Saturday, September 18, 2010

POSTING 38: TENGKU RAZALEIGH DAN TENGKU AMALIN BUKAN LAGI AHLI MPN?

Tengku Tan Sri Razaleigh Tengku Mohamad Hamzah, nenda saudara kepada Tuanku Muhammad Faris Petra yang dipanggil manja oleh Baginda dengan nama Tok Ku Li, adalah seorang kerabat yang cukup dihormati dan yang pandangannya sering dirujuk oleh Tuanku selama ini.

Pada bulan Ramadhan yang lalu Tuanku telah berbuka puasa bersama-sama Tok Ku Li Baginda di Kuala Lumpur. Pada malam menjelangnya Hari Raya Aidil Fitri yang lalu pula, Baginda telah berangkat ke Palm Manor untuk beramah mesra dengan Tok Ku Li Baginda.

Kata orang, tidak sepatutnya seorang Pemangku Raja merendahkan diri begitu tetapi, selaku seorang yang berhemah tinggi, Tuanku percaya bahawa tidak akan hilang bisa ular yang menyusur akar, begitulah tingginya penghormatan Tuanku kepada Tok Ku Li Baginda.

Apa pun, ternyata Tok Ku Li Baginda, bersama-sama seorang adinda Baginda, iaitu Tengku Amalin A'ishah Putri, telah gagal untuk menghadirkan diri di dalam mesyuarat Majlis Perajaan Negeri Kelantan yang penuh bersejarah pada 13 September 2010 itu.

Ketidakhadiran Tok Ku Li dan Tengku Amalin ini tidaklah pula menjejaskan keputusan mesyuarat untuk melantik Tuanku selaku Sultan Kelantan yang baru kerana apa yang diperlukan hanyalah persetujuan dua per tiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi.

Namun begitu, alangkah indahnya jika Tok Ku Li yang dihormati dan Tengku Amalin yang disayangi oleh Tuanku turut sama menghadirkan diri di dalam mesyuarat yang membawa seribu pengertian di dalam hidup Tuanku malah di dalam institusi kesultanan Kelantan tersebut.

Jika pun Tok Ku Li dan Tengku Amalin mempunyai pandangan yang sedikit berbeza dari ahli-ahli lain atau merasa lebih selesa untuk bersikap berkecuali, alangkah eloknya jika mereka tetap hadir untuk menunaikan tanggungjawab besar yang telah diamanahkan kepada mereka itu.

Apabila ia diwajibkan maka tidak sepatutnyalah Tok Ku Li dan Tengku Amalin menguzurkan diri kerana keahlian mereka boleh terlucut secara automatik jika ketidakhadiran mereka di dalam mesyuarat itu tidak dimaaf atau tidak disertakan dengan penjelasan yang munasabah.

Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua)

11.
(1) Mana-mana keputusan Majlis Perajaan Negeri tidak akan menjadi sah dan terpakai melainkan sekurang-kurangnya dua per tiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi itu bersetuju dengan keputusan itu.
(2) Mana-mana keputusan Majlis Perajaan Negeri tidak akan menjadi terbatal dengan sebab hanyalah ketiadaan hadir seorang ahli, sama ada ketiadaan hadir itu telah dimaaf oleh Yang di-Pertua atau tidak:
Dengan syarat jika mana-mana ahli yang ketiadaan hadirnya tidak dimaaf atau yang telah mungkir memberi huraian yang berpatutan kepada Yang di-Pertua, kerana ketiadaan hadirnya itu, maka terlucutlah ia dengan sendirinya daripada menjadi ahli Majlis Perajaan Negeri.

Laws of The Constitution of Kelantan (Second Part)

XI.
(1) No decision of the Council of Succession shall be valid and binding unless at least two-thirds of the members present and voting shall agree thereto.
(2) No decision of the Council of Succession shall be void by reason only of the absence of a member, whether such absence has been excused by the President or not:
Provided that any member whose absence has not been excused or who has failed to give reasonable explanation for such absence to the President, shall automatically cease to be a member of the Council of Succession.