Tuesday, August 31, 2010

POSTING 27: PROGRAM PEMANGKU RAJA KELANTAN BERSAMA RAKYAT SEPANJANG BULAN RAMADHAN

Alhamdulillah, sepanjang bulan Ramadhan yang berkat ini, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, telah, sedang dan akan meluangkan masa Baginda untuk berbuka puasa dan bersolat bersama rakyat di seluruh pelosok negeri.

Selain berbuka puasa dan bersolat, Baginda juga berkenan menganugerahkan sedikit kurniaan kepada rakyat yang kurang bernasib baik, sama ada di dalam majlis pengurniaan khas atau melalui keberangkatan Baginda ke rumah-rumah mereka.

Walaupun tanpa hebahan meluas, ternyata berita mengenai keberangkatan Baginda begitu cepat tersebar di kalangan rakyat setempat yang segera datang berduyun-duyun untuk berbuka puasa atau bersolat bersama Pemangku Raja yang mereka kasihi.

Pada kesempatan ini, kami di The Kelantan Insider ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada akhbar-akhbar tempatan yang telah memberikan liputan yang baik ke atas keberangkatan Pemangku Raja Kelantan bersama rakyat pada bulan Ramadhan ini.

Sebagai makluman, disertakan di sini lokasi-lokasi yang telah dikunjungi oleh Pemangku Raja Kelantan pada fasa pertama keberangkatan Baginda bersama rakyat pada bulan Ramadhan ini:

1. 5 Ramadhan 1431 bersamaan 15 Ogos 2010 (Ahad): Menunaikan solat Asar dan menyempurnakan majlis pengurniaan kepada rakyat di Masjid Mukim Perupok, Daerah Perupok, Bachok; dan berbuka puasa serta menunaikan solat-solat Maghrib, Isyak dan Terawih di Masjid Mukim Tepus, Daerah Gunong, Bachok.

2. 6 Ramadhan 1431 bersamaan 16 Ogos 2010 (Isnin): Menunaikan solat-solat Isyak dan Terawih di Masjid Taman Tanjong Chat, Kota Bharu.

3. 7 Ramadhan 1431 bersamaan 17 Ogos 2010 (Selasa): Menyempurnakan majlis pengurniaan kepada rakyat, berbuka puasa serta menunaikan solat-solat Maghrib, Isyak dan Terawih di Masjid Mukim Jeram, Daerah Jeram, Pasir Puteh.

4. 8 Ramadhan 1431 bersamaan 18 Ogos 2010 (Rabu): Menyempurnakan majlis pengurniaan kepada rakyat, berbuka puasa serta menunaikan solat-solat Maghrib, Isyak dan Terawih di Masjid Mukim Kok Keli, Daerah Sungai Pinang, Tumpat.

5. 9 Ramadhan 1431 bersamaan 19 Ogos 2010 (Khamis): Menunaikan solat-solat Isyak dan Terawih di Masjid Mukim Bunut Payong, Kota Bharu.

6. 10 Ramadhan 1431 bersamaan 20 Ogos 2010 (Jumaat): Berbuka puasa serta menunaikan solat-solat Maghrib, Isyak dan Terawih di Kem 8 Briged, Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

7. 11 Ramadhan 1431 bersamaan 21 Ogos 2010 (Sabtu): Menunaikan solat-solat Isyak dan Terawih di Masjid Mukim Kota, Kota Bharu.

8. 12 Ramadhan 1431 bersamaan 22 Ogos 2010 (Ahad): Menyempurnakan majlis pengurniaan kepada rakyat, berbuka puasa serta menunaikan solat-solat Maghrib, Isyak dan Terawih di Masjid Mukim Pasir Genda, Paloh, Tanah Merah.

9. 13 Ramadhan 1431 bersamaan 23 Ogos 2010 (Isnin): Menyempurnakan majlis pengurniaan kepada rakyat, berbuka puasa serta menunaikan solat-solat Maghrib, Isyak dan Terawih di Masjid Mukim Galang, Pulai Chondong, Machang.

10. 14 Ramadhan 1431 bersamaan 24 Ogos 2010 (Selasa): Berbuka puasa serta menunaikan solat-solat Maghrib, Isyak dan Terawih di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kelantan, Kota Bharu.

11. 15 Ramadhan 1431 bersamaan 25 Ogos 2010 (Rabu): Menyempurnakan majlis pengurniaan kepada rakyat, berbuka puasa serta menunaikan solat-solat Maghrib, Isyak dan Terawih di masjid Mukim Batu Papan, Gua Musang.

