Saturday, September 25, 2010
POSTING 43: 10 SEBAB MENGAPA KES PERCERAIAN SULTAN ISMAIL PETRA PERLU DITOLAK
1. Kami di The Kelantan Insider sebenarnya tidak pernah berniat untuk mengulas soal kes perceraian talak tiga yang didakwa oleh pihak tertentu sebagai telah berlaku di antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dan Cik Puan Elia Suhana Ahmad kerana kami mengetahui bahawa perkara yang masih di dalam proses perbicaraan di mahkamah syariah tidak sepatutnya diperkatakan di dalam satu forum terbuka.
2. Walaupun begitu, disebabkan Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi telah memperkatakannya terlebih dahulu (lihat kembali tulisan beliau bertajuk “Che Puan, bersabarlah” di dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 25 Mei 2010 serta komentar kami pada tarikh yang sama bertajuk “Posting 15: Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi, bersabarlah”), maka kami dengan ini ingin sekali lagi mengemukakan pandangan-pandangan kami yang lebih jelas mengenainya.
3. Harapan kami adalah supaya pihak-pihak yang berkuasa mahupun alim-alim ulama’, termasuklah Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi sendiri, akan memberikan maklum balas mereka ke atas pandangan-pandangan kami ini. Walaupun kami merasakan pandangan-pandangan kami ini adalah betul, kami tidak mempunyai masalah untuk menerima apa juga pandangan yang diutarakan oleh pihak-pihak lain jika ia disertakan dengan dalil-dalil yang lebih kuat.
4. Pendirian kami ini adalah selaras dengan tradisi Islam yang di antara lainnya menganjurkan: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Nahl: Ayat 125)
5. Ia juga turut selaras dengan tradisi Barat yang di antara lainnya menganjurkan: “The peculiar evil of... silencing the expression of an opinion is, that it is robbing the human race; posterity as well as the existing generation; those who dissent from the opinion, still more than those who hold it. If the opinion is right, they are deprived of the opportunity of exchanging error for truth: if wrong, they lose, what is almost as great a benefit, the clearer perception and livelier impression of truth, produced by its collision with error.” (John Stuart Mill: On Liberty)
6. Dengan ini, tulisan Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi di dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 25 Mei 2010 yang berikut ini adalah kembali dirujuk:
“Merujuk keputusan penyemakan kes hak melawat suami oleh Che Puan Elia Suhana oleh Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan, suka saya memberi pendapat bahawa berasaskan hukum dan budaya Che Puan perlu menangguhkan dulu acara lawatan berkenaan sehingga kes dakwaan cerai oleh Tuanku Ismail Petra selesai dibicarakan. Mana tahu kalau-kalau talak tiga sudah jatuh sebelum ini dan mereka berdua tidak lagi merupakan suami isteri. Dalam syariat Islam, talak akan jatuh sebaik saja dilafazkan. Walaupun undang-undang keluarga Islam Kelantan mengatakan ia mesti disahkan oleh mahkamah kalau ia dijatuhkan di luar mahkamah tetapi undang-undang juga tidak menafikan bahawa talak seperti itu berlaku dari segi agama.”
7. Di dalam soal ini, kami memilih untuk berbeza pendapat dengan Prof Dato’ Dr Mahmood Zuhdi. Asas pegangan kami adalah satu prinsip fiqh Islam terkenal yang berbunyi “yang yakin tidak dihilangkan oleh yang syak (atau yang diragui)”. Huraian lebih lanjut ke atas prinsip ini di antara lainnya boleh dibaca di dalam buku karangan Haji Hassan Haji Salleh bertajuk “Prinsip-Prinsip Fiqh Islam” (Kota Bharu: Pustaka Aman Press) serta di dalam buku karangan Haji Hassan Haji Ahmad dan Haji Mohd Salleh Haji Ahmad bertajuk “Usul Fiqh dan Qawa’id Fiqhiyyah” (Kuala Lumpur: Pustaka Haji Abdul Majid) yang kami sertakan sebagai lampiran.
8. Di dalam soal ini juga, istilah “yang yakin” adalah merujuk kepada perkahwinan di antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra dan Cik Puan Elia Suhana yang tidak dapat tidak perlu diterima oleh semua pihak sebagai telah berlaku secara sah di sisi hukum dan undang-undang di Kota Bharu pada 23 Disember 2007 manakala istilah “yang syak” pula adalah merujuk kepada perceraian talak tiga yang dikatakan telah berlaku di antara mereka di Singapura pada 12 Februari 2010 tetapi yang sangat-sangat diragui kesahihannya.
