TITAH UCAPAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
SULTAN MUHAMMAD KE-V DI MAJLIS SINGGAHSANA
PADA 12 NOVEMBER 2011M BERSAMAAN 16 ZULHIJJAH 1432H
DI ISTANA BALAI BESAR, KOTA BHARU, KELANTAN
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Bismillahir rahmanir rahim.
Sesungguhnya segala pujian, sanjungan dan kesyukuran dirafak ke hadrat Allah SWT, Tuhan pentadbir seluruh alam, memiliki tampuk kekuasaan yang mutlak yang mengurniakan sedikit kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan akan menarik balik kekuasaan daripada sesiapa yang Dia kehendakinya dan menghinakan sesiapa yang Dia kehendakinya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.
Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, utusan Allah yang menjadi pemimpin agung ditampilkan bagi meratakan rahmat agama Islam ke seluruh alam.
Dipohonkan semoga rahmat dan kesejahteraan terus mengalir kepada setiap keluarga Baginda dan para sahabatnya dan para pengikutnya hingga ke akhir zaman.
Alhamdulillah, beta merafak setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas limpah rahmat dan kurnia-Nya beta sentiasa berada di dalam kandungan sihat wal’afiat dan sejahtera.
Beta dengan sukacitanya ingin menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada kerabat-kerabat diraja, menteri besar yang telah mewakili pihak kerajaan negeri dan rakyat jelata sekalian di atas persembahan ucapan tahniah dan ikrar taat setia sebentar tadi.
Sesungguhnya sembah ucapan dan ikrar taat setia yang dipersembahkan kepada beta sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan beta adalah suatu pernyataan jujur sebagai menjunjung institusi raja berperlembagaan dan sebagai simbolik kepada hubungan yang erat dan mendalam di antara institusi beraja dan rakyat jelata yang sentiasa kasih-mengasihi yang diwarisi turun temurun oleh rakyat beta.
Beta mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh rakyat jelata yang telah menumpahkan taat setia, menunjukkan kasih sayang ke hadapan beta.
Beta dengan hati yang gembira dan sukacita mengalu-alukan kedatangan dan kehadiran para tetamu beta dari dalam dan luar negara. Beta mendapat maklum bahawa tetamu-tetamu beta telah memberi komitmen yang tinggi semata-mata untuk sama-sama memeriah dan menyerigemilangkan lagi sambutan ulang tahun hari keputeraan beta yang julung kali diadakan pada tahun ini. Beta berharap semua tetamu beta berada di dalam keselesaan sepanjang berada di sini dan semoga selamat nanti dalam perjalanan kembali ke destinasi masing-masing.
Beta bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat hidup dalam iklim negeri Kelantan yang mendapat nama jolokan “Serambi Mekah” yang rakyatnya sejak sekian lama mewujudkan jalinan perhubungan yang erat dan mesra antara institusi beraja dengan rakyat jelata.
Meskipun demikian, beta ingin mengingatkan rakyat dan masyarakat di segenap lapisan agar sentiasa berwaspada, berhati-hati, peka terhadap kemunculan iklim yang tidak sihat yang dicetuskan oleh anasir-anasir anti-establishment dalam masyarakat yang cuba mengubah landskap kehidupan harmoni dan damai dengan menampilkan sikap buat-buat lupa fakta sejarah “kontrak sosial” yang telah dipersetujui bersama dengan mencetuskan isu-isu berkaitan agama Islam, mencabar kewibawaan raja-raja, kedudukan bahasa Melayu dan banyak lagi sebagai modal untuk meraih kepentingan diri dan kumpulan.
Beta berseru kepada semua pihak hentikanlah daripada bermain api, sikap provokasi yang boleh mencetuskan gelora keadaan dan suasana yang tidak tenteram dalam masyarakat dan negara.
Sebagaimana kita sedia maklum, dunia terus mengalami perubahan iklim tidak menentu yang mengakibatkan pemanasan global dan mala petaka seperti gempa bumi, banjir dan kemarau serta taufan. Kesan yang paling awal yang akan dapat dilihat ialah kemerosotan pengeluaran hasil makanan. Pertumbuhan ekonomi global yang lemah dan muram pada tahun ini berbanding tahun lepas turut memberi kesan yang tidak baik kepada ekonomi dunia. Krisis hutang negara-negara di Eropah menimbulkan risiko penurunan terhadap kestabilan kewangan dunia dan pemulihan ekonomi di negara maju terus perlahan dan lembab. Inflasi juga semakin meningkat dan merupakan cabaran besar kepada banyak negara.