Disertakan juga di sini lokasi-lokasi yang dijadual akan dikunjungi oleh Pemangku Raja Kelantan pada fasa kedua keberangkatan Baginda bersama rakyat pada bulan Ramadhan ini:

1. 20 Ramadhan 1431 bersamaan 30 Ogos 2010 (Isnin): Berbuka puasa serta menunaikan solat-solat Maghrib, Isyak dan Terawih di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

2. 21 Ramadhan 1431 bersamaan 31 Ogos 2010 (Selasa): Menyempurnakan majlis pengurniaan kepada rakyat, berbuka puasa serta menunaikan solat-solat Maghrib, Isyak dan Terawih di Masjid Mukim Kampung Rahmat, Daerah Batu Mengkebang, Kuala Krai.

3. 22 Ramadhan 1431 bersamaan 1 September 2010 (Rabu): Menyempurnakan majlis pengurniaan kepada rakyat, berbuka puasa serta menunaikan solat-solat Maghrib, Isyak dan Terawih di Masjid Mukim Teliar, Bunut Susu, Pasir Mas.

4. 23 Ramadhan 1431 bersamaan 2 September 2010 (Khamis): Menunaikan solat-solat Isyak dan Terawih di Masjid As-Salam, Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

5. 24 Ramadhan 1431 bersamaan 3 September 2010 (Jumaat): Berbuka puasa serta menunaikan solat Maghrib di Istana Balai Besar, Kota Bharu.

6. 25 Ramadhan 1431 bersamaan 4 September 2010 (Sabtu): Menyempurnakan majlis pengurniaan kepada rakyat, berbuka puasa serta menunaikan solat-solat Maghrib, Isyak dan Terawih di Masjid Mukim Ayer Lanas, Jeli.

7. 26 Ramadhan 1431 bersamaan 5 September 2010 (Ahad): Berbuka puasa serta menunaikan solat Maghrib di Dewan Teratai, Kota Darul Naim, Kota Bharu; dan menunaikan solat-solat Isyak dan Terawih di Masjid Kota Darul Naim, Kota Bharu.

8. 27 Ramadhan 1431 bersamaan 6 September 2010 (Isnin): Berbuka puasa serta menunaikan solat Maghrib di Istana Balai Besar, Kota Bharu.

9. 28 Ramadhan 1431 bersamaan 7 September 2010 (Selasa): Berbuka puasa serta menunaikan solat-solat Maghrib, Isyak dan Terawih di Masjid An-Nur, Pasir Pekan, Tumpat.

10. 29 Ramadhan 1431 bersamaan 8 September 2010 (Rabu): Menunaikan solat-solat Isyak dan Terawih di Masjid Al-Muttaqin, Kota Bharu.

11. 30 Ramadhan 1431 bersamaan 9 September 2010 (Khamis): Menunaikan solat Tasbih di Masjid Muhammadi, Kota Bharu.

Kepada rakyat yang belum berkesempatan untuk berbuka puasa dan bersolat bersama Pemangku Raja Kelantan atau sekadar untuk bertemu mata dengan Baginda, kami di The Kelantan Insider dengan sukacitanya menjemput anda menghadiri majlis-majlis ini.

Turut disertakan di sini sebahagian daripada laporan-laporan akhbar-akhbar tempatan mengenai keberangkatan Pemangku Raja Kelantan bersama rakyat pada bulan Ramadhan ini:

Laporan 1: Pemangku Raja berangkat bertemu rakyat (Utusan Malaysia, 17 Ogos 2010)

