Thursday, November 25, 2010

SULTAN MUHAMMAD KE-V SELAMAT BERANGKAT DARI TANAH SUCI MEKAH

Alhamdulillah, berkat doa sekalian rakyat jelata, Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, bersama-sama ahli-ahli rombongan Baginda telah selamat menunaikan fardhu haji di Mekah dengan jayanya dan tanpa ditimpa sebarang musibah di mana pesawat yang membawa mereka semua dari Jeddah telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 10.55 pagi Selasa, 23 November 2010.

Turut berangkat ke Dewan Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, bagi meraikan keberangkatan pulang Sultan Muhammad Ke-V dari Mekah adalah kerabat-kerabat diraja Kelantan, ahli-ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan, ahli-ahli Majlis Penasihat Raja Kelantan, pembesar-pembesar negeri Kelantan, pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri Kelantan serta pegawai-pegawai tinggi Polis DiRaja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.

Sultan Muhammad Ke-V juga menzahirkan perasaan gembira Baginda kerana kedamaian yang sudah mula wujud di negeri Kelantan langsung tidak berkocak sepanjang ketiadaan Baginda di dalam negeri.

Wednesday, November 10, 2010

SULTAN MUHAMMAD KE-V SELAMAT BERANGKAT KE TANAH SUCI MEKAH

Alhamdulillah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, bersama-sama ahli-ahli rombongan Baginda telah selamat berangkat bagi menunaikan fardhu haji di Mekah di mana pesawat yang akan membawa mereka semua ke Jeddah telah selamat berlepas pada jam 3.35 petang tadi (10 November 2010).

Turut berangkat ke Dewan Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, bagi meraikan keberangkatan Sultan Muhammad Ke-V ke Mekah adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, dan Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah binti Tengku Abdul Rashid.

Turut sama berada di sana bagi meraikan keberangkatan Sultan Muhammad Ke-V ke Mekah adalah Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra, kerabat-kerabat diraja Kelantan, Selangor dan Perlis, ahli-ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan, ahli-ahli Majlis Penasihat Raja Kelantan, pembesar-pembesar negeri Kelantan dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri Kelantan.

Doa Sultan Muhammad Ke-V, juga doa kita semua, adalah semoga kedamaian yang sudah mula wujud di negeri Kelantan akan terus berkekalan walaupun di saat Baginda tidak berada di dalam negeri.

Monday, November 8, 2010

SULTAN KELANTAN BAKAL BERANGKAT KE MEKAH BAGI MENUNAIKAN FARDHU HAJI

Sukacita dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, dijangka akan berangkat ke Mekah bagi menunaikan fardhu haji dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 3.00 petang, 10 November 2010.

Mengiringi Sultan Muhammad Ke-V ke Mekah adalah Menteri Besar, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Aiseri Alias, Mufti Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Shukri Mohamad, dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Turut mengiringi Sultan Muhammad Ke-V adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamad, dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Dato’ Mohd Fatmi Che Salleh (yang asalnya dijadualkan mewakili Datuk Seri Mustapha Mohamad).

Sama-samalah kita mendoakan semoga Sultan Muhammad Ke-V bersama-sama ahli-ahli rombongan Baginda akan selamat pergi dan selamat kembali dengan membawa pulang haji yang mabrur serta akan mendapat perlindungan dan keberkatan dari Ilahi selama mereka berada di sana.

Sultan Muhammad Ke-V dijadualkan berangkat pulang ke negara ini pada 23 November 2010.

SULTAN KELANTAN BAKAL DIANUGERAHKAN DARJAH KERABAT (DK) SELANGOR

Sukacita dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, bakal dianugerahkan Darjah Kerabat (DK) Selangor sedikit waktu lagi.

Wakalah pemakluman mengenai pengurniaan anugerah ini telah disampaikan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V oleh tiga orang wakil peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di dalam satu majlis penghadapan yang berlangsung di Istana Negeri, Kubang Kerian, pada jam 5.00 petang, 6 November 2010.

Mewakili Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Selangor di dalam majlis tersebut adalah Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor, iaitu Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, dan Tengku Indera Pahlawan Diraja Selangor, Tengku Dato’ Putra al-Haj bin Tengku Azman Shah al-Haj, serta Orang Besar Istana Selangor, Tengku Sulaiman Shah al-Haj bin Tengku Abdul Jalil Shah al-Haj.

Junjung kasih diucapkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Selangor.