9. Sebelum pergi lebih jauh, di sini diberikan kronologi peristiwa-peristiwa yang berkaitan:
i. 23 Disember 2007: Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra berkahwin dengan Cik Puan Elia Suhana.
ii. 14 Mei 2009: Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra mengalami kegeringan di Istana Mahkota, Kubang Kerian.
iii. 24 Mei 2009: Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra dibawa untuk menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.
iv. 21 Disember 2009: Akhbar Malay Mail mendedahkan lawatan “secara misteri” Cik Puan Elia Suhana ke atas Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra di Hospital Mount Elizabeth, Singapura, pada pukul 4.20 pagi 8 Oktober 2009.
v. 28 Disember 2009: Cik Puan Elia Suhana mendedahkan status beliau selaku isteri kedua Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra kepada media massa.
vi. 4 Februari 2010: Cik Puan Elia Suhana berjaya mendapat perintah lawatan ke atas Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra di Hospital Mount Elizabeth, Singapura, dari setiap pagi Sabtu sehingga pagi Isnin setiap minggu dari Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu.
vii. 21 Februari 2010: Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu memerintahkan Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid bersama-sama dua pengawal peribadi Baginda hadir ke mahkamah itu pada 7 Mac 2010 bagi mendapat tunjuk sebab kenapa mereka tidak boleh dikenakan tindakan kerana tidak mematuhi perintah yang dikeluarkan olehnya pada 4 Februari 2010.
viii. 4 Mac 2010: Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra dibawa pulang ke Kelantan dari Hospital Mount Elizabeth, Singapura.
ix. 9 Mac 2010: Seorang perempuan bernama Datin Nik Rorhana Wan Abdul Rahman memfailkan permohonan pengesahan cerai talak tiga di antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra dan Cik Puan Elia Suhana di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu.
x. 8 Ogos 2010: Datin Nik Rorhana mengemukakan dua pucuk surat yang didakwa mengandungi titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu.
10. Sepertimana yang telah kami jelaskan dengan secara umum di dalam “Posting 40: Kedudukan Perkahwinan Sultan Ismail Petra” sebelum ini, kesedaran beragama yang tinggi di dalam diri Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra, kasih sayang mendalam Baginda terhadap Cik Puan Elia Suhana dan ketidakupayaan Baginda membuat keputusan sendiri sejak mengalami kegeringan menjadikan perceraian talak tiga ini suatu perkara yang amat mustahil untuk berlaku.
11. Di dalam “Posting 43: 10 Sebab Mengapa Kes Perceraian Sultan Ismail Petra Perlu Ditolak” ini pula, kami ingin menegaskan bahawa kes perceraian talak tiga di antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra dan Cik Puan Elia Suhana ini sepatutnya ditolak begitu sahaja berdasarkan kepada kewujudan sekurang-kurangnya 10 perkara yang sangat-sangat meragukan yang timbul di dalam dakwaan perceraian talak tiga ini selaras dengan prinsip fiqh Islam “yang yakin tidak dihilangkan oleh yang syak (atau yang diragui)” tersebut.
12. 10 perkara yang sangat-sangat meragukan yang menjadi sebab mengapa kes perceraian talak tiga ini perlu ditolak adalah:
i. Dakwaan perceraian talak tiga ini adalah sangat lemah kerana lafaz cerai tidak dilakukan secara sarih (nyata) atau qinayah (sindiran) oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra sendiri tetapi hanyalah didasarkan kepada satu persaksian yang sangat lemah, iaitu di dalam bentuk batang tubuh Datin Nik Rorhana sahaja.
ii. Adalah amat tidak logik untuk Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra melafazkan cerai ke atas Cik Puan Elia Suhana di hadapan Datin Nik Rorhana kerana tindakan ini bakal menjerumuskan Baginda kepada satu keaiban yang amat besar, iaitu untuk berhadapan dengan kemungkinan didakwa di bawah enakmen jenayah syariah di negeri yang Baginda sendiri adalah ketua agamanya di atas kesalahan menceraikan isteri Baginda di luar dan tanpa mendapat kebenaran mahkamah syariah.
