Friday, October 22, 2010

JANJI SULTAN KELANTAN KEPADA PENDUDUK GUA MUSANG TELAH TERTUNAI

Pada pagi hari Jumaat, 22 Oktober 2010, Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, telah berkenan untuk menginfakkan seekor lembu kepada fakir miskin di sekitar Bandar Gua Musang dengan urusan penyembelihan dan pengagihan dagingnya Baginda amanahkan kepada Ketua Jajahan Gua Musang, Wan Mustapha Wan Abdul Hamid.

Pada petangnya pula, Sultan Muhammad Ke-V telah turut berkenan untuk mengurniakan geran tanah kepada 114 orang penduduk di sekitar Gua Musang, membabitkan 99 penduduk Melayu, 13 penduduk Cina dan 2 penduduk India, di Istana Persinggahan Gua Musang dengan majoriti geran adalah bersifat pajakan 99 tahun melibatkan tanah dusun, ladang getah dan ladang kelapa sawit.

Urusan pengurniaan geran ini sudah diusahakan sejak sekian lama, iaitu sejak Sultan Muhammad Ke-V masih bergelar Tengku Mahkota Kelantan lagi pada ketika sekumpulan penduduk Gua Musang telah menghadap Baginda di Istana Telipot, Kota Bharu, bagi mengadu hal di samping menyerahkan satu memorandum khusus mengenai masalah pemilikan tanah yang mereka hadapi.

Sebagai seorang anak raja yang prihatin kepada permasalahan rakyat Baginda, Baginda telah mendengar dengan teliti aduan-aduan mereka--di antaranya mengenai bagaimana tanah-tanah yang mereka usahakan sejak sekian lama tidak juga diberikan geran yang sepatutnya, malah sesetengahnya diceroboh pula oleh pihak lain--dan berjanji untuk menyelesaikan masalah ini.

Alhamdulillah, pada petang hari Jumaat, 22 Oktober 2010, Sultan Muhammad Ke-V, yang di dalam perjalanan untuk berangkat melalui jalan darat ke Kuala Lumpur dari Kota Bharu, telah, dengan izin Allah dan dengan kerjasama kerajaan negeri, berjaya memenuhi janji Baginda kepada para penduduk Gua Musang untuk menyelesaikan masalah pemilikan tanah yang mereka hadapi ini.

Hadir sama di dalam majlis pengurniaan geran tanah kepada penduduk di sekitar Gua Musang ini adalah Dato’ Seri Setia Raja Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Aiseri Alias, Dato’ Mufti Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Shukri Mohamad, Dato’ Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Dato’ Ismail Samah, dan Ketua Jajahan Gua Musang, Wan Mustapha Wan Abdul Hamid.

Adalah diharapkan agar para penduduk Gua Musang telah berpuas hati dengan kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh Sultan Muhammad Ke-V di dalam menyelesaikan masalah mereka ini.

Sekian, terima kasih.