Tuesday, November 30, 2010

SULTAN ISMAIL PETRA DIMASUKKAN KE WAD KECEMASAN HOSPITAL RAJA PEREMPUAN ZAINAB II

Pada pukul 9.15 malam hari Isnin, 29 November 2010, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra, yang diiringi oleh Raja Perempuan Anis, Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra dan Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd Hamzah, telah dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, kerana disyaki mengalami masalah jangkitan kuman pada paru-paru Baginda. Bagaimanapun, belum pun sempat rawatan lengkap oleh pakar-pakar perubatan dibuat ke atas Baginda, Baginda telah dibawa pulang ke Istana Mahkota, Kubang Kerian, menjelang pukul 10.00 malam hari yang sama.

Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru pihak-pihak yang menjadikan penjagaan kesihatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra sebagai hak peribadi mereka supaya lebih bertanggungjawab di dalam soal penjagaan kesihatan Baginda ini. Sudahlah sewaktu Baginda mula-mula mengalami kegeringan dahulu anda semua melengah-lengahkan usaha membawa Baginda ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, mengapakah kali ini pun anda semua mengambil masa yang sangat lama untuk membawa Baginda ke Hospital Raja Perempuan Zainab II sedangkan Baginda dikesan mengalami masalah sejak lima hari lepas lagi?

Jika anda semua benar-benar prihatin ke atas kesihatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra, anda semua sepatutnya terus membawa Baginda sama ada ke Hospital Universiti Sains Malaysia atau Hospital Raja Perempuan Zainab II dengan segera sebaik sahaja Baginda dikesan mempunyai masalah kesihatan yang serius. Kami dan rakyat jelata amat tertanya-tanya mengapa Baginda terus dibawa pulang setelah tidak sampai pun satu jam menerima rawatan sedangkan dengan kedudukan Baginda selaku bekas Sultan dan selaku ayahanda kepada Sultan sekarang Baginda sepatutnya menerima rawatan terbaik dari pakar-pakar perubatan.

Kami merasa sangat hairan mengapakah anda semua begitu cepat mahu membawa pulang Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra sedangkan risiko yang terpaksa dihadapi oleh Baginda ekoran daripada tindakan kurang bijak anda semua ini adalah amat tinggi sekali. Mereka yang arif dengan dunia perubatan malah rakyat jelata yang berada di perkarangan hospital itu sekalipun kedengaran bersungut bahawa bagaimanakah rumusan tentang keadaan kesihatan Baginda dapat dicapai di dalam masa tidak sampai pun satu jam sedangkan ujian-ujian perubatan yang menyentuh tentang masalah jangkitan kuman ini biasanya memakan masa yang jauh lebih lama.

Mengapakah anda semua begitu bertegas mahu membawa pulang Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra secepat mungkin sedangkan Baginda sepatutnya menerima rawatan terbaik yang hanya mampu diberikan oleh pakar-pakar perubatan di hospital kerana hanya di hospital sahajalah rawatan rapi yang menggunakan peralatan-peralatan, mesin-mesin dan makmal-makmal tertentu mampu diberikan? Jika aspek keselesaan Baginda yang menjadi pertimbangan anda semua, maka wad diraja yang telah dibaikpulih, sama ada di Hospital Raja Perempuan Zainab II atau Hospital Universiti Sains Malaysia, kini sudah sangat menyelesakan.

Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II, Dato’ Dr Ghazali Hasni Md Hassan, juga sepatutnya lebih bertanggungjawab di dalam soal ini dengan memastikan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra menerima rawatan perubatan terbaik di hospital kendaliannya itu. Beliau sepatutnya mengambil inisiatif untuk menyelia dan mempengerusikan perbincangan di antara pakar-pakar perubatan berhubung dengan tahap kesihatan mutakhir Baginda serta segera menyembahmaklumkannya kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V dan bukannya menyerahkan tugas ini kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Kamil Hassan.

Ingatlah, keabsahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V selaku Sultan Kelantan telah pun diperakui oleh Mahkamah Persekutuan sendiri, jadi mana-mana pihak, sama ada pakar-pakar perubatan atau kaum keluarga Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra sekalipun, tidaklah boleh membelakangkan Baginda di dalam apa sahaja perkara yang melibatkan keadaan kesihatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra yang juga merupakan milik rakyat jelata. Sudah-sudahlah mempergunakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra untuk kepentingan diri sendiri sehingga ke tahap boleh memudaratkan kesihatan Baginda.