iii. Jika sekalipun Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra mahu menceraikan Cik Puan Elia Suhana di luar mahkamah syariah, mengikut kelaziman masyarakat, Baginda sudah tentu akan melakukannya secara terus kepada Cik Puan Elia Suhana atau di hadapan kaum kerabat terdekat (isteri pertama atau paduka-paduka anakanda) atau paling tidak pun di hadapan kenalan terdekat Baginda. Adalah amat tidak logik untuk Baginda menceraikan Cik Puan Elia Suhana di hadapan Datin Nik Rorhana kerana sewaktu Baginda masih sihat seperti sediakala sekalipun Baginda tidak pernah mempunyai sebarang hubungan baik dengannya, apalagi untuk menceritakan apa-apa perkara yang melibatkan soal peribadi Baginda kepadanya (mahupun suaminya, Datuk Mohd Bakri Mohamad aka Datuk Bakri Air, bekas Pengerusi Kelantan Water Sdn Bhd).
iv. Adalah amat tidak logik untuk Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra menceraikan Cik Puan Elia Suhana dengan talak tiga sekaligus kerana tindakan ini bakal menjerumuskan Baginda kepada satu keaiban yang amat besar, iaitu untuk dipandang oleh rakyat di negeri yang Baginda sendiri adalah ketua agamanya sebagai bersifat keterlaluan dan tidak berlaku adil ke atas Cik Puan Elia Suhana, apatah lagi apabila Cik Puan Elia Suhana sendiri diketahui sebagai tidak melakukan apa-apa kesalahan besar yang melayakkan beliau untuk dicerai dengan talak tiga sekaligus.
v. Adalah amat tidak logik untuk Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra menceraikan Cik Puan Elia Suhana sewaktu Baginda sedang berada di dalam keadaan gering kerana, mengikut kelaziman masyarakat, tidak akan terfikir pun di dalam kotak fikiran sesiapa sahaja yang sedang berada di dalam keadaan gering atau sakit soal untuk bermusuhan dengan orang lain, apalagi untuk menceraikan isteri sendiri, kerana apa yang difikirkan adalah soal kebajikan diri sendiri (terutama soal bila dia akan sembuh) dan soal kebajikan ahli keluarga terdekat (terutama anak isteri), malah, di sebalik menceraikan isteri sendiri, apa yang dimahukannya adalah supaya semua ahli keluarga terdekatnya berada di sampingnya atau selalu datang menziarahinya.
vi. Adalah amat tidak logik untuk Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra menceraikan Cik Puan Elia Suhana kerana terdapat bukti-bukti kukuh bahawa selepas daripada tempoh dalam mana Baginda dikatakan telah menceraikan Cik Puan Elia Suhana dengan talak tiga sekalipun Baginda, sewaktu berkesempatan untuk berhubung melalui telefon secara sembunyi-sembunyi dengan Cik Puan Elia Suhana, masih menunjukkan perasaan kasih sayang Baginda terhadap Cik Puan Elia Suhana, malah Baginda masih meminta supaya Cik Puan Elia Suhana mengunjungi Baginda (di antara kata-kata yang sempat dituturkan oleh Baginda umpamanya adalah, “E (panggilan manja Baginda kepada Cik Puan Elia Suhana), ari (mari), ito (kita)”).
vii. Adalah amat tidak logik untuk Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra menuturkan lafaz cerai ke atas Cik Puan Elia Suhana atau menitahkan sebarang arahan yang berhubung-kait dengan perceraian Baginda itu (sepertimana yang terkandung di dalam dua pucuk surat yang dikemukakan oleh Datin Nik Rorhana di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu pada 8 Ogos 2010 itu) kerana bukti-bukti yang diperolehi dari pakar-pakar perubatan yang pernah memeriksa Baginda mahupun dari mereka yang pernah melawat Baginda menunjukkan bahawa Baginda mempunyai keupayaan kognitif yang lemah (Baginda mengalami kesukaran untuk memahami apa yang diperkatakan oleh orang lain) dan keupayaan pertuturan yang lemah (Baginda hanya mampu menuturkan secara telor perkataan-perkataan yang mudah secara sepatah-sepatah sahaja, umpamanya menyebut “sihat”, dan belum mampu menuturkan ayat-ayat penuh yang ringkas seperti “kita ceraikan dia”, apatah lagi untuk menuturkan ayat-ayat penuh yang kompleks sepertimana yang terdapat di dalam kedua-dua pucuk surat itu).
viii. Adalah amat tidak logik untuk Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra menandatangani sendiri dua pucuk surat yang dikemukakan oleh Datin Nik Rorhana di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu pada 8 Ogos 2010 itu kerana bukti-bukti yang diperolehi dari pakar-pakar perubatan yang pernah memeriksa Baginda mahupun dari tukang-tukang urut yang pernah mengurut Baginda menunjukkan bahawa Baginda sememangnya tidak boleh menggerakkan kedua-dua belah tangan Baginda.
