jun 2010, jam 5.30 petang, berlangsung Majlis Pengurniaan Gelaran Kebesaran Negeri, Tengku Panglima Raja, bertempat di Istana Negeri, Kubang Kerian, Kota Bharu. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YMM Pemangku Raja Kelantan. YMM Pemangku Raja Kelantan telah mengampuni perkenan untuk mengurniakan gelaran kebesaran negeri kepada Yang Berhormat Mulia Dato’ Tengku Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz (S.P.M.K., S.J.M.K.) yang membawa gelaran Tengku Panglima Raja Kelantan.

3. Gelaran tersebut dikurniakan oleh YMM Pemangku Raja Kelantan berlandaskan perkara 43(1), Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan Bahagian Yang Kedua. YMM Pemangku Raja Kelantan sebagai pangkal segala kemuliaan dan kebesaran dalam negeri telah berkenan untuk mengurniakan gelaran ini sebagai penghargaan kepada jasa-jasa YBM Dato’ Tengku Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz yang tidak terhingga kepada Negeri Kelantan.

4. Gelaran Tengku Panglima Raja yang dianugerahkan adalah berlandaskan perkara 44(1) yang memberi hak kepada Baginda untuk mengurniakan gelaran Tengku Bendahara atau Tengku Temenggung atau Tengku Laksamana atau Tengku Panglima kepada mana-mana kerabat lelaki Baginda.

5. YBM Dato’ Tengku Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz merupakan seorang Ahli Majlis Perajaan Negeri dan banyak berjasa kepada Institusi Kesultanan Kelantan dan rakyat Kelantan. Beliau kini bertugas sebagai pegawai kanan di sebuah bank tempatan dan adalah anakanda sulung kepada Tengku Abdul Aziz bin Tengku Mohd Hamzah (Tengku Sri Utama Raja) dan cucunda sulung Al-Marhum Sultan Yahya Petra. Isteri beliau ialah Yang Mulia Datin Tunku Noor Hayati bt Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj (Perdana Menteri yang pertama) yang juga akan dikenali sebagai Tengku Puan Panglima Raja. Mereka mempunyai 3 orang cahaya mata.

6. Saya sekali lagi ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih dan berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan khabar angin berkaitan hal ehwal Istana Kelantan. Berilah peluang kepada keluarga DiRaja menyelesaikan apa jua masalah keluarga dengan cara yang diperuntukkan oleh undang-undang negara kita.

7. Setiap dari kita dilahirkan sebagai pemimpin. Pimpinlah dan kawallah orang-orang yang di bawah pimpinan kita ke jalan yang benar dan diredhai oleh Allah s.w.t.. Kita akan diadili oleh masyarakat di dunia ini dan oleh Allah s.w.t. di akhirat kelak. Marilah kita berdoa agar setiap dari kita ditempatkan bersama insan yang soleh di akhirat kelak.

Sekian.

Wabillahitaufik Walhidayat Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.


DATO’ HJ. ABDUL HALIM BIN HJ. HAMAD
Pengelola Istana D’Raja
Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan
Bertarikh: 3 Jun 2010