SETIAUSAHA SULIT KEPADA SULTAN KELANTAN KINI BERGELAR DATO’

Sukacita dimaklumkan bahawa Setiausaha Sulit kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, iaitu Nik Mohd Shafriman Nik Hassan, kini bergelar Dato’ setelah beliau dikurniakan dengan Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (Al-Ibrahimi II).

Turut sama menerima gelaran Dato’ adalah salah seorang usahawan terkemuka negara, iaitu Tan Sri Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir, yang lebih dikenali dengan nama Tan Sri Syed Jojo, yang telah dikurniakan dengan Ahli Yang Kehormat Yang Pertama (Seri Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Ismaili I).

Kedua-dua kurniaan tersebut telah dianugerahkan kepada mereka oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V di dalam Majlis Istiadat Pengurniaan dan Surat Kepujian Tahun 2010 Kali Ke-3 yang berlangsung pada jam 11.00 pagi, 6 November 2010, di Istana Negeri, Kubang Kerian.

Turut dikurniakan pingat-pingat dan surat di dalam majlis tersebut adalah 244 orang penerima lain membabitkan 55 orang penerima Pingat Bakti, 69 orang penerima Pingat Setia, 72 orang penerima Pingat Taat, 45 orang penerima Pingat Perangai Baik dan seorang penerima Surat Kepujian.

Tahniah diucapkan kepada kesemua penerima darjah-darjah kebesaran, pingat-pingat dan surat ini. Kurniaan ini adalah petanda bahawa jasa bakti anda selama ini amat dihargai. Semoga ia lebih merangsang anda untuk terus memberikan sumbangan pada masa hadapan.

PEMBETULAN KE ATAS LAPORAN AKHBAR-AKHBAR BERITA HARIAN DAN HARIAN METRO

Laporan akhbar-akhbar Berita Harian dan Harian Metro bertarikh 6 November 2010 bertajuk “Musa Hassan antara tiga ahli baru MPR Kelantan” dan “Musa jadi ahli MPR” adalah dirujuk.

Sukacita dimaklumkan bahawa perlantikan Tan Sri Musa Hassan dan Dato’ Zulkifly @ Ibrahim Abdul Rahman selaku ahli-ahli baru Majlis Penasihat Raja Kelantan pada 25 Oktober 2010 adalah dibuat bagi menggantikan tempat-tempat Dato’ Kamarulzaman Mohamed dan Raja Aman Shah Raja Shahar Shah, dan bukan bagi menggantikan tempat-tempat Tengku Razaleigh Hamzah dan Tengku Amalin A-Ishah Putri.

Tengku Razaleigh Hamzah dan Tengku Amalin A-Ishah Putri sebelum ini sebenarnya bukanlah merupakan ahli-ahli Majlis Penasihat Raja Kelantan tetapi adalah ahli-ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan manakala kekosongan yang berlaku di dalam Majlis Perajaan Negeri Kelantan ekoran keterlucutan Tengku Razaleigh Hamzah dan Tengku Amalin A-Ishah Putri darinya sehingga kini masih lagi belum diisi.

Perlu ditegaskan di sini bahawa Majlis Perajaan Negeri Kelantan dan Majlis Penasihat Raja Kelantan adalah dua entiti yang sama sekali berbeza, sama ada dari segi komposisi mahupun dari segi peranannya.

Komposisi Majlis Penasihat Raja Kelantan adalah terkandung di dalam Perkara 36 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) yang berbunyi:
(2) Majlis Penasihat Raja hendaklah mengandungi Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Tengku Mahkota serta ahli-ahli yang berikut, iaitu –
(a) Setiausaha Sulit kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang hendaklah menjadi Setiausaha Majlis itu;
(b) Mufti Kerajaan; dan
(c) Tidak kurang daripada lapan dan tidak lebih daripada enam belas orang ahli lain,
yang dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia dengan ditandatanganinya dan dicop Mohor Negeri di antara mereka yang pada fikirannya telah menyumbangkan pekerjaan yang cemerlang kepada Kerajaan ataupun yang telah mendapat kepujian di dalam pekerjaan, perusahaan, pertanian, pergerakan-pergerakan pertanian atau perkhidmatan-perkhidmatan perubatan.