ix. Adalah amat tidak logik untuk Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra menandatangani sendiri dua pucuk surat yang dikemukakan oleh Datin Nik Rorhana di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu pada 8 Ogos 2010 itu kerana perbandingan di antara tandatangan Baginda di dalam kedua-dua pucuk surat (bertarikh 23 Jun 2010 dan 29 Jun 2010 sebagaimana dilampirkan) itu dengan tandatangan asal Baginda (tatkala Baginda belum mengalami kegeringan, umpamanya pada 16 Jun 2001 sebagaimana dilampirkan) menunjukkan terdapat perbezaan yang amat ketara sekali di antara kedua-duanya, malahan tandatangan Baginda di dalam kedua-dua pucuk surat terbaru Baginda itu juga agak berbeza di antara satu dengan yang lain.
x. Jika diamat-amati kronologi peristiwa-peristiwa yang berkaitan, dakwaan perceraian di antara Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra dan Cik Puan Elia Suhana ini amat meragukan kerana ia hanya timbul setelah (a) Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu memberikan Cik Puan Elia Suhana perintah lawatan ke atas Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra di Hospital Mount Elizabeth, Singapura, dari setiap pagi Sabtu sehingga pagi Isnin setiap minggu dan setelah (b) Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu memerintahkan Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis bersama-sama dua pengawal peribadi Baginda hadir ke mahkamah itu bagi mendapat tunjuk sebab kenapa mereka tidak boleh dikenakan tindakan kerana tidak mematuhi perintah lawatan yang dikeluarkan olehnya.
13. Sebagai kesimpulannya, berdasarkan kepada kewujudan sekurang-kurangnya 10 perkara yang sangat-sangat meragukan yang timbul di dalam dakwaan perceraian talak tiga ini maka kami berpendapat bahawa kes ini sepatutnya ditolak begitu sahaja selaras dengan prinsip fiqh Islam “yang yakin tidak dihilangkan oleh yang syak (atau yang diragui)” tersebut.
14. Apa yang jelas kepada kita ialah modus operandi dakwaan perceraian talak tiga ini dibuat menunjukkan bahawa ia besar kemungkinan hanyalah merupakan satu perancangan yang sengaja diada-adakan oleh pihak tertentu. Lihatlah sahaja betapa pada mulanya dakwaan ini hanya diasaskan kepada bukti lisan sahaja. Bagaimanapun, apabila didapati bukti lisan ini sukar untuk disahkan (jika hakim menghadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra sudah tentu kebarangkalian untuk beliau mendapat jawapan "ya" atau "tidak" kepada persoalan sama ada sesuatu bukti bertulis itu dibuat oleh Baginda adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan kebarangkalian untuk beliau mendengar Baginda menyebut lafaz cerai itu) maka dengan secara tiba-tiba ditimbulkan pula satu bukti bertulis (surat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra bertarikh 23 Jun 2010). Bagaimanapun, apabila didapati bukti bertulis ini mempunyai masalah (surat ini menyatakan Baginda telah menceraikan isteri Baginda tetapi ia tidak menyebut nama isteri yang diceraikan itu) maka diada-adakan pula satu bukti bertulis lain (surat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra bertarikh 29 Jun 2010).
15. Sukalah kami mengingatkan semua pihak bahawa sesiapa sahaja yang membuat dokumen palsu dan sesiapa sahaja yang mengemukakan dokumen palsu di mahkamah boleh didakwa di mahkamah di atas jenayah yang dilakukannya itu; begitu juga dengan sesiapa sahaja yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana perempuan bersuami atau mana-mana lelaki beristeri supaya bercerai atau mengingkari kewajipan atau tanggungjawab di antara satu sama dengan yang lain yang turut boleh didakwa di mahkamah di atas jenayah yang dilakukannya itu.
16. Firman Allah, mafhumnya: Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itu pun merancangkan tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas tipu daya (mereka), dan (ingatlah) Allah sebijak-bijak yang membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya. (Surah al-‘Imran: Ayat 54)
Allahu Akbar.
PRINSIP-PRINSIP FIQH ISLAM
(Haji Hassan Haji Salleh)
“Yang yakin tidak dihilangkan oleh syak”
Di antara kaedah tetap yang didasarkan banyak hukum-hukum fiqh ialah yang yakin tidak dihilangkan oleh syak, maknanya bahawa yang asal dan yakin tidak boleh ditinggalkan hukumnya disebabkan oleh syak atau ragu, jika seseorang telah meyakini sesuatu perkara dan dibinakan hukum ke atasnya kemudian berlaku syak atau keraguan terhadap kehilangan yakin tersebut, sama ada telah dihilangkan atau belum, maka keyakinan yang asal itu masih kekal lagi, sebaliknya tidak dapat diamalkan dengan perasaan syak yang mendatang itu, jadi keyakinan yang pertama itu tidak dapat dihindarkan kecuali oleh suatu keyakinan baru yang menghilangkannya.