Semua fenomena ini memberi implikasi kepada ekonomi negara dan negeri ini. Kesan tersebut sudah tentu dirasai oleh rakyat negeri ini. Oleh itu, marilah kita semua menggemblengkan tenaga bekerjasama dalam memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dicapai pada kadar yang baik. Semua pihak perlu bangkit mencapai pendekatan dan penyelesaian yang inovatif ke arah meningkatkan momentum pertumbuhan dan mengekalkan kesejahteraan rakyat.
Beta berharap agar sektor pertanian, penternakan dan perikanan memainkan peranan yang lebih berkesan, peka kepada perkembangan teknologi terkini, mesra alam dan lestari. Aktiviti pertanian juga perlu meneroka pendekatan yang terkini seperti pertanian agronomik. Pembangunan infrastruktur pertanian seperti jalan dan sistem pengairan perlulah dipertingkatkan untuk memastikan hasil pertanian yang optimum. Tanah-tanah terbiar juga perlulah dimajukan dengan medan guna tanah yang terkini.
Menyentuh mengenai pelaburan masuk ke negeri Kelantan, beta mendapat maklum bahawa beberapa projek besar sedang dalam perancangan dan pelaksanaan yang akan mengubah landskap ekonomi negeri Kelantan seperti projek “supply base” di Tok Bali, pembangunan dan pengindahan tebing Sungai Kelantan di Lembah Sireh, Kota Bharu, projek pembinaan saluran paip petroleum dari Perak ke Kelantan, pelabuhan darat dan pembangunan bersepadu di Kuala Krai.
Sektor pembinaan dan pelaburan di negeri Kelantan dijangka akan mempunyai prospek yang tinggi pada tahun-tahun akan datang sekiranya projek-projek seperti projek pembangunan dan pengindahan sungai di jajahan Kota Bharu dan jajahan Tumpat, projek jalan persekutuan laluan lapan dan sembilan (central spine road) dan pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai dapat dilaksanakan.
Dalam menghadapi risiko banjir setiap kali tibanya musim tengkujuh, beta berharap rancangan tebatan banjir lembangan Sungai Kelantan yang sedang giat dilaksanakan itu akan dapat mengatasi atau mengurangkan banjir di negeri ini.
Suka beta menarik perhatian bahawa dalam mengatur perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri, langkah-langkah bagi mengurangkan defisit perbelanjaan perlulah diberi perhatian walaupun belanjawan defisit adalah suatu kelaziman di kebanyakan negara.
Sehubungan dengan itu, beta berharap kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah-langkah positif bagi mengurangkan belanjawan defisit supaya angka defisit tersebut masih dalam jangkauan terkawal. Bagi mengurangkan belanjawan defisit, kerajaan negeri seharusnya mengambil pendekatan perbelanjaan berhemah dengan memberi keutamaan kepada perbelanjaan mengikut keperluan sebenar. Kerajaan negeri hendaknya memberi penekanan kepada meningkatkan hasil dan menambahkan punca hasil.
Di kesempatan ini, beta ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada jawatankuasa sambutan perayaan ulang tahun hari keputeraan beta, kerabat-kerabat diraja, menteri besar, ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan, orang-orang besar negeri, wakil-wakil rakyat, pegawai-pegawai kerajaan negeri dan persekutuan, para alim ulama, pasukan polis dan tentera, pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, badan-badan berkanun negeri dan persekutuan, pihak berkuasa tempatan, ahli-ahli pertubuhan kebajikan dan sukarelawan serta seluruh rakyat jelata negeri ini yang beta kasihi yang sentiasa menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada beta.
Sebagai mengakhiri titah ucapan beta ini, marilah kita sama-sama memohon doa ke hadrat Allah SWT semoga kita semua sentiasa mendapat pertolongan dan berada di dalam pemeliharaan serta barakah Allah yang berterusan. Semoga negara dan negeri ini berada di dalam kemakmuran, dilindungi dari apa jua bentuk bala bencana, huru-hara dan perkara-perkara yang tidak diingini.
Amin ya rabbal ‘alamin
Wabillahi taufik wal hidayah
Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.