BACHOK 16 Ogos - Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, menunjukkan keprihatinan Baginda terhadap rakyat jelata apabila melawat dan beramah mesra dengan penduduk Kampung Perupok di sini semalam sempena Ramadhan.
Baginda mengenepikan protokol istana apabila meluangkan masa beberapa jam sehingga waktu berbuka puasa berjumpa rakyat jelata di kampung itu dan memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
Ketibaan Baginda ke kampung tersebut kira-kira pukul 5 petang disambut oleh hampir 200 penduduk yang mula menunggu dua jam sebelum itu.
Sejurus tiba, Baginda yang mengenakan jubah berwarna krim menunaikan solat Asar di Masjid Mukim Perupok bersama kira-kira 300 jemaah.
Turut menemani Baginda ialah Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin, serta Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa.
Baginda kemudiannya menyampaikan pelbagai jenis bantuan antaranya wang zakat kepada warga emas, fakir miskin dan ibu bapa yang anak mereka berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Tengku Muhammad Faris turut melawat sebuah rumah di kawasan berhampiran yang didiami oleh dua penghidap penyakit kronik.
Di rumah tersebut, Baginda meluangkan masa selama hampir sejam berbual mesra dan menyelami perasaan Mohd. Nor Johor, 60, yang anaknya, Mohd. Nor Aizan, 37, mengalami masalah saraf sejak kecil.
Rumah Mohd. Nor turut ditumpangi oleh jirannya, Hasnah Ibrahim, 49, seorang penghidap penyakit kronik iaitu jantung, kencing manis, paru-paru berair dan strok.
Baginda turut berkongsi beberapa petua penjagaan kesihatan dan sempat bergurau dengan Hasnah.
"Mak cik kena makan ubat, jangan simpan dalam rumah saja. Jangan selang-seli, kalau terasa mahu muntah pun paksa juga makan.
"Insya-Allah kalau mak cik makan ubat ikut jadual akan sihat mungkin tidaklah gemuk macam Datuk (Awang Adek) atau saya, tapi makin sembuhlah badan mak cik," gurau Baginda menyebabkan kebanyakan yang berada di dalam rumah itu tersenyum.

Laporan 2: Pemangku Raja ceriakan warga emas (Utusan Malaysia, 21 Ogos 2010)

TUMPAT 20 Ogos - Penantian seorang warga emas, Jusoh Mahassan, 68, untuk mendapat tongkat baru bagi memudahkannya bergerak, tercapai apabila menerima sebuah tongkat kaki tiga daripada Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, di sini, semalam.
Sebelum ini, Jusoh yang mengalami masalah saraf, sudah tujuh tahun menggunakan tongkat usangnya untuk berjalan kerana tidak mampu membeli tongkat baru disebabkan masalah kesempitan hidup.
Justeru, warga emas itu sangat terharu sewaktu menerima sumbangan tersebut pada satu majlis dinamakan program Ziarah Ramadhan di Masjid Kok Keli di sini, semalam.
Selain bantuan tongkat, Jusoh juga menerima bantuan wang zakat daripada Tengku Muhammad Faris.
"Pemberian yang disampaikan Pemangku Raja sangat bermakna buat saya, hampir tujuh tahun saya menggunakan tongkat uzur yang hanya menunggu masa untuk patah.
"Sudah lama saya mahu mendapatkan tongkat berkaki tiga ini, tapi oleh kerana masalah kewangan menyebabkan saya terpaksa lupakan dulu hasrat tersebut buat sementara waktu.
"Tambahan pula, saya tidak mampu bekerja dan hanya bergantung kepada isteri untuk menyara kami suami isteri," katanya.
Pada majlis itu, Pemangku Raja turut menyampaikan zakat kepada pelajar cemerlang, ibu tunggal dan keluarga miskin.
Seorang ibu tunggal, Membunga Deraman, 62, melahirkan rasa syukur kerana bantuan wang zakat itu dapat meringankan bebannya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
"Dapatlah saya menggunakan wang zakat ini untuk perbelanjaan sepanjang Ramadhan dan untuk persiapan hari raya nanti," katanya gembira.
Ibu tunggal itu sebelum ini terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara hidup selepas suaminya meninggal dunia enam tahun lalu, namun terpaksa berhenti kerja kerana menderita penyakit tibi.
"Kini saya tidak mempunyai sumber pendapatan lain selain hanya mengharapkan bantuan anak-anak, nak buat kerja tak boleh dah," katanya.

Laporan 3: Raja Prihatin (Utusan Malaysia, 23 Ogos 2010)

Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, meneruskan aktiviti Baginda beramah mesra dengan segenap rakyat di negeri ini sepanjang bulan Ramadhan.
Kelmarin, Baginda bukan sahaja berbuka puasa bersama anggota Rejimen 506 di Kem 8 Briged, Pengkalan Chepa, tetapi turut menunaikan solat Terawih bersama kira-kira 300 jemaah di Surau al-Hikmah sambil diimamkan Pegawai Agama markas tersebut, Mejar Muhammad Shukor Said.
Ketibaan baginda turut disambut oleh Panglima Dua Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Noor Daud, dan Panglima 8 Briged, Brigadier Jeneral Abd. Rahim Abdul Mutalib.
Selepas menunaikan solat Terawih, Baginda turut meluangkan masa selama kira-kira 15 minit berbual-bual dan beramah mesra dengan para jemaah yang ada.