Asal atau dalil bagi kaedah ini ialah hadith yang sahih daripada Rasulullah s.a.w. bahawa ada seorang lelaki mengadu kepadanya yang ia berasa was-was kalau-kalau keluar sesuatu dalam masa menunaikan sembahyang, lalu Baginda bersabda, “jangan ia keluar daripada sembahyang hingga ia mendengar suara atau mendapat baunya”.
Rasulullah s.a.w. menarik perhatian kepada orang yang terlintas berhadas di masa menunaikan sembahyang supaya jangan keluar daripadanya sampai ia merasa yakin berhadas sama ada dengan mendengar suara atau sebagainya kerana perkara yang yakin tidak dihilangkan kecuali oleh yang yakin juga.
Satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri radiallahu ‘anha: Katanya Rasulullah s.a.w. bersabda “Apabila seseorang daripada kamu syak di masa menunaikan sembahyang maka ia tidak mengingati adakah telah selesai tiga atau empat rakaat hendaklah diketepikan syak atau keraguan dan binalah di atas apa yang diyakinkan”.
Hadith yang tersebut menunjukkan perintah yang terang daripada Rasulullah s.a.w. supaya beramal dengan yakin dan mengenepikan syak atau keraguan dan membuangnya.
Misalnya seseorang yang telah sabit berhutang kepada seseorang yang lain kemudian ia mati dan kita syak adakah ia membayarnya maka hutang itu masih tetap sebab hutang tersebut telah sabit dengan yakin dan sebaliknya disyak tentang pembayaran maka syak seperti itu tidak boleh menghilangkan perkara yakin. Demikian juga dua orang telah membuat suatu akad di antara mereka timbul syak adakah dibatalkan akad tersebut maka akad itu masih kekal kerana perkara yakin tidak dapat dihilangkan oleh syak.
USUL FIQH DAN QAWA’ID FIQHIYYAH
(Haji Hassan Haji Ahmad dan Haji Mohd Salleh Haji Ahmad)
“Yakin tidak boleh disingkirkan dengan semata-mata syak”
Yang dimaksudkan dengan kaedah ini bahawa sesuatu yang telah diyakini tidak akan hilang dengan kedatangan syak (keraguan) ke atasnya, tetapi ia boleh hilang dengan yakin sepertinya juga. Ertinya apabila telah sabit sesuatu perkara atau keadaan dengan yakin kemudian dengan tiba-tiba timbul syak tentang wujud sesuatu yang menghilangkannya, maka perkara yang telah diyakini itulah yang diambil kira hinggalah sabit benar-benar sebab yang menghilangkannya. Dalam erti kata lain, pada prinsipnya yakin tidak akan ditinggal hukumnya dengan semata-mata syak.
Dalil kepada kaedah ini
Al-Qur’an: Ertinya: Dan kebanyakannya mereka tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu kebenaran (iktiqad). (Surah Yunus: Ayat 36)
Maka al-haq itu memberi erti hakikat sebenar samalah seperti yakin.
Al-Sunnah: Ertinya: Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anha bahawa beliau berkata Baginda Nabi Muhammad s.a.w. bersabda apabila salah seorang kamu merasai sesuatu dalam perutnya kemudian timbul keraguan ke atasnya adakah telah keluar sesuatu darinya atau tiada maka janganlah dia keluar dari masjid (jangan berhenti dari sembahyangnya) sehinggalah dia mendengar suara atau merasai angin keluar (kentut). (Hadith Riwayat Muslim)
Ertinya: Dari Abu Said al-Khudri beliau berkata Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila salah seorang kamu telah timbul syak dalam solatnya tidak diketahui lagi berapa (rakaat) yang telah dilakukan, tiga atau empat, maka hendaklah buangkan yang syak (ragu-ragu) itu dan tunaikanlah atas apa yang telah diyakininya. (Riwayat Muslim)
Dalil akal: Maka jelas sekali rasionalnya yakin itu lebih kuat dari syak, kerana pada yakin itu wujud hukuman yang putus (qat’ie) dan pasti maka ia tidak akan runtuh dengan syak sahaja.