Komposisi Majlis Perajaan Negeri Kelantan pula adalah terkandung di dalam Perkara 7 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) yang berbunyi:
Majlis Perajaan Negeri hendaklah terdiri daripada yang berikut, iaitu –
(i) Yang di-Pertua;
(ii) Timbalan Yang di-Pertua;
(iii) Setiausaha Kerajaan yang hendaklah menjadi Setiausaha Majlis;
(iv) Mufti Kerajaan;
(v) Empat orang ahli Kerabat Diraja; dan
(vi) Tidak kurang daripada enam orang dan tidak lebih daripada dua belas orang lain yang hendaklah daripada bangsa Melayu dan rakyat Raja Negeri,
yang hendaklah dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Surat di bawah tandatangan Baginda dan Mohor Negeri dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, bertindak mengikut budi bicara Baginda, mempunyai hak dan kuasa untuk membatalkan perlantikan atau membuang dan melepaskan mana-mana ahli Majlis Perajaan Negeri.

Peranan utama Majlis Penasihat Raja Kelantan adalah terangkum di dalam Perkara 36(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) yang berbunyi:
Majlis Penasihat Raja Kelantan, yang digelarkan di dalam bahasa Inggeris “the Council of Advisers, Kelantan”, adalah dengan ini ditubuhkan bagi maksud menolong dan menasihatkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam menjalankan tanggungan-tanggungannya.

Peranan utama Majlis Perajaan Negeri Kelantan pula adalah terangkum di dalam Perkara 6 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) yang berbunyi:
Tidaklah boleh siapa-siapa pun menaiki Takhta dan Kerajaan Kelantan melainkan kenaikannya itu disahkan oleh Majlis Perajaan Negeri.

Monday, November 1, 2010

UCAPAN TAHNIAH KEPADA PASUKAN BOLASEPAK KELANTAN

Sepertimana seluruh rakyat Kelantan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, juga amat gembira dan berbangga dengan kemampuan pasukan bolasepak Kelantan membawa pulang kejuaraan Piala Malaysia 2010 ke Kelantan.

Sekalung ucapan tahniah diucapkan kepada pihak pengurus, jurulatih dan pemain pasukan bolasepak Kelantan yang dengan perancangan, komitmen dan kerja keras merekalah maka nama Kelantan buat julung-julung kalinya terpahat kukuh di persada sukan tanah air.

Tahniah juga kepada para penyokong fanatik Kelantan yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan jitu dan padu mereka kepada pasukan bolasepak Kelantan sehingga berjaya mencetuskan satu fenomena baru dalam arena bolasepak Kelantan dan Malaysia.

Adalah sesuatu yang sangat mengharukan apabila seluruh rakyat Kelantan dapat mengenepikan sentimen politik kepartian mereka untuk sama-sama datang dari jauh dan dekat ke stadium yang sama untuk memberi sokongan kepada pasukan bolasepak yang sama.

Adalah sesuatu yang sangat mengharukan juga apabila pihak pengurus, jurulatih dan pemain pasukan bolasepak Kelantan mendedikasikan kejayaan mereka membawa pulang kejuaraan Piala Malaysia 2010 ke Kelantan ini kepada Sultan Muhammad Ke-V.

Walaupun Sultan Muhammad Ke-V, di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, tidak dapat berangkat untuk menyaksikan sendiri para pemain pasukan bolasepak Kelantan berjuang di tengah padang tetapi doa dan hati sanubari Baginda tetap bersama-sama mereka.

Sehubungan dengan ini juga, kemenangan pasukan bolasepak Kelantan ini diharapkan tidak akan sama sekali dipolitikkan oleh mana-mana pihak pun kerana sokongan rakyat Kelantan kepada pasukan bolasepak Kelantan adalah melampaui batasan politik.

Di atas maksud yang sama, Sultan Muhammad Ke-V telah berkenan untuk meraikan pihak pengurus, jurulatih dan pemain pasukan bolasepak Kelantan pada 6 November 2010, iaitu selepas pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Galas selamat dilangsungkan.

Sultan Muhammad Ke-V juga tidak dapat meraikan mereka lebih awal dari tarikh itu kerana Baginda mempunyai aturcara-aturcara yang amat padat disebabkan oleh keberangkatan Baginda bagi menunaikan fardhu haji di Mekah yang dijadualkan pada 10 November 2010.

Sama-samalah kita berdoa semoga kejayaan pasukan bolasepak Kelantan menjuarai Piala Malaysia 2010 ini menjadi satu petanda bahawa Kelantan akan menjadi lebih aman dan makmur di dalam segenap bidang di bawah pemerintahan Sultan Muhammad Ke-V.